(i) Bolehkah kata sendi 'antara' digunakan untuk memulakan sesuatu ayat? Misalnya: Antara punca gejala sosial ialah ... (ii) Boleh kata nama selepas kata sendi 'antara' boleh digandakan? Misalnya: Antara faktor-faktor gejala sosial ialah ... Sekian. | 1. Kata sendi nama antara boleh digunakan di pangkal ayat, contohnya Antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi ada persamaannya. 2. Kata nama yang menunjukkan jamak selepas kata sendi nama antara boleh digandakan. | Tatabahasa | 04.03.2010 |
Mana satu betul i) pengayaan atau pengkayaan ii) Ujian pemahaman atau ujian kefahaman | i) Yang betul ialah pengayaan ii) Kedua-duanya boleh digunakan, iaitu ujian pemahaman dan ujian kefahaman yang bermaksud perihal memahami atau apa dan sejauh mana sesuatu itu difahami. | Tatabahasa | 08.08.2009 |
Apakah pola untuk ayat berikut: i) Dapatkah anda mengatasi masalah ini? ii) Ya, sudah tentu boleh! iii) Eloklah anda mulakan tindakan ini segera. | Soalan yang dikemukakan tidak jelas. Untuk makluman puan, pola ayat terdiri daripada : I. Frasa Nama + Frasa Nama ii. Frasa Nama + Frasa Kerja iii. Frasa Nama+Frasa Sendi Nama iv. Frasa Nama +Frasa Adjektif Berdasarkan ayat di atas, ayat pertama merupakan ayat tanya, kedua ialah ayat seru dan ketiga ialah ayat penyata. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan untuk keterangan lebih lanjut. | Tatabahasa | 29.11.2013 |
Salam sejahtera, boleh tuan/puan beritahu saya apakah jawapan untuk soalan yang disertakan atau soalan tersebut langsung tidak mempunyai jawapan yang tepat. soalan: Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan cergas dengan betul. I Bersenam menjadikan otak kita cergas. II Dia bergiat cergas dalam bidang olahraga. III Kami berasa cergas setelah bekerja seharian. IV Suara budak itu memang cergas apabila berpidato. A. I dan II sahaja. B. I dan III sahaja. C. II dan IV sahaja. D. I, II, III dan Iv | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, makna cergas ialah: 1. bertenaga dan giat (bkn orang, tubuh, otak, dsb), aktif: Aminah kanak-kanak yg ~; 2. pantas, cepat: mereka bergerak ~ sebaik-baik sahaja diberi perintah; 3. banyak menjalankan atau terlibat dlm kegiatan dsb, giat, aktif: mengambil bahagian ~ dlm aktiviti sukan sekolahnya; sebuah jawatankuasa yg ~; 4. banyak kegiatannya menjual dan membeli (bkn pasaran saham); 5. (masih) mengeluarkan wap dan lahar (bkn gunung berapi), aktif: gunung berapi Etna masih ~. Berdasarkan takrifan tersebut, maka pilihan yang betul ialah ialah I, II, dan III. Untuk mengelakkan kekeliruan, saudara digalakkan merujuk penyedia soalan tersebut. | Tatabahasa | 24.06.2010 |
Salam sejahtera..... Di sini saya ada beberapa keraguan tentang penggunaan bahasa yang memerlukan penjelasan dan tujuk ajar pihak tuan. 1) Yang manakah ayat berikut benar penggunaan bahasanya? i) Kita boleh mendirikan khemah di situ kerana kawasan itu sama luas dengan gelanggang bola jaring ini. ii) Kita boleh mendirikan khemah di situ kerana kawasan itu seluas dengan gelanggang bola jaring ini. 2) Saya sering menghadapi masalah ketika menerangkan penggunaan imbuhan me...kan dengan me...i dan me.... pada situasi ayat yang berlainan. Namun muri-murid saya tetap keliru dan kurang memahami. Berikut, saya memetik beberapa ayat contoh yang menimbulkan keraguan. i) Emak sedang menghiaskan ruang tamu dengan lampu pelbagai warna. ii) Cikgu Ali sedang mengajar mata pelajaran Sejarah dalam tingkatan 2 Merah. iii) Ah Meng menemui sebentuk cincin di halaman rumah. Sedangkan jawapan yang saya peroleh ialah : i) Emak sedang menghiasi ruang tamu dengan lampu pelbagai warna. ii) Cikgu Ali sedang mengajarkan mata pelajaran Sejarah dalam tingkatan 2 Merah. iii) Ah Meng menemukan sebentuk cincin di halaman rumah. Justeru, saya amat memerlukan tunjuk ajar pihak tuan agar dapat membantu saya merungkai masalah saya. Penjelasan ini amat penting bagi saya memantapkan pengajaran saya dalam bahasa Melayu serta keberkesanan tahap kefahaman murid saya...... Sekian, terima kasih daun keladi dan salam sejahtera........ | 1. Dari segi tatabahasa, kedua-dua ayat tersebut betul dan boleh digunakan. Untuk imbuhan me-kan, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Untuk pengetahuan Puan, buku-buku rujukan yang diterbitkan oleh penerbit luar (bukan DBP), kebanyakan mereka tidak sangat mementingkan penggunaan tatabahasa yang betul. | Tatabahasa | 15.05.2010 |
Boleh saya dapatkan terjemahan untuk istilah berikut: i. xylol ii. N-[2-hydroxyetil]piperazine-N’-[etanasulfonik asid] aluminium potassium sulphate dodecahydrate iii. sperm mid-piece iv. straight-line velocity (VSL) v. average-path velocity (VAP) vi. amplitude of lateral displacement of the centroid (ALH) vii. curvilinear velocity (VCL) viii. beat cross frequency (BCF) Terima kasih. | Cadangan padanan bahasa Melayu untuk istilah yang diberikan adalah seperti yang berikut: i. xylol - xilol ii. N-[2-hydroxyetil]piperazine-N’-[etanasulfonik asid] aluminium potassium sulphate dodecahydrate - N-[2-hidroksietil]piperazina-N'-[asid etanasulfonik] aluminium kalium sulfat dodekahidrat iii. sperm mid-piece - bahagian tengah sperma iv. straight-line velocity (VSL) - halaju garis lurus v. average-path velocity (VAP) - halaju laluan purata vi. amplitude of lateral displacement of the centroid (ALH) - amplitud alihan sisi sentroid vii. curvilinear velocity (VCL) - halaju garis melengkung viii. beat cross frequency (BCF) - frekuensi silang rentak | Istilah | 15.04.2012 |
penggunaan boleh/dapat yang betul. 1. penggunaan alat kecantikan dapat/boleh mengakibatkan pelbagai penyakit. 2. Antaranya cara yang dapat/boleh dicuba oleh seseorang yang ingin berhenti merokok adalah... 3.Kelambu pula dapat/boleh dipasang di bilik. 4. .....,menjadi pengedar pun dapat/boleh menjadi kaya. 5.wabak yang berbahaya dapat/boleh membawa maut. 6. untuk menegathui status kad pengenalan,seseorang dapat/boleh melayari laman web.. | Saudara Azmazaira, Perkataan 'boleh' digunakan dalam konteks yang menunjukkan keizinan atau kebenaran, manakala perkataan 'dapat' digunakan dalam konteks yang menunjukkan keupayaan atau kemampuan. Jawapan bagi ayat yang di atas ialah : i. dapat ii. dapat iii. boleh iv. dapat v. dapat vi. boleh | Tatabahasa | 28.04.2010 |
TD Edisi Ketiga ( m/s 244-247)membincangkan Penggunaan kata adjektif dalam ungkapan darjah penghabisan. Selain yang dibincangkan, cara lain boleh tak diterima seperti .. (i) sungguh cantik betul. (ii) paling cantik betul (iii) sangat cantik betul. (iv) amat cantik nian. (v) tercantik betul. | (i) sungguh cantik betul. (ii) paling cantik (iii) sangat cantik betul. (iv) amat cantik nian. (v) tercantik. | Tatabahasa | 05.03.2010 |
Tuan, Terima kasih di atas respon yang diberi terhadap pertanyaan saya sebleum ini. Bagaimanapun, saya menghadapi kesukaran menerangkan kepada ahli mesyuarat saya tentang penggunaan huruf besar pada setiap permulaan ayat (i), (ii) dan (iii). Mereka bertanya saya, "Kenapa perlu mulakan dengan huruf besar sedangkan sebenarnya setiap ayat tersebut adalah sambungan atau lanjutan daripada 'Murid akan dapat:'?". Harap tuan dapat membantu saya memberi penjelasan tentang perkara di atas. Kerjasama dan perhatian tuan amat dihargai. Terima kasih. Yang benar, (Susilawati Ehsan) Bahagian Pembangunan Kurikulum. | Penggunaan huruf besar pada setiap permulaan ayat (i), (ii) dan (iii) yang menggunakan tanda titik bertindih (:) adalah untuk menunjukkan keterangan yang boleh berdiri sendiri. Jika saudara menggunakan tanda koma bertitik (;) perlulah menggunakan huruf kecil pada setiap permulaan ayat (i), (ii) dan (iii) kerana ayat tersebut merupakan satu kesatuan. Ringkasnya, penggunaan huruf besar atau huruf kecil pada permulaaan ayat yang menggunakan (i), (ii) dan (iii) bergantung pada penggunaan tanda titik bertindih (:) ataupun tanda koma bertitik (;). Jika saudara menggunakan tanda titik bertindih (:), maka permulaan ayat perlu menggunakan huruf besar. Jika menggunakan tanda koma bertitik (;) perlu menggunakan huruf kecil pada permulaaan ayat. Contoh 1: (Ayat yang menggunakan tanda titik bertindih) Murid akan mendapat: i) Mengenal pasti ungkapan kuadratik (ii) Membentuk ungkapan kuadratik (iii) Menyelesaikan masalah yang melibatkan ungkapan kuadratik Contoh 2: (Ayat yang menggunakan tanda koma bertitik) Murid akan mendapat; i) mengenal pasti ungkapan kuadratik, (ii) membentuk ungkapan kuadratik, dan (iii) menyelesaikan masalah yang melibatkan ungkapan kuadratik. | Tatabahasa | 04.02.2010 |
Salam sejahtera, Saya ingin memohon penjelasan tuan tentang penggunaan imbuhan me - kan. Bila dan dalam situasi apakah kita boleh menggunakan 'menemui' dan bila pula boleh menggunakan 'menemukan'? Harap tuan dapat membantu saya. | Encik Suhaimi terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Apitan meN-kan boleh mendukung berbagai-bagi makna . Antaranya ialah : i) menyebabkan atau menjadikan ii)melakukan sesuatu untuk seseorang iii)menjadikan sebagai iv) menggunakan sebagai Manakala meN-i digunakan untuk membawa makna: bertindak sebagai ii) menuju ke arah iii) bergerak di atas iv) merasakan v) menyebabkan Jadi dalam ayat menemui ia membawa makna menyebabkan sesuatu ditemui manakala bagi ayat menemukan ia membawa makna melakukan sesuatu untuk orang lain. Untuk maklumat yang lebih jelas sila rujuk buku tatabahasa DBE. terima kasih. | Tatabahasa | 06.07.2009 |