Hi, saya sentiasa mengelirukan penggunaan imbuhan. Bila nak guna akhiran kan, i dan bila guna memper...kan atau tidak ada kan. Bila tidak perlu guna imbuhan? Terima Kasih. | 1) Imbuhan akhiran –kan merupakan akhiran yang membentuk kata kerja dalam bahasa Melayu. Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran –kan untuk membentuk kata kerja. Contohnya, i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran –kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Contohnya: berbantalkan, dipertingkatkan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 183-186. 2) Imbuhan akhiran –i membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran –i, iaitu: (i) memberi pengertian kausatif atau menyebabkan sesuatu jadi: baik – baiki (menyebabkan sesuatu jadi baik), sudah - sudahi. (ii) memberi pengertian lokatif, iaitu menyatakan unsur tempat: turuni lurah – turun ke lurah. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 186-190. 3) Apitan memper-...-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya: memperisterikan, memperbudakkan, mempersendakan, memperdengarkan, memperlihatkan, mempertunjukkan. 4) Walau bagaimanapun apitan memper-...-kan tidak boleh bergabung dengan kata adjektif, sebaliknya awalan memper- digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadikan lebih atau bertambah. Contohnya: besar – memperbesar (menjadi lebih besar atau bertambah besar) dan indah – memperindah (menjadikan bertambah indah).Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 208-211. | Tatabahasa | 08.06.2024 |
Adakah perkataan "memeribadikan" betul dari segi tatabahasa?. Atau sepatutnya perkataan yang betul adalah "Memperibadikan"?. Apitan Memper...kan, Men..kan adalah yang biasa saya dengar dan gunakan. Walaupun apitan meN-…-kan juga menerima kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k, dan s, tapi adakah perkataan "Memeribadikan" adalah betul?. | Jawapan: Perkataan yang betul ialah memperibadikan yang tergolong di bawah apitan kata kerja meN-…-kan yang membawa maksud benefaktif atau manfaat yang pembentukannya memerlukan dua objek. Lazimnya, apitan meN-…-kan menerima objek tepat yang tidak bernyawa. Contoh ayat: “Pembelajaran berautonomi membolehkan pelajar memperibadikan agenda pembelajarannya berdasarkan kekuatan akademik dan minatnya.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 190 hingga 207. | Tatabahasa | 04.12.2024 |
Bilakah penggunaan imbuhan diper...kan dan memper...kan? Apakah kata-kata yang boleh menngunakan kedua-dua imbuhan ini dan mengapa? Antara berikut, yang manakah betul? a. kata-kata aluan b. kata alu-aluan? | Apitan diper...kan boleh digunakan untuk golongan kata nama atau kata kerja, dan akan membentuk kata kerja; contohnya, isteri - diperisterikan, dengar - diperdengarkan. Begitu juga dengan apitan memper...kan, golongan kata nama dan kata kerja boleh bergabung dengan apitan memper...kan untuk membentuk kata kerja, contohnya jodoh - memperjodohkan, lihat - memperlihatkan. Yang betul ialah kata alu-aluan. | Tatabahasa | 10.09.2008 |
Adakah penggunaan imbuhan mem, per, kan boleh digunakan | Apitan memper-...-kan boleh bergabung kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya, kata nama: isteri - memperisterikan senda - mempersendakan kata kerja: dengar - memperdengarkan bahas - memperbahaskan Walau bagaimanpun apitan memper-...-kan tidak boleh bergabung dengan kata adjektif, sebaliknya awalan memper ... digunakan dengan kata adjektif untuk membawa makna menjadikan lebih atau bertambah. Contohnya, besar - memperbesar (menjadi lebih besar atau bertambah besar) dan indah - merperindah (menjadikan bertambah indah). untuk makluman lanjut sila dapatkan buku tatabahasa Dewan dan rujuk halaman 198 - 200 | Tatabahasa | 02.05.2013 |
1)apakah perbezaan antara pelbagai dan berbagai 2) jika ada perkataan mem.....kan tak perlu ada perkataan "tentang" 3) memperluas atau memperluaskan 4) bagaimana penggunaan mem...per...kan | 1. Pelbagai sama makna dengan berbagai-bagai. 2. Terdapat beberapa peraturan dalam penggunaan apitan meN-...-kan, iaitu: i. bentuk apitan meN-...-kan, ii. golongan kata yang boleh bergabung dengan meN-...-kan, iv. jenis kata kerja yang terbentuk, dan iv. aspek makna apitan me-...-kan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 190 - 197 untuk mengetahui setiap peraturan yang tersebut. Sementara itu, salah satu makna tentang ialah mengenai, dan penggunaan kata tentang perlu disesuaikan dengan makna yang tersebut. 3. Kata terbitan yang betul ialah memperluas. 4. Kata nama dan kata kerja boleh bergabung dengan apitan memper-...-kan untuk membentuk kata kerja, contohnya: isteri (kata nama) - memperisterikan, dengar (kata kerja) - memperdengarkan. Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 209. | Tatabahasa | 22.04.2010 |
Mengapakah imbuhan memper... kan tidak boleh digunakan untuk kata adjektif? | Puan Siti, jawapan yang boleh saya berikan adalah seperti yang berikut: -golongan kata yang boleh bergabung dengan apitan memper...kan ialah golongan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja, contohnya, kata nama isteri - memperisterikan senda - mempersendakan kata kerja dengar - memperdengarkan bahas - memperbahaskan manakala awalan memper ... digunakan dengan kata adjektif untuk membawa makna menjadikan lebih atau bertambah.Contohnya besar...memperbesar (menjadi lebih besar atau bertambah besar), indah ... merperindah (menjadikan bertambah indah) untuk makluman lanjut sila dapatkan buku tatabahasa Dewan dan rujuk halaman 198 - 200 Terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. | Tatabahasa | 10.02.2009 |
Selamat Pagi.. Saya ingin bertanyakan pemenggalan suku kata bagi perkataan-perkataan berikut: 1. MENYEDIAKAN. me/nye/di/a/kan ATAU men/ye/dia/kan? 2. PAKAIAN. pa/ka/i/an ATAU pa/ka/i/an? 3. JANGAN. jan/gan ATAU ja/ngan? 4. MENDENGAR. men/den/gar ATAU men/de/ngar? 5. TENGAH. te/ngah ATAU ten/gah? 6. MENYEPAK. me/nye/pak ATAU men/ye/pak? 7. DENGAR. den/gar ATAU de/ngar? 8. MENGAMBIL. men/gam/bil ATAU me/ngam/bil? 9. MENYIMPAN. men/yim/pan ATAU me/nyim/pan? 10. PERMAINAN. per/ma/i/nan ATAU per/ma/in/an? 11. DENGAN. den/gan ATAU de/ngan? 12. MEMPUNYAI. mem/pun/ya/i ATAU mem/pun/yai? 13. MENYENTUH. men/yen/tuh ATAU me/nyen/tuh? 14.MENANGIS. me/nan/gis ATAU me/na/ngis? Sekian, terima kasih. | Suku kata yang betul bagi perkataan-perkataan berikut ialah: 1. me/nye/dia/kan 2.pa/kaian 3.ja/ngan 4. men/de/ngar 5. te/ngah 6. me/nye/pak 7. de/ngar 8. me/ngam/bil 9. me/nyim/pan 10. per/mai/nan 11.de/ngan 12. mem/pu/nya/i 13. me/nyen/tuh 14. me/na/ngis
Sila rujuk buku Daftar kata Bahasa Melayu Rum-Sebutan-Jawi Edisi Kedua untuk mendapat keterangan lanjut. | Tatabahasa | 28.04.2010 |
Saya guru dan mempunyai kemusykilan dalam penggunaan kata penguat "HANYA" dan "SAHAJA". Bolehkah kedua-dua kata penguat ini hadir serentak? Contoh ayat : Hanya dia sahaja yang boleh melakukan aksi tersebut. Soalan kedua : "Dengarkan lagu ini" Itu antara ungkapan seorang juruhebah radio seperti yang sering kita dengar. Betulkah ungkapan itu? | Untuk makluman tuan, kata “hanya” dan “sahaja” merupakan golongan kata penegas dan bukannya kata penguat. Kata penegas disebut juga partikel atau kata penyerta ialah sejumlah perkataan (hanya, sahaja, juga, memang, pun, -kah, -lah, –tah) yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Oleh sebab, kata "hanya" dan "sahaja" membawa maksud yang sama, iaitu tidak lebih daripada satu atau tidak ada orang lain lagi, maka ayat tuan boleh dibentuk salah satu daripada yang berikut (bagi mengelakkan unsur lewah): (a) Dia sahaja yang boleh melakukan aksi tersebut. Atau (b) Hanya dia yang boleh melakukan aksi tersebut. Berkaitan dengan ungkapan “ dengarkan lagu ini” sepatutnya disebut “dengarlah lagu ini. | Tatabahasa | 19.06.2009 |
1. Bagaimana kaedah tepat untuk menggunakan "di" ada ketika "di" pada perkataan ditulis rapat. Ada kala "di" pada perkataan di tulis jarak. 2. Bagaimana untuk saya minta seseorang itu faham yang tugasan itu mesti buat . Agar individu yang mendengar arahan tidak rasa seolah di arah . Contoh : " Cikgu, tolong segera kan tugasan yang diamanahkan pada cikgu" @ " Cikgu, tolonglah gerak, jangan tunggu saya cakap,masing masing faham tugas sendiri" atau ada istilah lebih lembut dan sedap di dengar. | 1. Di- ditulis rapat diikuti dengan kata kerja. Dalam hal ini bentuk ayat ialah ayat pasif dengan imbuhan kata kerja pasif di-. Contohnya: Barang itu sudah diambil oleh Ali. Di- sebagai sendi nama digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat ditulis terpisah. Contoh di hadapan kata nama: Saya bekerja di pejabat itu. Contoh dihadapan frasa nama: Tambak Johor terletak di antara negeri Johor dengan Singapura. 2. Tidak semestinya kita menggunakan ayat yang bermaksud tolong segera buat atau bertindak. Boleh juga menggunakan ayat yang meminta hasil atau pencapaian kerja yang telah dibuat. | Makna | 20.04.2011 |