| apakah perbezaan penggunaan kata “dan” dan “dengan” ? | Perkataan “dan” dan “dengan” mempunyai fungsi yang berbeza dalam ayat walaupun kedua-duanya merupakan kata tugas, sama ada sebagai penghubung, penerang, pembantu, atau tugas-tugas lain. Perkataan “dan” ialah kata hubung yang digunakan untuk menghubungkan dua kata, frasa atau ayat yang sepadan atau sama tara sifatnya. Contoh penggunaan perkataan “dan” dalam ayat adalah seperti yang berikut: - Ibu membeli ikan dan sayur. (Kata hubung setara)
- Aminah mengemas rumah dan ibunya membasuh kain. (Kata hubung gabungan)
Perkataan “dengan” pula ialah kata tugas yang tergolong sebagai kata sendi nama dan kata penyambung ayat atau kata hubung keterangan cara. Penggunaan kata “dengan” dalam ayat adalah seperti contoh yang berikut: - Siti memotong sayur dengan pisau. (Kata sendi nama)
- Ali datang ke sekolah dengan menaiki bas. (Kata hubung keterangan cara)
Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan penggunaan kata tugas ini, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 475 dan 506, atau buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015) halaman 249. | Tatabahasa | 20.08.2025 |
| Boleh bagi penerangan antara tatakelola dan karenah birokrasi | Tatakelola atau tadbir urus bermaksud pentadbiran organisasi mengikut prosedur dan peraturan yg ditetapkan, dan menitikberatkan sifat dan sikap positif pemimpin, pengalaman, kemahiran dan pengetahuan serta ideologi dan fikiran yang prolifik untuk menjana perubahan. Kerenah birokrasi pula bermaksud proses atau urusan kerja, terutamanya yang melibatkan pihak kerajaan atau agensi kerajaan, yang terpaksa melalui pelbagai peringkat kelulusan dan mengambil masa yang sangat lama, sebelum sesuatu permohonan atau perkara dapat diluluskan atau dilaksanakan. Untuk maklumat lanjut, sila dapatkan Kamus Dewan Perdana di kedai buku DBP atau melalui laman portal DBPNiaga.my.
| Makna | 19.08.2025 |
| Bagaimana meningkat koheren dan kohensi dalam penulisan formal dan bentuk cereka, novel dan cerpen. | Bagus kerana saudara mengambil berat tentang prinsip asas dalam linguistik teks dan retorik terutama amalan praktis untuk meningkatkan koheren serta kohesi dalam penulisan formal dan kreatif. Ringkasnya, koheren tentang idea wacana tersusun dan logik, manakala kohesi tentang keterkaitan hubungan antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain untuk menghasilkan satu wacana yang lengkap dan gramatis. Tips Meningkatkan Koheren dan Kohesi dalam Penulisan Formal: Susun Rangka Penulisan Secara Sistematik: Mulakan dengan pengenalan yang jelas, diikuti isi utama yang tersusun mengikut topik, dan diakhiri dengan kesimpulan yang menguatkan mesej. Gunakan Kata Hubung yang Sesuai: Antara misalan termasuklah "oleh itu", "selain itu", "bagaimanapun", "seterusnya", untuk mengaitkan idea agar aliran tulisan lebih lancar. Jaga Kesinambungan Idea: Setiap perenggan harus berpaut kepada idea utama. Elakkan lompat dari satu perkara ke perkara lain secara tiba-tiba. Periksa Gaya Bahasa dan Tatabahasa: Penulisan formal memerlukan bahasa yang tepat dan lengkap dari segi tatabahasa untuk memudahkan pemahaman. Tips Meningkatkan Koheren dan Kohesi dalam Penulisan Cerpen, Novel, dan Cereka: Bangunkan Plot dan Tema dengan Jelas: Pastikan jalan cerita tersusun dengan baik supaya pembaca boleh mengikuti perkembangan cerita dengan mudah. Gunakan Dialog dan Naratif yang Bersifat Kohesif: Dialog antara watak harus berkaitan dengan keadaan cerita dan naratif menjelaskan suasana, perasaan, atau tindakan watak secara jelas. Pengulangan dan Sinonim: Penggunaan perkataan yang berulang atau sinonim dapat membantu mengekalkan fokus pembaca dan sambungan antara ayat dan perenggan. Perhatikan Gaya Bahasa: Dalam bentuk sastera, bahasa boleh bersifat lebih kreatif tetapi jangan sampai mengganggu kelancaran pemahaman. Untuk rujukan tambahan, sila dapatkan buku tulisan Asmah Haji Omar, Wacana Teks Genre: Teori dan Kaedah di kedai Ujana Buku DBP atau layari DBPniaga (dbpniaga.my).
| Karya | 21.07.2025 |
| "Maafkan saya" atau "Maafi saya"? Bagaimanakah untuk membezakan penggunaan "-i" dan "-kan", "meN-...-i" dan "meN-...-kan", "di-...-i" dan "di-...-kan", "memper-...-i" dan "memper-...-kan" serta "diper-...-i" dan diper-...-kan"? | Penggunaan frasa yang betul ialah “maafkan saya”. - Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan imbuhan "-i", "-kan", "meN-...-i", "meN-...-kan", "di-...-i", "di-...-kan", "memper-...-i", "memper-...-kan", "diper-...-i" dan diper-...-kan", sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 150 hingga 217. | Tatabahasa | 24.01.2026 |
| Salam sejahtera. Antara berikut, yang mana lebih tepat digunakan dalam ayat? Mengapa? 1. Saya dan ibu bapa / Ibu bapa dan saya 2. Saya dan Fatimah / Fatimah dan saya | Keempat-empat contoh yang diberikan boleh digunakan. | Tatabahasa | 20.06.2025 |
| Assalamualaikum. Apakah perbezaan penggunaan "antara ...dengan" dan "antara...dan"? Adakah ayat yang melibatkan 2 perkara menggunakan "antara ... dengan"? Yang manakah ayat yang betul: (1) Persahabatan antara Ali dengan Abu...(2)Persahabatan antara Ali dan Abu... Terima kasih. | Penggunaan ayat betul "antara ...dengan...". Contohnya, “Persahabatan antara Ali dengan Abu …” Untuk makluman, perkataan “antara” ialah kata sendi nama yang hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Kata sendi nama “antara” boleh digunakan pada awal ayat bagi menerangkan: · Perbandingan · Merujuk dua atau beberapa orang, benda, keadaan dan sebagainya yang dibuat perbandingan · Terbatas kepada · Sementara · Kira-kira atau lebih kurang Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 284 dan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 114. | Tatabahasa | 28.05.2025 |
| Mohon pencerahan beda perkataan KUIS, KAIS, KAIT dan KAIH. Mohon juga contoh ayat untuk membedakannya. Terima kasih. | Kais atau mengais mempunyai tiga makna, iaitu: 1. mencakar dan menggaruk (tanah, pasir dan sebagainya) seperti ayam yang mencari makan 2. mencari (rezeki) dengan susah payah Kaih ialah ialah versi dialek (tidak baku) untuk kata baku kais. Kuis atau menguis mempunyai dua makna, iaitu: 1. menolak, menepis, atau menyepak sesuatu ke tepi atau ke tempat lain 2. mencakar atau menggaruk (sampah, tanah dan lain-lain) seperti ayam untuk mencari makanan Kait mempunyai empat makna, iaitu: 1. besi, kayu dan sebagainya yang bercangkuk di hujungnya dan dipasang pada buluh dan sebagainya untuk memetik buah-buahan dan sebagainya 2. sesuatu yang terselindung dan menyusahkan 3. berkaitan dengan kait 4. lihat makna mengait Mengait mempunyai empat makna, iaitu: 1. memetik sesuatu dengan kait 2. menarik atau mencangkuk sesuatu dengan sesuatu yang seperti kait 3. menjalinkan benang dengan jarum kait untuk membuat (renda, baju panas dan sebagainya) 4. mengambil (keuntungan dan lain-lain) dengan cara tidak halal Untuk maklumat lebih lanjut, silalah dapatkan Kamus Dewan Perdana (2020) di kedai-kedai buku DBP atau melalui portal DBPNiaga.my | Makna | 07.12.2025 |
| Perbezaan “menyakiti hati” dan menyakitkan hati”? | Menurut Kamus Dewan Perdana, menyakiti bermaksud menyebabkan seseorang berasa sakit dan berkenaan dengan kata-kata dan perbuatan menyebabkan hati dan perasaan berasa sakit. Menyakitkan adalah menjadikan atau menimbulkan rasa sakit pada sesuatu. Menyakitkan hati bermaksud menyebabkan seseorang berasa sangat tersinggung, geram dan tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara atau hal. Oleh yang demikian, menyakiti hati dan menyakitkan hati membawa maksud yang sama dan boleh digunakan mengikut konteks penggunaan dalam ayat. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 1932-1933. | Tatabahasa | 04.12.2024 |
| Apa beza baharu dan baru | Baru dan baharu kedua-duanya membawa makna yang sama dan dianggap varian dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanpun, buku Tatabahasa Dewan membezakan fungsi kedua-dua kata tersebut. Untuk menghasilkan penggunaan yang gramtis, baru berfungsi sebagai kata bantu, contohnya dalam ayat "Dia baru sampai dari kampung." dan baharu sebagai kata adjektif, contohnya "DBP menerbitkan buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu". | Ejaan | 20.04.2025 |
| Apakah beza baharu dan baru? | Baru dan baharu kedua-duanya membawa makna yang sama dan dianggap varian dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanpun, buku Tatabahasa Dewan membezakan fungsi kedua-dua kata tersebut. Untuk menghasilkan penggunaan yang gramtis, baru berfungsi sebagai kata bantu, contohnya dalam ayat "Dia baru sampai dari kampung." dan baharu sebagai kata adjektif, contohnya "DBP menerbitkan buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu". | Ejaan | 20.04.2025 |