Selamat pagi. Saya ada beberapa kemusykilan. Jika di dalam dialog perbualan, pembuka kata dan penutup kata digunakan untuk menunjukkan sesuatu ayat itu ialah perbualan. Bagaimana pula jika ayat tersebut merupakan kata-kata di dalam hati? Cthnya: "Pelik," bisik hatiku. "Kenapa pintu pagar terbuka?" tanyaku sendiri. Bagaimana cara yang betul untuk ditulis? terima kasih | Monolog ditulis dengan tanda petik tunggal (' ') seperti 'Pelik,' bisik hatiku. 'Kenapa pintu pagar terbuka?' tanyaku sendiri. | Tatabahasa | 25.02.2015 |
tanda ' dalam bahasa Melayu disebut sebagai apa dan untuk apa? Terima kasih | Dalam bahasa Melayu, tanda ‘ disebut sebagai tanda petik tunggal. Tanda ini digunakan dalam ungkapan atau ayat yang sudah diapit tanda petik. Contohnya, “Amboi! Sejak menjadi ‘orang kaya baharu’, batang hidungnya pun tak nampak,” sindir Hashim. Dalam penulisan teks sastera, tanda petik tunggal ini menunjukkan kata-kata dalam hati atau bisikan hati. Contohnya, ‘Mesti ibu gembira dengan pemberianku ini,’ bisik hati Ayu sebaik-baik sahaja memberikan hadiah ulang tahun kelahiran kepada ibunya. Tanda petik “ ” pula digunakan untuk tujuan tertentu seperti yang berikut: (a) Mengapit cakap ajuk, petikan langsung daripada naskhah atau bahan bertulis. Contohnya, “Bila sampai?” tanya Husin. Bagi bahan petikan yang lebih daripada satu para dan petikan itu bersambung, tanda buka petikan ditulis pada permulaan ayat para pertama dan tanda tutup petikan pada akhir ayat para akhir. (b) Mengapit judul rencana, karangan, puisi, atau bab buku yang dipakai dalam ayat. Contohnya, Sajak “Dewi Malam”, karya seorang penyair bukan Melayu, telah dideklamasikan pada malam pembacaan puisi. (c) Mengapit istilah ilmiah atau kata yang mempunyai erti khusus. Contohnya, Amin sedang menyediakan “anatomi” halaman buku ini. | Ejaan | 16.02.2014 |
Salam sejahtera, bolehkah beritahu saya berapa jenis monolog yang terdapat dalam penulisan novel? Juga, bolehkah terangkan kepada saya perbezaan di antara monolog dan monolog dalaman? | Monolog ialah pertuturan kepada diri sendiri sama ada boleh disuarakan atau diucapkan dalam hati. Tidak ditujukan kepada orang lain dan tidak memerlukan reaksi ataupun jawapan daripada orang lain. Monolog hanya dua sahaja iaitu monolog dan monolog dalaman. Monolog (disuarakan) “ Sabarlah ayah, emak. Hajat ayah dan emak mahu nenek hendak naik haji pasti Aris tunaikan,” bisik Aris perlahan dengan wajah yang diseliputi awan kerisauan. Monolog (dalaman/diucapkan dalam hati) “ Inilah agaknya erti kasih antara anak dan ibu,” detak hati kecil Rina. Tanpa disedarinya, air matanya mengalir di pipinya yang gebu. | Sastera | 26.07.2012 |