| "Dengan ini" boleh hadir di pangkal ayat yang berfungsi sebagai penanda wacana? Sebab saya selalu nampak ada ayat-ayat yang dimulakan dengan "Dengan ini". Mohon pencerahan | “Dengan ini” boleh hadir pada pangkal ayat yang berfungsi sebagai penanda wacana penghubung musabab. Penghubung musabab ialah penanda wacana yang merupakan sebab berlakunya sesuatu. Contohnya, “Semua pihak perlu berganding bahu mengembangkan bahasa Melayu. Dengan ini, bahasa Melayu akan terus dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan”. Penanda wacana penghubung musabab juga boleh hadir pada pertengahan ayat. Contohnya, “Kerana terlalu susah hidupnya, maka itu terpaksa dia berpindah ke tempat lain.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2008) halaman 527. | Tatabahasa | 18.10.2024 |
| Salam sejahtera. Mohon bantuan pihak tuan/puan untuk menjelaskan perbezaan antara penggunaan frasa "antara...dengan" dengan "antara...dan". Adakah benar bahawa "antara...dan" hanya boleh digunakan apabila ayat melibatkan lebih daripada dua frasa? Contohnya, adakah ayat "Perbincangan antara Ali, Ahkau dan Abu" dianggap betul dari segi tatabahasa? Sekian, terima kasih. | Perkataan “antara” ialah kata sendi nama yang hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Kata sendi nama “antara” boleh diikuti oleh kata sendi nama “dengan” atau kata hubung “dan” berdasarkan konteks ayat. Apabila kata sendi nama “antara” digunakan, kata yang dipadankan dengannya ialah kata sendi nama “dengan”, bukan kata hubung “dan”. Kata hubung “dan” hanya dapat digunakan apabila kata sendi nama “antara” diikuti oleh lebih daripada dua frasa nama. Contoh ayat yang tuan/puan berikan adalah betul dari segi tatabahasa kerana penggunaan kata sendi nama “antara … dan” yang digunakan adalah untuk menunjukkan hubungan antara dua pihak (perkara) atau lebih, atau anggota dalam satu kelompok. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 284 dan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 114.
| Tatabahasa | 06.08.2025 |
| Adakah penggunaan ayat berikut tepat dan sesuai untuk sijil penyertaan? Dengan ini disahkah bahawa XXX telah mengikuti dengan sepenuhnya Program “Mendengar, Memahami, Memberi Respons & Menang-Menang: Komunikasi Empati dengan Kesedaran Penuh”. Atau Dengan ini disahkah bahawa XXX telah mengikuti dengan sepenuhnya Program “Komunikasi Empati dengan Kesedaran Penuh”. | Ayat yang betul dan sesuai adalah seperti yang berikut: 1. Dengan ini disahkan bahawa XXX telah mengikuti dengan jayanya Program "Mendengar, Memahami, Memberikan Respons dan Menang-menang: Komunikasi Empati dengan Kesedaran Penuh" 2. Dengan ini disahkan bahawa XXX telah mengikuti dengan jayanya Program "Komunikasi Empati dengan Kesedaran Penuh"
| Tatabahasa | 22.07.2025 |
| Tuan, "Cubit paha kanan, paha kiri terasa juga" sinonim dengan perkaitan dengan apa? Adakah berkaitan dengan kekeluargaan atau perpaduan negara? | "Cubit paha kanan, paha kiri terasa juga" bermaksud kesusahan yang menimpa kaum keluarga kita, maka kita pun akan merasai kesusahan itu. Peribahasa ini berkaitan kekeluargaan yang amat menitikberatkan nilai kasih sayang dalam keluarga. | Sastera | 23.01.2024 |
| Berjalan dengan lancar atau berjalan dengan lancarnya? KK dengan KA, adjektif perlu "-nya" tak? | Kedua-dua contoh ayat yang diberikan betul. | Lain-lain | 14.04.2025 |
| "By the grace of God (Dei Gratia; dalam gelaran British misalnya)" lebih sesuai diterjemahkan maksudnya kepada "Dengan rahmat Tuhan" ataupun "Dengan limpah kurnia Tuhan"? Atau kedua-duanya boleh diterima? | Frasa "dengan rahmat Tuhan", "dengan limpah kurnia Tuhan" atau "dengan limpah rahmat Tuhan" boleh digunakan mengikut konteks penggunaan dalam ayat atau bidang tertentu. | Tatabahasa | 03.01.2025 |
| Salam sejahtera. 1) a) Zali bermain dengan gembira. b) Zali bermain dengan gembiranya. 2) a) Murid-murid beratur dengan berdisiplin. b) Murid-murid beratur dengan berdisiplinnya. 3) a) Dia melintas jalan dengan berhati-hati. b) Dia melintas jalan dengan berhati-hatinya. Ayat yang manakah betul? | Semua ayat tersebut betul. Bentuk kata -nya berfungsi sebagai pembenda. Kata pembenda ialah bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama, Contohnya, “Dia berhujah dengan lantangnya.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2008) halaman 296. | Tatabahasa | 23.10.2024 |
| Salam, kata "berkaitan" atau "berkenaan" harus diikuti dengan kata "dengan." Betul? | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 940 dan 1044, perkataan “berkaitan” dan “berkenaan” boleh diikuti kata sendi nama “dengan” atau tidak, bergantung pada konteks penggunaan dalam ayat, seperti contoh ayat yang berikut: berkaitan: i. Secara umum cerpen jenis korporat ialah cerpen yang membincangkan atau menceritakan tentang atau “berkaitan dengan” syarikat atau perbadanan. ii. Pelbagai kursus yang “berkaitan” akan diperkenalkan di pusat itu. berkenaan: i. “Berkenaan dengan” tawaran tersebut, anda diberikan masa satu minggu untuk memikirkannya. ii. Tuntutan yang “berkenaan” harta sepencarian boleh dibuat oleh isteri yang diceraikan. | Tatabahasa | 22.10.2024 |
| Antara cara menjadi pemandu berhemah 1. ialah 2. adalah 3. adalah dengan memandu dengan had laju yang ditetapkan. | | Ayat yang betul ialah “Antara cara untuk menjadi pemandu berhemah adalah dengan mematuhi had laju yang ditetapkan”. Adalah merupakan kata pemeri dan perlu diikuti dengan penggunaan frasa adjektif atau frasa sendi nama. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan halaman 494. | | Tatabahasa | 30.07.2026 |
| Prosa tradisional itu mengisahkan tentang cabaran yang dihadapi oleh raja dari kayangan setelah turun ke Bumi. Dengan berbekalkan dengan sedikit modal, Johan membuka sebuah kedai makan secara kecil-kecilan. Cadangan yang dikemukakan oleh ketua kampung mereka persetujui. Sesetengah penunggang motosikal tidak mengendahkan tentang aspek keselamatan semasa berada di jalan raya. Emak menjahitkan baju kurung yang bersulamkan dengan benang emas. | Soalan kurang jelas. Sila nyatakan soalan anda dengan lebih terperinci untuk tindakan kami. Terima kasih. | Lain-lain | 04.08.2026 |