Tuan, Mohon semak struktur ayat di bawah ini. Demam tifoid atau demam kepialu merupakan penyakit yang disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi(S.typhi). Sekian terima kasih | Tiada kesalahan pada struktur ayat berkenaan. | Tatabahasa | 16.10.2014 |
Ali tidak hadir ke sekolah kerana demam panas. Bolehkah ayat di atas ditukar kepada susunan songsang seperti berikut? Kerana demam panas Ali tidak ke sekolah. Sekiranya jawapan tersebut salah, nyatakan alasannya. | Ayat songsang tersebut tidak tepat disebabkan perkataan "Kerana" tidak boleh digunakan dipermulaan ayat. Hal ini disebabkan kerana merupakan kata hubung pancangan keterangan, ringkasnya kata keterangan. Kata keterangan berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada klausa utama. Lazimnya "kerana" digunakan di tengah-tengah ayat bagi menerangkan klausa utama. Ayat songsang yang tepat bagi ayat tersebut: 1. Tidak hadir Ali ke sekolah kerana demam panas. 2. Tidak hadir ke sekolah kerana demam panas Ali. | Tatabahasa | 19.06.2016 |
salam tuan. sedikit persoalan tentang penggunaan kata hubung 'sebab' dengan 'kerana'. Melalui ayat di bawah: 1. Dia tidak hadir kerana demam. 2. Dia tidak hadir sebab demam. Yang manakahdikira betul? Dalam bbrpa buku dikira kerana yang betul. Saya rasa kedua2 sama fungsinya. Pendapat ilmiah tuan? | Sebenarnya, perkataan 'sebab' dan 'kerana' berbeza dari segi golongan katanya. Perkataan 'sebab' ialah kata nama, manakala perkataan 'kerana' ialah kata hubung pancangan keterangan. Perkataan 'sebab' boleh dijadikan kata hubung dengan syarat disertakan kata sendi nama 'oleh' untuk menjadi frasa sendi nama 'oleh sebab' yang membawa maksud 'kerana'. Ayat yang betul ialah 'Dia tidak hadir kerana demam' atau 'Dia tidak hadir oleh sebab demam'. Jika saudara anggap sebab dan kerana sama fungsinya, dan kedua-dua ayat yang diberi adalah betul, maka kita dapat mengungkapkan ayat seperti di bawah: i. Dia menyatakan sebab-sebab ketidakhadirannya semalam ... , dan ii. *Dia menyatakan kerana-kerana ketidakhadirannya semalam ... Berdasarkan contoh yang diberi, nyatalah bahawa fungsi kata 'sebab' dan 'kerana' adalah tidak sama. | Tatabahasa | 08.03.2011 |
Adakah semua ayat dalam perenggan di bawah gramatis? Dalam menongkah arus globalisasi yang penuh dengan pancaroba dan kompetitif, negara kita masih berdepan dengan masalah peningkatan kes demam denggi. Masalah yang semakin membimbangkan ini telah menjadi topik yang hangat dibicarakan dalam media massa sama ada media elektronik mahupun media cetak. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peningkatan kes demam denggi mendatangkan pelbagai implikasi negatif kepada semua pihak. Demam denggi bukan sahaja telah meningkatkan perbelanjaan kerajaan malahan kadar kematian yang berpunca daripada wabak penyakit ini juga semakin bertambah. Sekiranya masalah ini dibiarkan berterusan tanpa sebarang penyelesaian yang efektif maka sudah pastinya negara kita akan menghadapi pelbagai musibah yang sekali gus akan menjejaskan kesejahteraan negara yang dikecapi selama ini. Oleh hal yang demikian, masalah ini tidak boleh dipandang enteng. Sebenarnya, terdapat banyak punca berlakunya demam denggi dan cara-cara mengatasinya. | Kami mencadangkan penambabaikan dalam teks yang berkenaan seperti yang berikut - Dalam menongkah arus globalisasi yang penuh pancaroba dan persaingan, negara kita masih berdepan dengan masalah peningkatan kes demam denggi. Masalah yang semakin membimbangkan ini telah menjadi topik yang hangat dibicarakan dalam media massa, sama ada media elektronik mahupun media cetak. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peningkatan kes demam denggi mendatangkan pelbagai implikasi negatif kepada semua pihak. Demam denggi bukan sahaja telah meningkatkan perbelanjaan kerajaan malahan kadar kematian yang berpunca daripada wabak penyakit ini juga semakin bertambah. Sekiranya masalah ini dibiarkan berterusan tanpa penyelesaian tuntas, maka sudah pasti negara kita akan menghadapi pelbagai musibah yang sekali gus akan menjejaskan kesejahteraan negara. Oleh hal yang demikian, masalah ini tidak boleh dipandang enteng. Sebenarnya, terdapat banyak punca berlakunya demam denggi dan cara-cara untuk mengatasinya. | Penyemakan dan penterjemahan | 08.04.2015 |
Betulkah ayat di bawah ini? "Demam denggi adalah satu penyakit berjangkit yang disebabkan oleh Virus Denggi." | Ayat yang gramatis "Demam denggi ialah satu penyakit berjangkit yang disebabkan oleh Virus Denggi". | Tatabahasa | 19.07.2012 |
saya nak tahu sama ada ayat ini betul atau tidak. Tiada tertelan oleh saya akanan akibat demam. | Puan Masneh, Ayat ini sepatutnya ditulis - Saya tidak tertelan makanan itu akibat demam | Tatabahasa | 23.04.2010 |
Salam sejahtera, adakah ayat-ayat berikut betul/gramatis? 1. Dia demam kerana bermain hujan. 2. Corak batik yang menarik menjadi tarikan ramai. 3. Corak batik yang menarik menjadi tarikan orang ramai. | Ketiga-tiga ayat tidak gramatis. Ayat tersebut boleh diperbaiki menjadi "Dia demam kerana bermain semasa hujan" dan "Corak batik yang menarik menjadi tarikan orang ramai. | Tatabahasa | 09.05.2013 |
Ingin saya tanya kepada pihak tuan... apakah ayat songsang bagi ayat-ayat berikut? a. Ali ingin makan aiskrim tetapi demam b. Kakak melipat baju lalu menyimpankannya di dalam almari. c Ayah mendengar radio sambil membaca surat khabar d. Buah pisang bukan sahaja sedap dimakan malahan mengandungi banyak khasiat Terima kasih. | a. Ali ingin makan aiskrim tetapi demam. Ayat songsang: Ingin makan aiskrim tetapi demam, Ali. b. Kakak melipat baju lalu menyimpankannya di dalam almari. Ayat songsang: Melipat baju lalu menyimpankannya di dalam almari, kakak. c. Ayah mendengar radio sambil membaca surat khabar. Ayat songsang: Mendengar radio sambil membaca surat khabar, ayah. d. Buah pisang bukan sahaja sedap dimakan malahan mengandungi banyak khasiat. Ayat songsang: Bukan sahaja sedap dimakan malahan mengandungi banyak khasiat, buah pisang. | Tatabahasa | 22.07.2016 |
Saya ingin bertanya penggunaan beberapa perkataan dalam ayat: 1. Berbanding atau berbanding dengan (yang manakah tepat) 2. Bersama atau bersama-sama atau bersama-sama dengan( yang manakah tepat) 3. Dia tidak hadir ke sekolah sebab demam atau dia tidak hadir ke sekolah oleh sebab demam. (yang manakah tepat) terima kasih dari Diana | 1. Penggunaan yang betul ialah berbanding dengan. 2. Bersama dan bersama-sama kedua-duanya betul. 3. Dia tidak hadir ke sekolah oleh sebab demam. | Tatabahasa | 22.02.2012 |
adakah ayat di bawah betul? 'amir tidak hadir ke sekolah sebab demam' bolehkah anda tolong jelaskan penggunaan kata sebab dan kerana dalam ayat.. terima kasih | Penggunaan kata "sebab" dan "kerana" umumnya kita temukan dalam ayat-ayat seperti yang berikut: 1) Amir tidak hadir ke sekolah sebab demam. 2) Amir tidak hadir ke sekolah kerana demam. Berdasarkan contoh ayat di atas, ayat yang betul ialah ayat (2). Mengapa pula ayat (1) dikatakan salah? Untuk menjawab soalan ini, ada beberapa hal yang perlu difahami terlebih dahulu. Yang pertama, kata "sebab" dan "kerana" tidak sama jenisnya. Kata "sebab" ialah kata nama sedang "kerana" ialah kata hubung. Yang kedua, kata "sebab" perlu ditambah dengan "oleh" apabila hendak digunakan sebagai kata hubung. Misalnya; 3. Ibu segera menutup tingkap oleh sebab hujan turun dengan lebatnya. Sebaliknya, "kerana" tidak memerlukan "oleh" kerana memang sudah sedia sebagai kata hubung. Walau bagaimanapun, kata "sebab" boleh digunakan dalam ayat tanpa disertai "oleh". Misalnya: 4. Apa sebab dia tidak hadir hari ini? 5. Beri tiga sebab mengapa dadah berbahaya kepada kita. Dalam kedua-dua ayat di atas kata "sebab" digunakan sebagai kata nama, bukan sebagai kata hubung. | Tatabahasa | 28.07.2010 |