saya farah hani binti mohd azizuddin.saya ingin bertanyakan bahawa apakah maksud kekisi,kekuda,tetupai,dan sesiku? saya harap pihak tuan/puan akan beri jawapan dengan secepat mungkin. | Kekisi bermaksud batang-batang daripada kayu atau logam (besi dan lain-lain) yang dipasang berdiri pada tingkap dan lain-lain, atau jeruji. Kekuda bermaksud kayu penyangga tulang bumbung rumah atau kayu palang untuk menyangga (kayu yang akan ditarah dan lain-lain. Tetupai bermaksud keratan kayu yang dilekapkan (dipakukan) pada tiang dan lain-lain untuk menyangga sesuatu. Sesiku bermaksud sejenis alat berbentuk `L' atau `T' (untuk melukis atau mengukur sesuatu sudut tepat); atau sejenis alat segi tiga daripada kayu dan lain-lain (dan bersudut 90°, 60°, dan 30° atau 90°, 45°, dan 45°). | Makna | 27.06.2009 |
Assalam Tuan, Saya keliru dalam menggunakan ialah dan adalah. Harap dapat tuan beri pencerahan. Disertakan teks di bawah. Terima kasih. Suhaimi. Rekabentuk kulit buku ini adalah artefak jumpaan batu nisan Aceh di Selangor. Nisan batu Aceh ini dijumpai di tapak Kampung Kedah, Kuala Selangor. (N 03° 22’ 095”- E 101° 17’ 692) Berdasarkan dari bentuk nisan batu Aceh ini adalah dari tipologi L. Pemilihan artefak ini sebagai gambar kulit depan buku adalah berdasarkan daripada keunikan bentuk dan motif batu nisan. Ini adalah bagi memaparkan nisan batu Aceh dari tipologi L kerana sebelum ini penerbitan berkaitan nisan batu Aceh umumnya memaparkan tipologi C. Paparan gambar batu nisan Aceh ini diambil secara insitu, seperti mana keadaan sebenar nisan batu Aceh di tapak. Secara visual gambar yang dipaparkan adalah tidak secara menyeluruh tetapi hanya menunjukkan dengan jelas bahagian puncak dan kepala nisan Batu Aceh yang mempunyai motif teratai. Bentuk dan keterangan lanjut mengenai nisan batu Aceh ini akan dipersembahkan dalam buku ini. | Berikut ayat yang telah dibetulkan penggunaan tatabahasa: Reka bentuk kulit buku ini ialah artifak jumpaan batu nisan Aceh di Selangor. Batu nisan Aceh ini dijumpai di tapak Kampung Kedah, Kuala Selangor (N 03° 22’ 095”- E 101° 17’ 692). Berdasarkan daripada bentuk batu nisan Aceh ini adalah dari tipologi L. Pemilihan artifak ini sebagai gambar kulit depan buku berdasarkan kepada keunikan bentuk dan motif batu nisan. Perkara ini adalah bagi memaparkan nisan batu Aceh daripada tipologi L kerana sebelum ini penerbitan berkaitan nisan batu Aceh umumnya memaparkan tipologi C. Paparan gambar batu nisan Aceh ini diambil secara insitu, seperti keadaan sebenar batu nisan Aceh di tapak. Secara visual gambar yang dipaparkan tidak secara menyeluruh tetapi hanya menunjukkan dengan jelas bahagian puncak dan kepala nisan batu Aceh yang mempunyai motif teratai. Bentuk dan keterangan lanjut mengenai nisan batu Aceh ini akan dipersembahkan dalam buku ini. Menurut tatabahasa bahasa Melayu kata pemeri hanya dua iaitu "adalah" dan "ialah". Dalam penggunaannya kata pemeri tidak boleh diikuti dengan kata kerja. Ialah digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, manakala adalah digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama seperti untuk, pada, dalam, dengan dan sebagainya. | Tatabahasa | 07.04.2015 |
Adakah proses dan acara berbeza? | Ya, proses dan acara mempunyai makna yang berbeza. Proses bermaksud: 1. satu siri tindakan atau operasi yang dilakukan atau yang perlu diikuti untuk membuat atau melaksanakan sesuatu. Contoh ayat: Proses pelantikan perunding hendaklah dibuat mengikut prosedur. 2. perubahan yang biasanya berlaku secara semula jadi atau tanpa disedari, biasanya melibatkan tempoh yang panjang. Contoh ayat: Kekurangan nutrisi boleh mengganggu proses tumbesaran kanak-kanak. 3. kaedah atau teknik untuk membuat atau menghasilkan sesuatu barangan, khususnya dalam industri. Contoh ayat: Proses pembuatan coklat bermula dengan mengadunkan likuor koko, gula, susu dan sebahagian lemak koko selama kira-kira 5 minit pada suhu 45°C. Manakala acara bermaksud: 1. jenis permainan dalam sukan yang dipertandingkan, misalnya lari berganti-ganti, badminton atau menembak. Contoh ayat: Acara lompatan ialah lompat tinggi, lompat jauh, lompat kijang dan lompat bergalah. 2. perkara yang dilaksanakan oleh masyarakat mengikut adat atau kebiasaan, misalnya semasa majlis perkahwinan atau dalam kehidupan. Contoh ayat: Pengantin lelaki menyempurnakan acara membatalkan air sembahyang dengan menyarungkan sebentuk cincin. 3. bahagian atau seluruh kegiatan yang disusun dan dijadualkan untuk dilaksanakan bagi menjayakan sesuatu upacara, persembahan, sambutan dan sebagainya. Contoh ayat: Acara ini bermula dengan ucapan Ketua Pengarah. 4. kegiatan, program atau majlis khusus yang diadakan untuk tujuan tertentu. Contoh ayat: Acara Forum Remaja akan diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir. Terima kasih. | Makna | 08.11.2024 |
Melalui semakan kami, “refined salt” ialah “garam kilang”. Walau bagaimanapun dalam peruntukan ayat di bawah ini “refined salt” dipadankan dengan “garam bertapis”. Adakah padanan ini sesuai dalam konteks ayat ini. Table salt 284. (1) Table salt shall be refined salt. It shall contain not less than 97 per cent of sodium chloride on a water-free basis, food additive excluded and shall not lose more than 1 per cent of its weight on drying at 130°C. Garam halus 284. (1) Garam halus hendaklah garam bertapis. Ia hendaklah mengandungi tidak kurang daripada 97 peratus natrium klorida atas asas tanpa air, tidak termasuk aditif makanan; dan hendaklah tidak kehilangan lebih daripada 1 peratus daripada beratnya apabila dikeringkan pada 130°C. | Cadangan padanan yang sesuai digunakan dalam ayat bagi "refined salt" iaitu garam kilang ialah 'Garam halus hendaklah garam bertapis. Garam halus hendaklah mengandungi tidak kurang daripada 97% natrium klorida pada kadar tanpa air, tidak termasuk tanpa bahan tambahan makanan dan hendaklah tidak kehilangan lebih daripada 1 peratus beratnya apabila dikeringkan pada suhu 130°C.' | Makna | 01.07.2021 |
Perbezaan gril, panggang dan bakar untuk memasak | Assalamualaikum, Perbezaan makna perkataan gril, panggang, dan bakar untuk memasak: 1. gril (makna ke-4 lihat menggril) Makna menggril - memanggang (ikan, daging dan sebagainya) di atas gril Contoh ayat - Sebaiknya makanlah makanan yang direbus, digril atau dikukus. 2. panggang (makna ke-2 lihat memanggang) Makna merebus - memasak (makanan seperti daging, ikan atau pulut) dengan meletakkannya di atas bara, di dalam ketuhar dan sebagainya Contoh ayat - Dia memanggang daging yang dipotong itu di dalam ketuhar. - Ikan yang dipanggang tadi perlu dibalik-balikkan supaya masak dengan sekata. 3. bakar (makna ke-2 lihat membakar) Makna membakar - memasak (sesuatu) dengan meletakkannya di atas api atau di dalam alat yang mengandungi haba, misalnya ketuhar Contoh ayat - Zamri sedang sibuk membakar sate bersama pekerjanya. - Kek dibakar dalam ketuhar pada suhu 180°C. Terima kasih. | Makna | 02.11.2024 |