Salam sejahtera! Haruskah "nya" dicantumkan dengan perkataan di depan? Ayat contoh: Dia terlupa membawa iPhonenya atau dia terlupa membawa iPhone nya? Saya ingin tahu terutama sekali jika perkataan di depan "nya" adalah jenis kata nama khas. Terima kasih! | Untuk makluman, “nya” merupakan kata ganti nama diri ketiga yang ditulis serangkai dengan kata yang mendahuluinya, kecuali jika merujuk kepada Allah kerana pada perkataan tersebut perlu diletakkan sempang, iaitu ‘-Nya’. Sehubungan dengan itu, contoh ayat yang betul ialah “Dia terlupa membawa iPhonenya.” | Tatabahasa | 11.08.2020 |
Salam sejahtera, Berikut merupakan rekod pertanyaan saya . FN + FSN 1.(Mereka) (ke Hutan Lipur Ulu Bendul.) *Pola ayat pertama di atas pasti betul kerana di depan kata sendi nama 'ke' tiada kata kerja. *Sekiranya di depan kata sendi nama terdapat kata inti yang merupakan kata kerja y , maka pola ayat menjadi FK? | Betul, pola ayat menjadi FN + FK sekiranya di depan kata sendi nama terdapat kata inti yang merupakan kata kerja. Contoh: Mereka melawat ke Hutan Lipur Ulu Bendul. | Tatabahasa | 06.10.2021 |
Perkataan `Al’ di depan nama Arab Bagaimana mengeja nama orang Arab yang bermula dengan `Al’ dalam dua situasi. Contohnya: Al-Ma’mun. 1. Situasi di depan nama – Al-Ma’mun. Apakah huruf `A’ itu mesti huruf besar (bukan di permulaan ayat) seperti: Dalam kitabnya, Al-Ma’mun menjelaskan … 2. Situasi di tengah nama - Ishaq al-Junaidi. Apakah huruf `A’ itu ditulis dengan huruf kecil atau huruf besar? 3. Apakah ejaan `al’ dikekalkan sekiranya terletak di depan perkataan Arab yang bermula dengan huruf d, n, r, s, dan t, seperti: ‘al-Duha’ atau `ad-Duha’? ‘al-Nisa’ atau 'an-Nisa’? ‘al-Ra’d’ atau `ar-Ra’d’? ‘al-Syu’ara’ atau ‘as-Syu’ara’? ‘al-Takwir atau ‘at-Takwir’’? `al-Zalzalah’ atau `az-Zalzalah’? *Apakah kemungkinan ejaannya kekal tetapi sebutan sahaja yang berubah? | Mengikut buku Gaya Dewan, ejaan "Al" untuk nama pada awal ayat, gunakan huruf besar. Contoh: Al-Makmun. Sekiranya di tengah ayat, gunakan huruf kecil. Contoh: Dalam kitabnya, al-Makmun mengatakan....Untuk nama Ishak al-Junaidi, gunakan huruf kecil. Ejaan "al" dikekalkan sekiranya terletak di hadapan huruf d, n, r, s dan t. Contoh: al-Duha, al-Ra'd, al-Nisa' dan sebagainya. | Ejaan | 20.12.2016 |
Digraf ng, adakah perkataan "datang", "pulang" dikatakan mengandungi digraf ng? Ataupun digraf ng mesti berada di depan suku kata seperti "bunga". | Digraf ialah dua huruf berturut-turut yang mewakili satu bunyi seperti ng, ny dan sy. Digraf juga disebut dwihuruf, dwilambang atau huruf rangkap. Digraf boleh hadir di depan suku kata atau belakang sekiraya mewakili satu bunyi. Contoh yang diberikan merupakan digraf. | Tatabahasa | 04.05.2013 |
'Di samping itu', 'itu', 'ini' boleh digunakan di depan sesuatu ayat? Contoh, 'Di samping itu, pemuda masa kini sangat...', 'Ini kerana organisasi ini tidak...', 'Itulah sebabnya'. Terima kasih. | 'Di samping itu' boleh digunakan kerana 'itu' merujuk perkara yang diperkatakan sebelumnya, manakala 'itu' dan 'ini' tidak boleh digunakan di depan sesuatu ayat kerana ia merupakan kata penunjuk, hendaklah meletakkan perkataan lain seperti 'hal ini...' atau 'perkara ini/itu...' | Lain-lain | 22.01.2007 |
Wajarkah perkataan 'sang' digunakan pada Nabi, Sultan atau Raja. Adakah perkataan 'sang' memang boleh digunakan pada manusia tanpa mengira kedudukan atau darjat? | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sang digunakan di depan nama binatang (dalam cerita). Contohnya, Sang Kancil, Sang Buaya dan sebagainya. Sang ialah kata sandang yang digunakan di depan sesuatu kata nama untuk maksud menghormati, mengejek dan lain-lain. Sang biasanya digunakan dalam penceritaan sastera kreatif yang menunjukkan keakraban. Sang tidak wajar digunakan kepada Nabi, Sultan atau Raja dan manusia tanpa mengira kedudukan atau darjat dalam urusan seharian. | Tatabahasa | 01.08.2012 |
penggunaan manakala di depan ayat salah ke??ayat apa sepatutnya guna... | Penggunaan "manakala" yang paling tepat pada pertengahan ayat yang menyambung klausa pancangan dengan klausa utama. Walau bagaimanpun "manakala" boleh hadir pada permulaan ayat asalkan ada kesinambungan wacana dengan ayat yang sebelumnya. | Tatabahasa | 01.06.2011 |
Bolehkah penggunaan 'untuk' di depan ayat? Jika tidak boleh, apa perkataan yang sesuai untuk digantikan selain 'bagi' kerana sesetengah ayat tidak sesuai. Terima kasih | Perkataan "untuk" boleh digunakan pada pangkal ayat, contohnya: Untuk makluman tuan, ... | Tatabahasa | 10.07.2012 |
perkataan ku dan mu di depan dan belakang sesuatu perkataan perlukah dirapatkan. contohnya ku seru ditulis kuseru, nama mu kepada namamu | Memandangkan perkataan tersebut ialah singkatan, jadi, kata seperti kuseru atau namamu perlulah dirapatkan. Terima kasih kerana menggunakan Khidmat Nasihat Bahasa DBP. | Lain-lain | 17.11.2006 |
Terima kasih atas jwpn tuan, Saya mempunyai kemusykilan tentang penggunaan "tentang' dan 'mengenai'. Bgm nak beza? TQ | mengenai - kena pada (matlamat, sasaran) tentang - berhadapan dengan, betul-betul di depan (di muka), dekat di sebelah. | Tatabahasa | 18.12.2007 |