Mana satu betul? a) "Seorang orang buta" atau "Seorang buta"? b) "Menyediakan makan kepada para tetamu" ATAU "Menyediakan makanan untuk para tetamu." c) "Membeli makanan kepada anaknya" ATAU "Membeli makanan untuk anaknya" "Menjahit sehelai baju kepada anaknya" ATAU "Menjahit sehelai baju untuk anaknya". Soalan terakhir, betulkah perkataan "mengemop" tidak wujud dalam bahasa Malaysia? Terima kasih. | A) Yang betul ialah "Seorang buta". B) "Menyediakan makan kepada para tetamu" ATAU "Menyediakan makanan untuk para tetamu." - kedua-dua ayat ini betul C) Yang betul ialah "Membeli makanan untuk anaknya". D) Yang betul ialah "Menjahit sehelai baju untuk anaknya". E) Tidak ada contoh penggunaan kata mengemop dalam sumber rujukan kami, kami cadangkan perkataan tersebut ditukar kepada mengelap lantai. | Tatabahasa | 27.09.2010 |
Apakah definisi buta huruf ? | Buta huruf bermaksud tidak pandai membaca dan menulis. | Makna | 28.06.2008 |
makna perkataan..MENYALANG.. | nyalang 1. terbuka (mata), celik; 2. dapat melihat, tidak buta; menyalangkan membukakan (mencelikkan) mata, membelalakkan. | Istilah | 26.12.2006 |
Walaupun penafian telah dibuat bahawa Malaysia tidak pernah “mencuri” tarian itu untuk iklan video klip promosi pelancongan negara yang sebenarnya dibuat sebuah syarikat swasta yang berpejabat di Singapura, namun hakikat itu “jatuh ke telinga yang tuli dan mata yang buta”. – Utusan Msia onlne / 8/9/2009 Apakah maksud ‘jatuh ke telinga yang tuli dan mata yang buta’ ? Terima kasih. | Frasa tersebut tiada dalam rujukan kami. | Lain-lain | 05.02.2010 |
Beza antara perkataan 'melihat' dan 'memandang'. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, melihat bermaksud 1. nampak apabila memandang, tidak buta, celik: ia tidak dapat ~ lagi kerana matanya sudah kabur; 2. memandang (menengok, menonton, dll) dgn menggunakan mata: mereka pergi ke tepi pantai ~ kapal yg terdampar itu; 3. menilik, meramal (nasib dll): ~ nasib; 4. membuat kesimpulan dgn menggunakan pancaindera, memaklumi (mengetahui dsb) dgn atau setelah melihat (mendengar dsb), meninjau: setelah ~ raja murka itu segalanya orang besar-besar semuanya takut gementar tulangnya; dlm hal ini kita cuba ~ beberapa sebab tersebut; dilihat dr sudut bahasa, beliau tidak menyambung pencapaian bahasa dlm cerpen-cerpen Keris Mas; 5. melawat (orang sakit dll), menziarahi: ~ orang sakit; ~ bulan datang haid. Memandang pula ditakrifkan sebagai 1. menggunakan mata utk mengetahui, melihat seraya mengendahkan, memperhatikan, mengamati: dipandangnya bangunan yg tiga tingkat itu; segala perempuan yg ~ itu semuanya tertawa gelak-gelak; 2. menganggap: Wan Derus dipandang sbg seorang ketua; 3. memikirkan, mempedulikan, memerhatikan: keadilan tidak ~ pangkat atau harta; 4. menghormati, menghargai: ia dipandang orang di kampung itu; ~ berat menganggap sesuatu bukan sbg perkara kecil atau tidak penting, memberikan perhatian dgn penuh kesungguhan; ~ enteng (gampang, mudah, ringan, sepi) menganggap enteng (gampang dll), menganggap tidak penting; ~ hina (rendah) a) menganggap hina (rendah); b) menghinakan (merendahkan); ~ jauh (ke hadapan) memberikan perhatian kpd atau memperhitungkan perkembangan (kepentingan dsb) jangka panjang; ~ kpd mengambil kira akan, memperhitungkan, memikirkan; ~ serong menganggap tidak jujur, tidak mempercayai. | Istilah | 03.12.2009 |
Istilah terkini untuk OKU? | Puan Marina, Istilah bagi seseorang yang mengalami kekurangan atau keadaan kurang sempurna (lengkap, baik) pada anggota badan, misalnya buta, pekak, kudung dan sebagainya akan dipanggil "Orang Kurang Upaya" atau singkatan OKU. | Istilah | 28.06.2009 |