Saya dalam proses menyiapkan format baru borang-borang yang diguna oleh para pelanggan di Pantai Fomema. Oleh kerana borang-borang tersebut akan dicetak dalam dwibahasa, saya memerlukan sedikit pertolongan dalam menterjemahkan perkataan 'reprint' kepada bahasa melayu. Adakah 'reprint' bermaksud 'mengulang cetak' atau 'mencetak semula'? | Istilah bahasa Melayu untuk reprint ialah cetak semula atau cetak ulang. Oleh itu, kedua-dua terjemahan yang diberikan, iaitu mengulang cetak dan mencetak semula boleh digunakan. | Istilah | 07.01.2011 |
untuk digunakan dalam jadual fail meja sebagai rujukan isi kandungan dokumen ; yang mana satu adalah betul dari segi penggunaan huruf besar dan kecil : Senarai Borang-borang Yang Digunakan, atau Senarai Borang-borang yang digunakan | Ayat dan ejaan yang betul ialah "Senarai Borang yang Digunakan". | Ejaan | 20.09.2014 |
Assalamualaikum WBT. Saya bagi pihak Jabatan Pelesenan, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) ingin membuat semakan mengenai penggunaan perkataan antara BAHASA MELAYU atau BAHASA MALAYSIA, mana satu yang lebih sesuai untuk digunakan di dalam borang-borang permohonan lesen / permit? Ini adalah kerana pentadbiran kami telah menerima aduan berbentuk teguran daripada orang awam mengenai penggunaan BAHASA MALAYSIA di dalam borang-borang permohonan yang disediakan oleh MPSepang untuk orang awam. Bersama-sama ini di sertakan sedikit kandungan aduan yang dikemukakan oleh orang awam tersebut "Di dapati di laman borang lesen Majlis Perbandaran Sepang tertulis istilah Bahasa Malaysia. Istilah ini tidak betul. Menurut Perlembagaan Persekutuan Malaysia Perkara 152 yang tak pernah dipinda, nama bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu. Begitu juga Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967. Sehubungan itu, adalah dimohon agar pihak DBP dapat memberikan panduan dan cadangan sewajarnya kepada kami di MPSepang dalam memastikan pentadbiran kami menggunakan nahu bahasa yang tepat di dalam borang-borang permohonan lesen / permit rasmi kami. Bersama-sama ini dilampirkan sebahagian kandungan di dalam borang permohonan lesen MPSepang yang menggunakan perkataan BAHASA MALAYSIA untuk rujukan pihak tuan/puan. Segala kerjasama amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih. Sekian. | Untuk makluman, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Dalam sumber perundangan yang lain seperti Akta Bahasa Kebangsaan 1967, bahasa kebangsaan digunakan bersama-sama bahasa Melayu dan arahan pentadbiran melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam juga menggunakan istilah bahasa kebangsaan dan bahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan akta yang sedang berkuat kuasa istilah bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan yang sewajanya digunakan dalam konteks rasmi kerajaan. Maksud rasmi “ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”. | Lain-lain | 24.07.2025 |
Yang berikut mana satu adalah betul? Sebab? 1. Senarai borang-borang yang digunakan... 2. Senarai borang yang digunakan... | Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, senarai bermaksud beberapa nama (orang, benda dan lain-lain) yang ditulis atau dicap berturut-turut; daftar: ~ nama pengarang. ~ hitam senarai nama orang (syarikat dan lain-lain) yang disyaki melakukan sesuatu yang salah atau yang membahayakan. ~ semak senarai yang di dalamnya terkandung barang-barang yang diperlukan, perkara yang perlu dilakukan, hal yang perlu diberi pertimbangan dsb, yang digunakan untuk disemak supaya semuanya telah ada, telah dilakukan dsb. Daripada takrifan tersebut, frasa yang betul ialah senarai borang yang digunakan... | Tatabahasa | 19.11.2014 |
Dia mengisikan borang atau dia mengisi borang? | Dia mengisikan borang atau dia mengisi borang? Perkataan mengisikan bermaksud memasukkan sesuatu ke dalam bekas atau ruang; memasukkan sesuatu sebagai isinya; Sementara, mengisi bermaksud menjadikan sesuatu bekas atau ruang berisi atau memberi isi. Penggunaan 'mengisikan' dan 'mengisi' yang betul adalah seperti contoh yang berikut: (1) Pelajar-pelajar diminta mengisikan maklumat peribadi dalam borang. (2) Pelajar-pelajar diminta mengisi borang dengan maklumat peribadi. Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, muka surat 589. | Tatabahasa | 04.10.2013 |
Dimanakah saya boleh mendapatkan panduan terperinci jika saya bercadang menerbitkan buku sendiri. Maksudnya dari segi perundangan dan borang-borang berkaitan. Sekian Al Fazli Sandakan Sabah | Menerbitkan buku sendiri atau “self publishing” telah diamalkan di Amerika Syarikat dan mula diamalkan di Malaysia. Antara majalah antarabangsa yang sering memberikan tumpuan kepada “self publishing” ialah “Writers Digest”. Beberapa tahun lalu, akhbar “The Star” ada menyiarkan makalah tentang “self publishing”. Untuk menerbitkan buku sendiri, selain sebagai penulis, seseorang itu lazimnya menanggung sendiri kos pracetak dan percetakan, serta memasarkan bukunya. Tidak ada borang khusus berkaitan dengan “self-publishing”. Dari segi perundangan, antara undang-undang yang perlu dipatuhi ialah peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, berhubung peruntukan pelesenan dan permit penerbitan, serta kandungan bahan penerbitan; Akta Hakcipta 1987, berhubung perlindungan hakcipta penulis, Akta Hasutan 1948 berkaitan dengan larangan menerbitkan bahan penerbitan yang menghasut, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 berkaitan dengan larangan mencetak dokumen tegahan. | Lain-lain | 28.05.2007 |
Salam Sejahtera DBP, Saya, bagi pihak Tesco Malaysia ingin mendapatkan pengesahan Bahasa yang akan kami gunakan dalam borang-borang yang seterusya di stor-stor Tesco. Versi Bahasa Inggeris serta istilah-istilah Bahasa Malaysia dilampirkan di sini untuk tindakan selanjut pihak DBP. DBP telah banyak membantu menjawab pertanyaan kami sebelum ini. Tetapi pertanyaan kami yang terakhir dijawab hanya sebahagian daripadanya. Sekian terima Kasih. Thilaga Nagappan, Pegawai Pematuhan Undang-Undang, Tesco Stores Malaysia Sdn Bhd Malaysia Sdn. Bhd. | Untuk makluman puan, Khidmat Nasihat Bahasa membuat semakan dokumen yang tidak melebihi tiga halaman. Walau bagaimanpun kami akan membantumenyemak dokumen puan dalam tempoh dua minggu dan hasil semakan akan di-e-mel kepada puan. | Tatabahasa | 30.10.2012 |
Salam Sejahtera DBP, Saya, bagi pihak Tesco Malaysia ingin mendapatkan pengesahan Bahasa yang akan kami gunakan dalam borang-borang yang seterusya di stor-stor Tesco. Versi Bahasa Inggeris serta istilah-istilah Bahasa Malaysia dilampirkan di sini untuk tindakan selanjut pihak DBP (24 muka surat/"sheet" dalam format excel). Sekian terima Kasih. Thilaga Nagappan, Pegawai Pematuhan Undang-Undang, Tesco Stores Malaysia Sdn Bhd Malaysia Sdn. Bhd. | Lihat Lampiran. | Tatabahasa | 22.10.2012 |
Salam Sejahtera DBP, Saya, bagi pihak Tesco Malaysia ingin mendapatkan pengesahan Bahasa yang akan kami gunakan dalam borang-borang tertentu di stor-stor Tesco. Versi Bahasa Inggeris serta istilah-istilah Bahasa Malaysia dilampirkan di sini untuk tindakan selanjut pihak DBP. Sekian terima Kasih. Thilaga Nagappan, Pegawai Pematuhan Undang-Undang, Tesco Stores Malaysia Sdn Bhd Malaysia Sdn. Bhd. | Teks bahasa Melayu telah disemak. Sila lihat Lampiran. | Tatabahasa | 08.10.2012 |
Memohon untuk menukar perkataan kepada format jawi "MAJLIS PERBANDARAN PORT DICKSON" dan dihantar dalam bentuk 'JPEG' untuk digunakan dalam borang-borang dalam sistem. | Lihat Lampiran. | Ejaan | 17.03.2015 |