Yang mana satu betul? Berbuat sedemikian/demikian? | Perkataan demikian dan sedemikian mempunyai makna yang hampir sama, namun untuk ayat tersebut lebih sesuai digunakan perkataan demikian. Demikian Definisi : begitu; begini; spt itu (ini): Dgn yg ~, habislah timbunan kayu itu dimakan api. ~lah halnya. sedemikian spt itu; sbg itu: Kalau sudah ~ susahnya, mengapa tidak mencari kerja lain? (Kamus Pelajar Edisi Kedua) Sedemikian Definisi : spt itu; sbg itu: Kalau sudah ~ susahnya, mengapa tidak mencari kerja lain? (Kamus Pelajar Edisi Kedua) | Makna | 28.08.2017 |
Assalam 1. Adakah -nya dan -lah tersenarai sebagai kata imbuhan akhiran? 2. Mengapakah perkataan memperolehi tidak betul sedangkaan perkataan membaiki betul ? Terima kasih. | 1. Fungsi 'nya' ialah sebagai kata pembenda dan penekan selain bertindak sebagai kata ganti nama diri ketiga. Kata penegas atau partikel memberi penekanan pada bahagian tertentu dalam ayat, iaitu -kah, -tah dan -lah. 2. Awalan memper- juga awalan pembentuk kata kerja yang wujud hanya dalam satu bentuk, iaitu memper-. Dalam bahasa Melayu bentuk ini biasa juga dirujuk sebagai hanya awalan per-. Namun demikian, dalam ayat aktif, per- tidak boleh wujud tanpa awalan men- kecuali dalam ayat perintah. Bentuk ini berubah menjadi diper- dalam ayat pasif seperti memperoleh. Awalan memper- dapat bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan kata tugas. Contohnya; alat - memperalat, daya - memperdaya (kata nama). Kata adjektif; luas - memperluas, tinggi- mempertinggi. Oleh- memperoleh. Kata tugas yang terdiri daripada kata sendi nama. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga muka surat 177-178.
| Tatabahasa | 07.01.2014 |
Salam sejahtera! Saya ingin bertanyakan mengenai perbezaan di antara perkataan "ia" dan "ya". Adakah kedua perkataan ini mempunyai maksud yang sama/perkataan seerti (to say yes)? Kedua, jika perkataan ia dicantumkan dengan partikel lah, ia akan ditulis seperti yang demikian "ialah". Adakah perkataan ini mempunyai makna yang sama dengan perkataan "ialah" yang tertera di dalam kamus? Terima kasih! | Ia dan ya mempunyai maksud yang sama, boleh rujuk http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=ia untuk maklumat lanjut. Kedua-dua perkataan ini tidak boleh disambung dengan partikel -lah. Ialah kata pemeri yang hadir sebelum kata nama. | Tatabahasa | 11.05.2020 |
Tuan, saya difahamkan oleh buku Tatabahasa Dewan bahawa awalan pinjaman poli- memberikan pengertian 'banyak', jadi saya ingin menanyai tuan bahawa adakah saya boleh mengatakan perkataan seperti 'polikegunaan' yang bermaksud 'banyak kegunaan‘? Walaupun kosa kata ini tidak dicatat di dalam mana-mana kamus, tetapi bolehkah saya membina perkataan ini dengan maksud awalan poli- ini? Jika tatabahasa membenarkan saya berbuat demikian, maka perkataan seperti polikerja rumah, polimakanan, polibarang niaga, polifikiran negatif, polipilihan juga boleh dikatakan sebagai maksud banyak kerja rumah, banyak barang niaga, banyak fikiran negatif dan banyak pilihan lah? Bolehkah macam itu? | Awalan poli- ini produktif dalam pembentukan kata untuk peristilahan, manakala untuk kata umum kata "banyak" yang digunakan bagi menerangkan maksud jamak. Tidak tercatat dalam mana-mana buku sebagai satu kesalahan apabila kita menggunakan awalan poli- bagi menggantikan kata jamak, cuma bentuk itu tidak produktif dalam bentuk kata umum. Ada baiknya cadangan tuan ini dikemukakan kepada penyusun buku Tatabahasa Dewan bagi mengesahkan taraf penggunaan bentuk kata tersebut sama ada gramatis atau sebaliknya. | Tatabahasa | 13.11.2014 |