yang manakah tepat ? 1. bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat 2. bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat Bolehkah pembetung digantikan dengan pembentung? Alang-alang menyeluk pekasam membawa maksud jika sudah terlanjur jahat, pastikan dapat hasilnya. masyarakat pula secara umumnya menerima peribahasa ini seperti peribahasa alang-alang mandi biar basah. Adakah penggunaan ini tepat? | 1. Untuk makluman, peribahasa yang tepat ialah bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. 2. Pembetung tidak boleh digantikan dengan pembentung. 3. Kamus Istimewa Peribahasa Melayu mengungkapkan makna yang persis bagi peribahasa Melayu iaitu sudah terlanjur jahat, pastikan dapat hasilnya. Walau bagaimanapun, dalam kalangan masyarakat Melayu, peribahsa itu sering disamakan dengan alang-alang mandi biar basah. Oleh itu, kami mengambil pendekatan untuk menerima kedua-dua makna yang tersebut bergantung pada konteks penggunaannya ketika itu.
| Tatabahasa | 22.10.2015 |
maksud (1) Demografi dan Biografi (2) Bulat air kerana pembetung ............. (mohon berikan peribahasa ini dengan penuh) | DEmografi ialah kajian tentang ciri-ciri perkembangan penduduk dalam tempoh tertentu. Biografi ialah riwayat atau kisah hidup seseorang. Peribahasa lengkap : Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat. | Makna | 08.07.2008 |
Tuan, Mana satukah yang betul? 1) Bulat air kerana pembetung, ... atau 2) Bulat air kerana pembentung, ...? Terima kasih. | Peribahasa yang dirakamkan dalam Kamus Istimewa Peribahasa Melayu ialah "Bulat air oleh pembuluh, bulat kata oleh muafakat". | Lain-lain | 13.09.2011 |
perdebatan tentang peribahasa 'bulat air kerana pembentung,bulat kata kerana muafakat'.wajarkah ia di bahaskan???? | Peribahasa ini boleh dijadikan tajuk perbincangan atau perbahasan mengikut konteks yang bersesuaian . | Lain-lain | 25.08.2010 |
Apakah maksud peribahasa "bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat"? | Maksudnya kata sepakat tercapai dengan mesyuarat. | Tatabahasa | 01.11.2009 |
Tolong membantu saya menyemak bina ayat ini keselurahannya. 2.Budaya mengunjungi perpustakaan membantu kita menghargai masa yang diibaratkan sebagai emas. 3.Ibu bapa perlu membudayakan amalan menabung dalam kalangan anak sejak kecil bak kata pepatah,melentur buluh biarlah dari rebungnya. 4.Kita hendaklah rajin membaca surat khabar supaya kita mengetahui hal-ehwal dunia dan tidak dianggap sebagai katak di bawah tempurung. 5.Para pelajar hendaklah dibiasakan dengan budaya menabung wang angkos walaupun sedikit kerana sikit-sikit lama-lama jadi bukit. 6.Aktiviti kokurikulum yang melibatkan pelajar pelbagai kaum membuka ruang bagi para pelajar bersua antara satu sama lain bak kata orang tua-tua tak kenal maka tak cinta. 7.Budaya gotong-royong dapat memupuk semangat kerjasama dan permuafakatan dalam kalangan penduduk bak kata peribahasa bulat air kerana pembetung,bulat kata kerana muafakat. 8.Cara menghargai jasa orang tua hendaklah dengan menyayangi mereka agar mendapat kepuasan yang tidak terpermanai banyaknya. 9.Masyarakat yang berbilang bangsa hidup gembira dan aman menyempenakan negara. 10.Negara Malaysia sebuah negara yang beragama dan beretika dalam pelbagai kaum terdiri daripada adat istiadat,saling berkunjung,saling membantu dalam keadaan yang indah permai bak kata cendekiawan indah ialah kata yang lahir daripada keadaan sebuah negara yang maju. | 2.Budaya mengunjungi perpustakaan membantu kita mengisi masa kerana masa itu emas. 3.Ibu bapa perlu membudayakan amalan menabung dalam kalangan anak sejak kecil seperti peribahasa; Melentur biarlah waktu rebung. 4.Kita hendaklah rajin membaca surat khabar supaya kita mengetahui hal ehwal dunia dan tidak dianggap seperti katak di bawah tempurung. 5.Para pelajar hendaklah dibiasakan dengan budaya menabung kerana walaupun sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. 6.Aktiviti kokurikulum yang melibatkan pelajar pelbagai kaum membuka ruang kepada mereka untuk bertemu antara satu sama lain seperti peribahasa tak kenal maka tak cinta. 7.Budaya gotong-royong dapat memupuk semangat kerjasama dan permuafakatan dalam kalangan penduduk seperti bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. 8.Cara menghargai jasa orang tua adalah dengan menyayangi mereka agar mendapat kebaikan yang terpermanai. 9.Masyarakat berbilang bangsa hidup dengan aman dan gembira dalam sebuah negara yang harmoni. 10.Negara Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama serta hidup dengan penuh adat istiadat,beretika, saling berkunjung dan saling membantu dalam apa jua keadaan untuk mencapai negara yang bertamadun. | Tatabahasa | 24.08.2018 |
Berkaitan dengan pertanyaan tentang 'bidalan' dan 'pepatah', bagaimanakah kita hendak menentukan sama ada peribahasa tersebut dikategorikan sebagai 'bidalan' atau 'pepatah'. Apakah ada petunjuk atau 'key words' yang dapat membezakan bidalan dengan pepatah? Terima kasih. | Secara umumnya kedua-duanya mempunyai peranan yang hampir sama tetapi bidalan lebih kerap digunakan berbanding dengan pepatah. Bidalan mempunyai nilai, ilmu dan pengajaran, sedangkan pepatah lebih ringkas sifatnya dan tidak mempunyai pengajaran. Pepatah ini sering berkait rapat dengan adat-istiadat, undang-undang atau peraturan masyarakat. Bidalan ialah peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat seperti perumpamaan. Bidalan juga mempunyai maksud dua lapis. Untuk mengenali bidalan, ia lebih mudah kerana “ bidalan tidak didahului oleh kata sendi nama seperti, bagai, laksana dan umpama. Contoh bidalan Malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan. Jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. (Maksud lapis pertama jelas. Maksud lapis kedua ialah merujuk kepada seseorang yang kurang berilmu atau mempunyai sedikit ilmu serta pengalaman tetapi mahu mencuba sesuatu yang di luar kemampuannya.) Pepatah pula sering juga dipanggil perbilangan. Pepatah atau perbilangan mempunyai struktur yang hampir sama bidalann namun perbezaannya ialah pepatah disusun berangkap-rangkap seperti ikatan puisi. Setiap rangkai pepatah terdiri daripada dua baris atau lebih dan ia disebut satu demi satu seolah-olah orang sedang membuat perbilangan. Contoh pepatah Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana maufakat. Cubit paha kiri, paha kanan sakit juga Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Kalah jadi abu, menang jadi arang. | Sastera | 16.02.2011 |
Salam sejahtera, apakah maksud peribahasa yang berikut? 1. yang bulat tidak akan bergolek, yang pipih tidak datang melayang 2. dayung sudah di tangan, perahu sudah di air 3. Rokiah _________ apabila disergah oleh rakannya ketika dia sedang asyik membaca nove. A terkial-kial B terpinga-pinga apakah jawapan yang tepat? 4. atlet yang tersohor itu tidak dapat berlari dengan LANCAR kerana halangan angin yang bertiup kencang dari arah bertentangan. tepatkah penggunaan kata LANCAR dalam ayat di atas? 5. (a) kereta yang dipandu secara BERANSUR dapat mengelakkan kemalangan. (b) kami sekeluarga BERANSUR dari majlis kenduri itu ketika hari sudah lewat petang. betulkah penggunaan kata 'beransur' dalam kedua-dua ayat di atas? terima kasih | Saudara, Maksud peribahasa yang dikemukakan adalah seperti yang berikut: i. Orang yang bertuah mendapat keuntungan dari mana-mana saja ii. Tak usah takut-takut, kerana sama-sama mempunyai kekuatan dan alat syaratnya. iii. terpinga-pinga iv. Antara makna lancar ialah terlalu pantas dan licin (pergerakan sesuatu benda, percakapan, dll), laju, tidak tersangkut-sangkut: nya ~; bas itu berjalan dgn ~nya; bergerak dgn laju (motokar, kapal, dll): kereta itu ~ dgn lajunya meninggalkan tempat itu; memulakan (menggerakkan) sesuatu dgn cepat, menyebabkan berjalan dgn cepat (licin). Berdasarkan makna yang diberikan perkataan "lancar" boleh digunakan. Makna beransur-ansur :1. sedikit demi sedikit (melakukan sesuatu atau berlakunya sesuatu), (dgn) berdikit-dikit: hutang itu dibayar ~; keberaniannya datang ~; dgn ~, guru menambah pengetahuan murid-murid; dgn berhentinya pengeluaran majalah itu, maka gerakan itu pun beransur-ansur ghaib; 2. sedikit demi sedikit bertukar kpd sesuatu keadaan, semakin: tenaganya ~ pulih; demamnya ~ kebah; hari ~ gelap; 3. bergerak meninggalkan sesuatu tempat sedikit demi sedikit (tidak serentak): mereka mulai ~ dr tempat itu; 4. bergerak (berengsot dsb) sedikit-sedikit atau perlahan-lahan: mereka ~ ke depan; | | | | Oleh itu, penggunaan perkataan "beransur-ansur dalam ayat 5(a) tidak sesuai, tetapi sesuai dalam ayat 5(b). | Lain-lain | 15.10.2010 |
Apakah maksud: 1. Jejantung 2. Jari-jari 3. Kipas-kipas 4. Lelabu 5. Pepijat 6. Susup-sasap | 1. Perkataan jejantung tiada dalam data kami. 2. Antara tujuan penggandaan kata ialah sebagai penanda kesamaan atau keserupaan. Contohnya: jari-jari atau jejari , bermaksud rupanya seperti jari. Contohnya: Jejari basikal. Kata jamak bagi jari ialah jari-jari atau jari-jemari yang bermaksud anak-anak jari. 3. Kipas-kipas bermaksud banyak kipas. 4. Labu bermaksud a) sj buyung, bekas air, kendi; b) benda bulat perhiasan puncak masjid dll; c) Id bakul bulat yg digantung pd tiang di pelabuhan (utk menandakan kapal sudah boleh masuk); 5. Pepijat ialah nama sejenis kutu yg busuk baunya; kepinding, Cimex lectularius. 6. Susup-sasap bermaksud menyorok (masuk) ke sana ke mari. Penggandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan. Contoh kata ganda separa kata tunggal, laki - lelaki pohon - pepohon, gelang gegelang tikus - tetikus. Namun tidak semua perkataan boleh menjadi kata ganda separa. Ada juga perkataan yang dijadikan kata ganda separa apabila ia dibentuk menjadi istilah. Contohnya rambut - menjadi rerambut. Ada juga yang mengatakan kata ganda separa dibentuk apabila sesuatu benda itu menjadi seolah-olah seperti. Contohnya kuda menjadi kekuda, tikus (mouse dalam istilah komputer) menjadi tetikus.Untuk huraian yang lebih lengkap sila rujuk tatabahasa halaman 77 dan 78. | Tatabahasa | 20.12.2013 |
Mohon nyatakan sama ada berikut ialah pepatah ataupun bukan. "Kesihatan adalah harta dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit". Terima kasih. | Saudari, Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pepatah bermaksud peribahasa yang berisi nasihat dan lain-lain; kata-kata orang tua-tua yang terdapat ajaran di dalamnya, pepatah sama seperti bidalan dan perbilangan. Contoh pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana maufakat, cubit paha kiri, paha kanan sakit begitu juga dengan ditelan mati emak, diluah mati bapak dan Kalah jadi abu, menang jadi arang. Oleh itu, "Kesihatan adalah harta dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit" lebih kepada frasa dan bukan tergolong dalam kategori pepatah. | Tatabahasa | 08.08.2012 |