Assalamualaikum. Mohon pencerahan sama ada penggunaan 'nya' dalam ayat ini betul: 'Telefon anda boleh dibuka kuncinya oleh orang lain jika telefon itu dihalakan rapat ke wajah anda.' Apakah fungsi 'nya' dalam ayat tersebut? Terima kasih. | Ayat yang betul: Kunci telefon anda boleh dibuka oleh orang lain jika telefon itu dihalakan rapat ke wajah anda. -nya merupakan kata ganti diri ketiga dan hanya boleh digunakan pada manusia (TATABAHASA DEWAN EDISI KETIGA halaman 103-104)
| Tatabahasa | 20.08.2019 |
Selamat Sejahtera, 1. Saya mempunyai kemusykilan untuk mengetahui golongan kata 'nya' yang bergabung dengan perkataan 'misalnya' dan 'contohnya'. Adakah 'nya' dalam perkataan tersebut dikategorikan sebagai kata pascakata yang berfungsi sebagai penekan atau pembenda? 2. Boleh jelaskan juga apakah sebenarnya golongan kata untuk perkataan 'misal', 'contoh' dan 'barangkali. | -nya merupakan kata ganti diri orang ketiga. Hanya digunakan pada manusia dan Kata ganti nama Nya yang merujuk kepada Allah hendaklah dieja dengan tanda sempang dan huruf besar seperti di sisi-Nya dan kehendak-Nya. Selain bertindak sebagai kata ganti nama diri orang ketiga 'nya' juga bertindak sebagai kata pembenda/penekan. "Misal" dan "contoh" terdiri daripada kata nama, manakala "barangkali" terdiri daripada kata tugas. | Istilah | 01.08.2013 |
Cikgu, saya ingin menanyakan bahawa adakah penggunaan -nya dalam merujuk objek tidak bernyawa adalah betul atau salah? Perhatikan contoh-contoh berikut: (-nya telah ditulis dengan semua huruf besar -NYA untuk memberikan penegasan) 1. Hadiah itu untuk ibu. HargaNYA mahal. 2. Apabila ejaan perkataan itu ditukarkan, maksudNYA juga akan bertukar. 3. (Dipetik daripada Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 75) - Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaanNYA tetap terpisah. Pada pengetahuan saya, -nya hanya digunakan sebagai kata ganti nama ketiga untuk manusia. Apakah pandangan DBP? Saya memerlukan pandangan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai rujukan dalam hal ini. Terima kasih DBP. | Dalam bahasa Melayu, tidak ada ejaan semua huruf besar perkataan ‘NYA’ untuk membawa penegasan. Bentuk –nya boleh hadir sebagai kata penekan dan kata pembenda. Kata penekan ialah bentuk yang memberikan penegasan kepada kata yang bergabung dengannya. Contoh dalam ayat: Hadiah itu sesungguhnya sangat mahal. | Tatabahasa | 28.06.2014 |
Apakah fungsi kata -nya dalam perkataan "seterusnya" dan "esoknya" | Fungsi kata "nya" dalam perkataan "seterusnya" dan "esoknya" bermaksud untuk menegaskan atau menguatkan sesuatu maksud itu. | Tatabahasa | 28.08.2009 |
Ayat: Siti mengutip kulit siput di tepi pantai lalu memasukkannya ke dalam beg plastik. Soalan: Apakah fungsi -nya dalam perkataan " memasukkannya"? Bukankah nya untuk kata ganti nama diri orang ketiga? | Ya, betul –nya merupakan kata ganti diri orang ketiga. | Tatabahasa | 23.06.2014 |
Salam sejahtera, Bolehkah Tuan/Puan menyatakan sama ada penggunaan 'nya' dalam ayat berikut adalah betul? Jika tidak, apakah cadangan ayat yang lebih gramatis? 1) Burung dapat mengekalkan suhu badannya kerana burung berdarah panas. 2) Objek itu stabil kerana tapaknya yang besar. 3) Ikan menggunakan siripnya untuk berenang dalam air. Sekian, terima kasih. CK | Nya ialah kata ganti diri orang ketiga. Oleh itu, penggunaan "nya" dalam ayat contoh yang diberikan adalah tidak gramatis. Berdasarkan ayat tersebut kata "nya" boleh digugurkan seperti Burung dapat mengekalkan suhu badan kerana burung berdarah panas. | Tatabahasa | 19.01.2012 |
Salam hormat. Saya ingin bertanya apakah fungsi "-nya" dalam perkataan-perkataan seperti kesimpulannya, selamanya, sesudahnya dan antaranya? Terima kasih. | Salam hormat, Fungsi 'nya' ialah sebagai kata pembenda dan penekan selain bertindak sebagai kata ganti nama diri ketiga. | Tatabahasa | 14.09.2015 |
saya ada kemuskilan mengenai penggunaan perkataan nya. adakah penggunaan kawan-kawannya itu salah? | Penggunaan -nya dalam perkataan kawan-kawannya adalah betul. | Tatabahasa | 19.07.2013 |
Adakah perkataan -nya boleh digabungkan dengan perkataan "seolah-olah"? Contoh ayat: Kalau kamu berkata begitu, seolah-olahnya kamu menuduh saya mencuri. Pada pendapat saya, dalam contoh ayat di atas, perkataan -nya itu adalah tidak diperlukan untuk menyampaikan maksud ayat kerana jika digugurkan perkataan -nya dalam ayat itu, ia masih menyampaikan maksud yang sama. Kalau kamu berkata begitu, SEOLAH-OLAH kamu menuduh saya mencuri. Untuk itu saya berpendapat perkataan seolah-olah tidak perlu sama sekali disertakan dengan -nya dalam mana-mana keadaan jua. Ia menjadi perkataan yang lewah dan berlebihan. Ia juga tidak menjadikan perkataan seolah-olah sebagai penegasan. Adakah betul pendapat saya? | Antara fungsi -nya ialah sebagai kata tugas, iaitu penegas dalam ayat seperti dalam contoh ayat yang tuan berikan. Kata -nya perlu hadir untuk melengkapkan ayat tersebut. Untuk lebih jelas sila lihat contoh yang lain seperti sesungguhnya pemuda itu telah difitnah sebelum ini. | Tatabahasa | 29.05.2020 |
Tuan, minta lihat di bawah terlebih dahulu. 1. Bas ini bergerak dengan lajunya. Dalam ayat (1), frasa sendi nama "dengan lajunya" bertugas sebagai keterangan cara dalam frasa kerja "bergerak dengan lajunya". Soalan saya jika kata pembenda -nya dalam kata sifat "lajunya" digugurkan, adakah ayat di atas masih betul? Setelah pengguguran kata pembenda -nya dalam kata sifat "lajunya" berlaku, ayat akan berubah menjadi berikut: 1. (a) Bas ini bergerak dengan laju. Adakah ayat 1. (a) betul? Adakah pengguguran kata pembenda -nya dalam kata sifat akan menjejaskan ayat? | Kata –nya dalam ayat Bas ini bergerak dengan lajunya berfungsi sebagai kata penekan. Ayat Bas ini bergerak dengan laju betul. | Tatabahasa | 29.12.2014 |