| Apakah terjemahan Bahasa Inggeris yang sesuai untuk "surau"? Bolehkah "small mosque" digunakan? Sasarannya adalah mereka yang tidak faham konsep surau. | Lihat pada konteks penggunaannya dan konsep binaannya. Jika dibina khusus sebuah surau, mungkin boleh digunakan istilah small mosque, namun jika hanya ruang di dalam bangunan lain seperti di kompleks beli-belah, maka perkataan pray room lebih sesuai digunakan. | Penyemakan dan penterjemahan | 23.03.2015 |
| Perkataan 'hafiz' terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat yang membawa maksud orang yang mengamalkan al-Quran. Adakah wujud istilah 'hafizah' bagi perempuan pula? | Dalam Kamus Dewan, hafiz bermaksud orang yang memelihara dan mengekalkan al-Quran dalam ingatannya. Tiada entri bagi hafizah, walau bagaimanapun telah difahami hafiz/hafizah (atau perkataan lain yang sama bentuk binaannya) mempunyai maksud yang sama, hanya berbeza gender. | Makna | 14.10.2017 |
| Apakah maksud “ilmu luas tanpa dilandasi,akidah sahihah dan akhlakull karimah,ibarat bangunan raksasa tanpa fondasi”? | Petikan ini dapat difahami seperti yang berikut: Ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh seseorang jika tidak disertai dengan ilmu agama dan akhlak yang mulia, boleh ibaratkan seperti sebuah bangunan yang megah dan cantik tetapi struktur binaannya tidak kukuh. Kesimpulannya ilmu pengetahuan dan ilmu agama sama penting untuk melahirkan cendekiawan yang bermoral, berakhlak mulia dan menggunakan ilmu pengetahuan yang dimilikinya pada landasan yang benar.
| Lain-lain | 17.07.2021 |
| Salam sejahtera, Bahawa amalan membaca penting dalam kehidupan tidak dapat dinafikan. Adakah ayat di atas betul dari segi tatabahasa? Adakah "bahawa amalan membaca penting dalam kehidupan" merupakan subjek manakala "tidak dapat dinafikan" merupakan predikat? Mohon pencerahan. Terima kasih. | Ayat “Bahawa amalan membaca penting dalam kehidupan tidak dapat dinafikan.” ini betul. Binaannya adalah seperti yang berikut: Tidak dapat dinafikan – Subjek Bahawa amalan membaca penting dalam kehidupan – Predikat Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 510. | Tatabahasa | 19.05.2026 |
| Yang manakah satu betul? 1. bersungguh-sungguh belajar / belajar bersungguh-sungguh. 2. berkali-kali menasihatinya / menasihatinya berkali-kali 3. Adakah rumusan berikut terpakai untuk semua frasa keterangan kata kerja? [ frasa adjektif]+kata kerja. Contohnya, bergotong-royong membersihkan, bertungkus lumus memadamkan api, bersungguh-sungguh menyiapkan kerja rumah, dan lain-lain. | Jawapan yang betul ialah belajar bersungguh-sungguh dan menasihatinya berkali-kali. Unsur keterangan dalam frasa kerja terdiri daripada unsur yang menerangkan kata kerja dengan lebih lanjut lagi. Unsur keterangan juga berfungsi sebagai frasa adverba. Unsur keterangan hadir sesudah kata kerja. Bagi kata kerja transitif, unsur keterangan hadir selepas objek. Dari segi struktur binaannya, unsur keterangan terdiri daripada frasa sendi nama, frasa adjektif, frasa nama dan kata adverba. Contohnya, 1. Kerajaan mengeluarkan kenyataan tentang kenaikan gaji. 2. Sungai Perak mengalir dengan tenangnya. 3. Pemimpin yang sudah berumur itu bercakap perlahan-lahan. 4. Bunga rampai itu berbau sungguh harum. 5. Mereka berjuang bermati-matian. Untuk maklumat lebih lanjut tentang unsur keterangan dalam frasa kerja sila rujuk Tatabahasa Dewan ms. 399-402. | Tatabahasa | 22.03.2011 |
| Salam sejahtera. Apakah kata ganti nama diri yang sesuai? Tuan Puteri tidak hadir kerana ( ) gering. Bolehkah permaisuri, putera dan puteri gunakan beta, tuanku dan baginda? Jika tidak boleh, apakah gelaran yang betul? Terima ksih. | Tuan puteri bermaksud anak perempuan raja, sultan, maharaja dan sebagainya. “Beta” merupakan kata ganti nama diri pertama untuk raja, permaisuri atau anak raja apabila bercakap dengan orang yang berpangkat lebih rendah, orang bawahan atau rakyat. Manakala, gelaran “Tuanku” dikhususkan terhadap raja, sultan atau isteri baginda. Gelaran “Baginda” pula merupakan kata ganti diri ketiga bagi raja, khalifah atau nabi. Oleh itu, ayat “Tuan puteri tidak hadir kerana gering” sudah mantap dari segi binaannya tanpa perlu meletakkan kata ganti nama diri. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) halaman 172, 280, 2409, 2410 dan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015) halaman 81 – 87. | Tatabahasa | 11.09.2025 |