diantara aduan yang dilampirkan atau antara aduan yang dilampirkan | Jawapan yang tepat ialah “antara aduan”. Kata sendi nama antara hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Frasa sendi nama di antara pula digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau tempat. | Tatabahasa | 13.05.2020 |
DIANTARA DUA PERKATAAN TERSEBUT , YANG MANAKAH BETUL UNTUK DIGUNAPAKAI KERANA KEDUANYA MEMPUNYAI MAKSUD YANG SAMA: 1.HARTA TANAH ATAU HARTANAH 2. JURU UKUR ATAU JURUUKUR MOHON MAKLUM BALAS DAN KOMEN YA. TERIMA KASIH | Perkataan hartanah dan harta Tanah kedua-duanya boleh digunakan untuk maksud yang sama. JURUUKUR ialah ejaan yang betul. Terima kasih. | Istilah | 08.08.2017 |
Diantara dua ayat dibawah,manakah ayat yang betul? apakah alasannya? Apa nama anda? @ Siapa nama anda? | Siapa bermaksud 1. kata utk menanyakan orang, orang mana: ~ yg mengusik awak? 2. kata utk menanyakan nama orang: ~ nama kamu? 3. kata utk menyatakan orang secara umum, orang yg tidak tentu; ~ yg makan cabai, dialah berasa pedas prb yg berbuat salah akan berasa; tiada ~ tiada seorang pun; ~ lagi a) = ~ pula adakah orang lain lagi; b) siapa selanjutnya (suka, mahu membeli, dll); ~ lu ~ gua Id, bp masing-masing membuat hal sendiri (tidak bertolong bantu); ~ pun = ~ sahaja a) barang siapa; b) sebarang orang, siapa juga. Manakala apa pula bermaksud 1. kata utk menanyakan nama (jenis, sifat, dll) sesuatu: ~ yg kaubeli tadi? 2. pengganti sesuatu yg kurang tentu (kurang terang): tidak terdengar ~ yg kaucakapkan; 3. = ~lah kata utk menghaluskan suruhan: belikan ~ saya sebungkus rokok; 4. = ~kah kata utk menanyakan sesuatu (bukan manusia): ~ kereta itu rosak? 5. atau: ya ~ tidak; ~ akal bagaimana akal, apa yg harus dibuat; ~ boleh buat apa yg hendak dilakukan lagi, tak ada jalan lain lagi; ~ daya tidak ada kuasa lagi; ~ khabar a) bagaimana keadaanmu; b) ada khabar barukah; ~ lacur Id ya bagaimana lagi (apa boleh buat); ~ macam apa khabar; ~ pasal apa sebab; ~ sahaja = ~ saja = barang ~ = segala ~ tidak kira apa, sebarang, segala sesuatu; ~ tidaknya memang ya; ~ ubahnya serupa; kena ~ a) apa yg dialami atau dideritai; b) mengapa, kenapa; Oleh itu, penggunaan yang tepat ialah siapa nama anda? | Lain-lain | 09.07.2010 |
Salam, Diantara dua ayat berikut yang manakah lebih tepat atau salah dalam penggunaan bahasa/perkataan/maksud merujuk kepada perkataan di dalam kurungan ( ). a)"Jangan (Kotorkan) Masa Depan Kita..Kitar Semula" atau b) "Jangan (Mencemarkan) Masa Depan Kita.. Kitar Semula" Kerjasama & bantuan dari pihak tuan sangat dihargai. Sekian, terima kasih. | Kotor dan cemar, kedua-duanya membawa maksud yang sama. Walau bagaimanpun perkataan kotor lazimnya dikaitkan dengan benda-benda yang boleh dilihat secara fizikal seperti taman dan rumah. Oleh itu, pada pandangan kami perkataan cemar lebih sesuai digunakan dalam konteks yang tersebut...jangan cemarkan... . | Tatabahasa | 24.01.2014 |
Perbezaan diantara perkataan 'baru' dengan 'baharu' | Kata "baru" dan "baharu" dianggap sebagai varian dalam bahasa Melayu. Menurut Kamus Dewan, baharu atau baru bermaksud membaharui, memperbaharui, membaiki semula (melakukan sesuatu, mengubah, dll). Bagi menjawab pertanyaan saudara, "baru" kebiasaannya merujuk kepada masa, bagi membantu, dalam bahasa Inggeris, kata "just" digunakan untuk mempamerkan penggunaan kata ini. Contoh ayatnya, "Dia baru tiba dari Kuala Lumpur". Kata "baharu" pula merujuk kepada sesuatu yang baru. Terjemahan dalam bahasa inggerisnya, "new", termasuk digunakan untuk barang-barang. Contoh, "Buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu". Walau bagaimanpun tidak salah juga kita menyebut "Buku Tatabahasa Dewan Edisi Baru". | Tatabahasa | 23.08.2011 |
perbezaan diantara papan tanda dan papan kenyataan. berikan ciri2 dan contoh2nya | Papan tanda ialah papan nama sesuatu tempat (kawasan); papan kenyataan ialah papan tempat ditulis atau ditampalkan kenyataan (larangan, pengumuman, dll. Untuk malumat tentang ciri dan contoh sila buat rujukan di perpustakaan. | Makna | 20.04.2009 |
Perbesaan diantara kegunaan perkataan dianugerahkan dan dianugerahi | Dianugerahkan bermaksud diberikan sesuatu sbg anugerah; YB Dato' Mohamad bin Abdullah dianugerahkan Pingat Jasa Bakti oleh DYMM Sultan Pahang; manakala dianugerahi bermaksud diberi anugerah, Ahmad dianugerahi seorang anak lelaki baru-baruini. | Tatabahasa | 06.11.2008 |
Apa beza diantara wang dan duit, contoh dalam enakmen wakaf selangor ada ditakrifkan istibdal wakaf bahawa ianya bermaksud : ((…menggantikan suatu harta wakaf dengan harta lain atau wang yang sama atau lebih tinggi nilainya...)) maka adakah perkataan WANG di dalam takrif ini membawa maksud DUIT, atau ia lebih umum dari perkataan DUIT ? | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, wang ialah alat pertukaran yang mempunyai harga (nilai) tertentu dan diakui sah manakala duit ialah kepingan logam (daripada emas, perak, tembaga dll.) yang dicap menjadi syiling, atau kertas yang dicap dengan nilainya sekali yang diterima atau yang diberikan ketika menjual atau membeli sesuatu. Dalam konteks wakaf seperti yang dinyatakan dalam soalan, berkemungkinan wang yang dimaksudkan ialah alat pertukaran yang mempunyai harga (nilai) tertentu dan diakui sah, dengan maksud yang lebih umum daripada maksud duit. | Makna | 12.05.2020 |
apakah perbezaan diantara hujan rintik-rintik dengan gerimis? | Kamus Dewan Edisi Empat mendefinisikan gerimis sebagai hujan rintik-rintik. Oleh itu, tiada perbezaan antara hujan rintik-rintik dengan gerimis. | Tatabahasa | 22.03.2013 |
Apakan perbezaan diantara Bahasa Melayu dengan Bahasa Malaysia? | Mengikut Perlembagaan Malaysia istilah yang betul ialah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun kabinet Malaysia telah mengeluarkan arahan agar istilah bahasa Malaysia digunakan menggantikan istilah bahasa Melayu bagi tujuan perpaduan. Dalam hal ini kami berpendapat penggunaan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia perlu disesuaikan mengikut konteks penggunaannya. contohnya, jika penggunaan ini bagi tujuan ilmu maka istilah bahasa Melayu yang paling tepat digunakan kerana bahasa itu disandarkan kepada peradaban Melayu. | Lain-lain | 07.07.2012 |