Selamat Pagi.. Saya ingin bertanyakan pemenggalan suku kata bagi perkataan-perkataan berikut: 1. MENYEDIAKAN. me/nye/di/a/kan ATAU men/ye/dia/kan? 2. PAKAIAN. pa/ka/i/an ATAU pa/ka/i/an? 3. JANGAN. jan/gan ATAU ja/ngan? 4. MENDENGAR. men/den/gar ATAU men/de/ngar? 5. TENGAH. te/ngah ATAU ten/gah? 6. MENYEPAK. me/nye/pak ATAU men/ye/pak? 7. DENGAR. den/gar ATAU de/ngar? 8. MENGAMBIL. men/gam/bil ATAU me/ngam/bil? 9. MENYIMPAN. men/yim/pan ATAU me/nyim/pan? 10. PERMAINAN. per/ma/i/nan ATAU per/ma/in/an? 11. DENGAN. den/gan ATAU de/ngan? 12. MEMPUNYAI. mem/pun/ya/i ATAU mem/pun/yai? 13. MENYENTUH. men/yen/tuh ATAU me/nyen/tuh? 14.MENANGIS. me/nan/gis ATAU me/na/ngis? Sekian, terima kasih. | Suku kata yang betul bagi perkataan-perkataan berikut ialah: 1. me/nye/dia/kan 2.pa/kaian 3.ja/ngan 4. men/de/ngar 5. te/ngah 6. me/nye/pak 7. de/ngar 8. me/ngam/bil 9. me/nyim/pan 10. per/mai/nan 11.de/ngan 12. mem/pu/nya/i 13. me/nyen/tuh 14. me/na/ngis
Sila rujuk buku Daftar kata Bahasa Melayu Rum-Sebutan-Jawi Edisi Kedua untuk mendapat keterangan lanjut. | Tatabahasa | 28.04.2010 |
Tuan, 'kan' dalam dialog berikut perlu dieja bersambung atau dijarakkan? (1) "Janganlah macam tu, kita kan kawan baik." atau "Janganlah macam tu, kitakan kawan baik." (2) "Kau kan tak suka aku." atau "Kaukan tak suka aku." (3) "Ibu... kakak kan... dia kan, dia nak pukul adik". atau "Ibu... kakakkan... diakan, dia nak pukul adik." (4) "Siapalah saya ni kan". atau "Siapalah saya nikan". (5) "Ha, tu kan dah jatuh." atau "Ha, tukan dah jatuh." (6) "Kau ni kan, memang nak kena". atau "Kau nikan memang nak kena". (7) "Pergilah, aku tumbuk kan!" atau "Pergilah, aku tumbukkan!" | Hanya kan yang berfungsi sebagai imbuhan sahaja dieja bersambung dengan perkataan sebelumnya. Selain itu "kan" dieja terpisah kerana kan dalam percakapan bermaksud bukan atau tidak membawa apa-apa makna. | Tatabahasa | 25.06.2012 |
Boleh kah perkataan "kan" yang digunakan dalam percakapan di gunakan dalam penulisan sarikata/subtitile? Contoh, Awak mesti tahu di mana dia berada kan? Adakah pertakataan "kan" hanya boleh digunakan dalam percakapan? Terima kasih | Salam sejahtera, Semua golongan kata utama iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Contonya: i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran - kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 04.04.2020 |
Assalamualaikum wbt. dan salam sejahtera. Saya ingin bertanya tentang perbezaan antara maksud imbuhan meN- dan meN-…-kan. “Dia melapor diri dari London” atau “Dia melaporkan diri dari London”? Mana satukah yang betul dan bagaimana boleh saya bezakan antara penggunaan dua imbuhan ini? Terima kasih. | Kata kerja yang terbentuk daripada awalan meN- ialah kata kerja yang mendukung maksud melakukan sesuatu. Penggunaan kata kerja dengan awalan meN- boleh menerbitkan dua makna, iaitu sama ada melakukan perbuatan atau menyatakan keadaan. Kata kerja yang terbentuk dengan apitan meN-...-kan menghasilkan kata kerja transitif dengan maksud membuat sesuatu yang terkandung dalam kata kerja dasar, maksud kausatif atau menyebabkan dan maksud benefaktif atau manfaat. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan. Oleh itu, ayat yang betul ialah “Dia melaporkan diri dari London.” Apitan kata kerja meN-...-kan akan menjadi me-...-kan apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf m, n, ny, r, l, w, dan y. | Lain-lain | 27.03.2022 |
Assalamualaikum, saya ingin bertanya mengenai penambahan imbuhan (atau kata sambungan yang lain) kepada perkataan bukan Bahasa Melayu. Contoh yang kerap muncul dalam penulisan ialah: -Best-nya cerita ni! -Ter-over pulak! -Try-lah yang lain. -Tolong print-kan -Dia meng-italik-kan perkataan Jerman itu (dan lain-lain) Adakah wujud peraturan tatabahasa untuk kategori ini? Bagaimana sepatutnya ia ditulis? Adakah dengan meletakkan sengkang seperti di atas, atau perkataan itu dicondongkan dan disambung sahaja seperti perkataan Bahasa Melayu? Terima kasih atas maklum balas. | Untuk makluman perkataan yang menggabungkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris tidak diterima sebagai bentuk yang rasmi dalam bahasa Melayu. Bentuk ini biasanya digunakan dalam bahasa percakapan seharian yang tidak mempunyai kaedah rasmi yang khusus untuk menulis perkataan tersebut. Perkataan seperti "best, over, try dan print" telah ada padanan bahasa Melayunya dan tidak perlu ditulis dalam bahasa Inggeris. | Tatabahasa | 28.01.2016 |
Yang manakah yang betul; Dia meletak jawatan. ATAU Dia meletakkan jawatan. sila beri panduan tentang penggunaan "Di.......kan" Terima kasih. | Encik Ahmad, Yang betul ialah 'Dia meletakkan jawatan'. Di...kan terhasil daripada pembentukan kata kerja dengan imbuhan meN...kan. Contoh, majlis dirasmikan(merasmikan majlis), dianugerahkan(menganugerahkan), dimasukkan(memasukkan) dsb. | Tatabahasa | 16.05.2010 |
Salam sejahtera Tuan/ Puan, Saya ingin bertanya tentang penggunaan men kan atau me ... an - boleh diikuti dgn kata ' akan ' ? Contohnya : 1. Dia rindukan akan ibunya. (Sepatutnya kata adjektif emosi tidak boleh diletakkan " kan " pada penghujungnya - Dia rindu akan ibunya.) 2. Bagaimana pula dengan ayat : Dia amat merindukan akan ibunya ? (kata adjektif emosi sudah bertukar menjadi kata kerja transitif ' merindukan ' ). Bagaimanakah caranya untuk membetulkan ayat tersebut ? a. Dia amat rindu akan ibunya ? b. Dia amat merindui akan ibunya ? c. Dia amat merindui ibunya ? *** d. Dia amat merindukan ibunya ? e. Dia amat merindu akan ibunya ? atau ada jawapan lain yang lebih tepat ? *** 'men ... an ' perlu diikuti dengan objek tidak hidup, betul ? Cthnya : ... menghadiahkan sepucuk surat kepada ibunya. ... merindukan masakan ibunya. manakala ' men ... i ' perlu diikuti dgn objek hidup : ... merindui ibunya ... menasihati pelajarnya Terima kasih & maaf kerana mengganggu. ChoyHH ( choy862003@yahoo.com) | 1. Ayat yang betul ialah Dia rindu akan ibunya. 2. Dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 194, di bawah subtajuk (c) Jenis Kata Kerja yang terbentuk (dengan Apitan meN-...-kan), binaan ayat yang menerima kata kerja berapitan meN-...-kan adalah: subjek + kata kerja (meN-...-kan) + objek. Sama juga binaan ayat untuk kata kerja berapitan meN-...-i. Oleh itu, binaan ayat, Dia amat merindukan akan ibunya adalah salah. Ayat yang betul ialah: a. Dia amat rindu akan ibunya. b. Dia amat merindui ibunya dan c. Dia amat merindukan ibunya. Perkataan merindukan dan merindui bermaksud rindu akan dan boleh diikuti dengan objek bernyawa. Kesimpulannya, tidak semua aspek tatabahasa bahasa Melayu dapat dipastikan betul atau salah melalui rumus. | Tatabahasa | 14.02.2011 |
Apakah cara terbaik untuk menerangkan penggunaan imbuhan me- kepada pelajar-pelajar? Contoh: beza antara me-. me-kan, me-i dan me-kan | me-…-kan ( mesti diikuti oleh Objek Bergerak me-….-I ( mesti diikuti oleh Objek Tidak Bergerak Huraian: Apitan men-…-kan dan men-…-i yang berpasangan dalam ayat yang mempunyai dua objek kebanyakannya diikuti oleh objek bergerak dan objek tidak bergerak. Dalam situasi ini, apitan men-…kan diikuti oleh objek bergerak, manakala apitan men-…-i diikuti oleh objek yang tidak bergerak. Contoh: Dia menghadiahkan sehelai kain batik kepada ibu. (Kain batik ialah objek bergerak). Dia menghadiahi ibu sehelai kain batik. (Ibu ialah objek tidak bergerak Me---kan --> (mesti diikuti oleh Objek Bernyawa) Me-… --> (mesti diikuti oleh Objek Tak Bernyawa) Huraian: Apitan me----kan dan awalan me- yang berpasangan dalam ayat yang mempunyai dua objek sahaja kebanyakannya diikuti oleh objek bernyawa dan objek tidak bernyawa. Dalam situasi ini, apitan men-…-kan diikuti oleh objek bernyawa dan awalan me- .. diikuti oleh objek tidak bernyawa. Contoh: Ibu menjahitkan adik sehelai baju kurung. (Adik ialah objek yang bernyawa). Ibu menjahit sehelai baju kurung untuk adik. (Baju kurung ialah objek yang tidak bernyawa) | Tatabahasa | 07.10.2019 |
Aslm pihak khidmat nasihat DBP, Apakah perbezaan antara men...i dan men..kan, atau di...i dan di...kan? (bukan dalam konteks objek bernyawa atau tidak) Contoh: 1) Kakak mengambilkan segelas air suam untuk datuk. (Menurut buku saya, ayat ini salah, tetapi bukankah kalau apitan meN..kan, ia perlu diikuti objek?) 2)Pemuda itu membelikan tunangnya seutas rantai emas atau Pemuda itu membelikan seutas rantai emas untuk tunangnya? Adakah apitan meN..i dan meN..kan membawa 'maksud berbeza', apabila digunakan dalam ayat-ayat tertentu? Contohnya: melakukan perbuatan untuk seseorang :membawakan, menyebabkan objek berlaku :menghilangkan Mohon penjelasan. Selain itu, bilakah dimasukkan apitan -kan atau -i dan bilakah ia digugurkan? Contoh : 1) Dia mengisi borang atau Dia mengisikan borang 2) Kakak mengambilkan datuk segelas air suam atau Kakak mengambil segelas air suam untuk datuk. Mohon penjelasan untuk setiap soalan yang dikemukakan. | Fungsi apitan meN-...-kan dengan meN-...-i terbahagi tiga: (1) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan basikal kepada Ahmad. b. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (2) Bagi kata tertentu, perbezaan penggunaan apiatan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. Contohnya; a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i, tetapi telah digugurkan. (3) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...--kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya; a. Ali membaiki kereta yang rosak itu. b. Ali membaikkan kereta yang rosak itu. Tidak berlaku pengguguran apitan meN-...-kan atau meN-...-i, dalam konteks ayat tersebut perkataan yang sesuai ialah mengambil. | Tatabahasa | 23.09.2015 |
Salam, Harap beri sedikit panduan (secara am) bagaimana untuk mengguna imbuhan "kan" pada jenis-jenis atau ragam ayat sbg contoh: dia mengguna pisau untuk masuk rumah itu dia menggunakan pisau untuk masuk rumah itu diguna vs digunakan Lain kata, apakah peranan "kan" dalam tatabahasa? TK | Akhiran -kan membentuk kata kerja transitif. Biasanya kata kerja yang menerima akhiran -kan menerima juga men- atau di- dan hadir dalam ayat aktif transitif atau pasif. Dalam ayat contoh yang diberikan penggunaan yang betul ialah dia menggunakan pisau ... (ayat aktif transitif) dan rencana itu saya bukukan (ayat pasif). Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 185. | Tatabahasa | 26.12.2011 |