Salam sejahtera. Bagaimana hendak membezakan antara "spark" dengan "firework" kerana di sini ia diterjemahkan sebagai "bunga api" (sebenarnya kedua-dua itu mempunyai maksud dan konsep yang berbeza). Jadi adakah "percikan api" lebih sesuai untuk "spark" berbanding "bunga api". Harap boleh berikan keterangan lanjut. | Mengikut Kamus Inggeris Melayu Dewan, spark membawa maksud (1) bunga api yang dihasilkan apabila dua ketul batu saling digeselkan; (2) percikan api. Firework ialah bunga api. Dalam bahasa Melayu, sesuatu perkataan boleh dibezakan dengan konteks, contohnya, pesta bunga api – bunga api dalam konteks ini boleh merujuk pada firework, dan juga boleh merujuk pada spark apabila kita memahaminya sebagai pesta percikan api. | Istilah | 13.02.2014 |
ayat yang lebih tepat ... persembahan bunga api atau pertunjukan bunga api | Salam sejahtera, Puan, Pertunjukan membawa maksud sesuatu yg dipertontonkan (wayang gambar, sandiwara, dan lain-lain), tontonan. Manakala, persembahan pula sesuatu yang dihidangkan atau dipertunjukkan (permainan, pementasan, filem, dan lain-lain). Kedua-dua bersinonim. Jadi, kedua-dua perkataan tersebut boleh digunakan dalam konteks ayat tersebut. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 07.08.2017 |
Assalamualaikum... Mohon bantuan rakan-rakan. Apa penjodoh bilangan yang paling sesuai untuk bunga api? Sebatang atau sepuntung? | Pada kelazimannya penjodoh bilangan diberi mengikut bentuk fizikal sesuatu benda. Jika bentuknya seperti batang, maka penjodoh bilangan yang sesuai ialah batang. | Lain-lain | 25.07.2013 |
1. Negara bersih akan menjadi tumpuan pelancong asing untuk kunjungan. - Salah Jadi, adakah kunjungan digantikan dengan berkunjung? 2. Oleh sebab keadaan cuaca yang tidak tentu, pertunjukan bunga api itu terpaksa ditangguhkan. - Salah Adakah tentu digantikan dengan menentu? 3. Kereta buatan negara Jepun ini sangat mahal betul. - Salah Adakah sangat mahal betul digantikan dengan mahal betul? 4. Sebelum tidur, ibu suka membacakan adik cerita di dalam buku cerita itu. - Salah Adakah di dalam digantikan dengan dalam? 5. Sejak bersara, Pak Ali menghabiskan banyak masa dengan keluarganya. - Betul Bukankah perkataan sejak tukar kepada setelah? | Ayat yang betul ialah: 1. Negara bersih akan menjadi tumpuan pelancong untuk dikunjungi. 2. Oleh sebab keadaan cuzca yang tidak menentu, pertunjukan bunga api itu terpaksa ditangguhkan. 3. Kereta buatan negara Jepun ini sangat mahal/Kereta buatan negara Jepun ini mahal betul. 4. Sebelum tidur, ibu suka membacakan adik buku cerita. 5. Sejak/Setelah bersara, Pak Ali menghabiskan banyak masa dengan keluarganya. | Tatabahasa | 15.07.2024 |
Salam sejahtera tuan. Saya ada beberapa soalan. Adakah ayat-ayat di bawah ini betul? 1) Negara bersih akan menjadi tumpuan pelancong asing untuk kunjungan. 2) Oleh sebab keadaan cuaca yang tidak tentu, pertunjukan bunga api itu terpaksa ditangguhkan. 3) Selain menternak lembu, Pak Hamid juga menternak itik untuk pasaran tempatan. 4) Kereta buatan negara Jepun ini sangat mahal betul. 5)Sebelum tidur, ibu suka membacakan adik cerita di dalam buku cerita itu. 6) Sejak bersara, Pak Ali menghabiskan banyak masa dengan keluarganya. | 1. Negara bersih akan menjadi tumpuan pelancong asing untuk kunjungan. - Salah 2. Oleh sebab keadaan cuaca yang tidak tentu, pertunjukan bunga api itu terpaksa ditangguhkan. - Salah 3. Selain menternak lembu, Pak Hamid juga menternak itik untuk pasaran tempatan. - Betul 4. Kereta buatan negara Jepun ini sangat mahal betul. - Salah 5. Sebelum tidur, ibu suka membacakan adik cerita di dalam buku cerita itu. - Salah 6. Sejak bersara, Pak Ali menghabiskan banyak masa dengan keluarganya. - Betul | Tatabahasa | 12.07.2024 |
bunyi untuk meriam = degum-degam betul ke salah atau dentam-dentum bunyi utuk ape? | Degum-degam untuk meriam, dentam-dentum untuk bunga api. | Tatabahasa | 16.09.2008 |
Salam sejahtera tuan, berikut ialah pertanyaan saya. 1) Sejak kematian kedua-dua orang ibu bapanya, Ali berasakan tiada apa-apa lagi yang ada padanya. Adakah apa-apa betul? ataupun perlu digantikan dengan siapa-siapa? 2) Kami akan melihat pertandingan bunga api antara empat buah negara pada malam ini. Adakah melihat sesuai dalam konteks ayat ini? Terima kasih. | Ayat yang betul ialah “Sejak kematian kedua-dua ibu bapanya, Ali berasakan tiada apa-apa lagi yang ada padanya.” Perkataan “apa-apa” boleh digunakan merujuk kepada sesuatu benda, hal, keadaan dan sebagainya. Dalam ayat kedua, perkataan “melihat” boleh digunakan, namun pilihan kata “menyaksikan” lebih gramatis; “Kami akan “menyaksikan” pertandingan bunga api antara empat buah negara pada malam ini.” | Tatabahasa | 07.01.2022 |
Adakah pilihan jawapan bagi ayat yang diberikan ini betul? Kalau betul, yang mana satu jawapan yang sesuai? Sejak petang lagi, orang ramai sudah _________ ke Dataran Merdeka untuk menyaksikan pertunjukan bunga api. A. Bergegas-gegas B. beratus-ratus C. Berduyun-duyun D. Berderet-deret | Jawapan yang betul ialah berduyun-duyun. | Tatabahasa | 25.07.2013 |
Adakah struktur ayat di bawah ini betul? 'orang ramai' diikuti dengan 'berduyun-duyun' walhal orang ramai sudah menunjukkan jumlah yang banyak. Sejak petang lagi, orang ramai sudah berduyun-duyun ke Dataran Merdeka untuk menyaksikan pertunjukan bunga api. | Orang ramai bermaksud masyarakat umum atau orang awam dan orang ramai tidak dinisbahkan kepada ramainya orang. Oleh itu, ayat tersebut betul dan telah mantap penggunaannya dalam kalangan masyarakat. | Tatabahasa | 26.07.2013 |
memperingati , mengingati, memperingatkan , mengingatkan...apakah perbezaan yang khusus antara perkataan ini? terima kasih | Untuk mengetahui perbezaan antara perkataan yang tersebut, lihat makna dan contoh penggunaannya seperti yang berikut: 1. memperingati bermaksud mengenangkan sesuatu peristiwa dan sebagainya dengan perayaan, contoh ayat: Perayaan itu diadakan kerana memperingati hari tertubuhnya Malaysia; 2. mengingati bermaksud mengingat akan, contoh ayat: Dia sentiasa mengingati pesan ibunya; 3. memperingatkan dan mengingatkan bermaksud memberi nasihat dan sebagainya supaya sedar akan tanggungjawab, contoh ayat: Saya telah banyak kali memperingatkan mereka tentang bahaya bermain bunga api dekat rumah. | Tatabahasa | 04.03.2011 |