Salam. Saya agak keliru dengan jawapan yang diberikan. Mengikut jawapan tuan, perkataan dibekalkan tidak wujud dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Rujukan saya pada Kamus Dewan Edisi Keempat (terbitan 2010) muka surat 148, perkataan membekalkan (ditulis sebagai kata kerja aktif) manakala ayat contoh yang diberikan ialah ayat pasif iaitu: Sebelum berangkat, air tambahan mesti dibekalkan. Harap penjelasan lanjut daripada pihak tuan, terima kasih. | Pendapat tuan betul, Kamus Dewan menyenaraikan kata terbitan daripada kata kerja aktif dalam entri setiap kata. Namun dalam ayat contoh yang diberikan kadangkala memasukkan juga kata kerja pasif seperti contoh yang tuan berikan. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Tatabahasa | 20.09.2012 |
Jika peserta program dibekalkan dengan buku (ada maklumat peribadi dan ruang untuk cop), perlu ke kelas-kelas tertentu dan sebagai pengesahan peserta sudah pergi kelas tersebut, buku mereka akan dicop. Bolehkah buku tersebut dipanggil sebagai pasport atau pasport kehadiran? Sebab peserta yang pegang sendiriibuku tersebut. | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) halaman 1629, perkataan pasport bermaksud dokumen (mengandungi butir-butir peribadi) yang didapati daripada kerajaan oleh seseorang warganegara untuk dibawa apabila ke luar negeri; 2. sesuatu (kelayakan dan sebagainya) yang dianggap membolehkan seseorang diterima masuk tanpa halangan dalam mana-mana bidang (kegiatan dan lain-lain) yang diingininya. Sehubungan dengan itu, perkataan Pasport Kehadiran tidak sesuai untuk digunakan dalam konteks yang tuan maksudkan. Cadangan yang sesuai ialah Buku Kehadiran.
| Makna | 15.11.2024 |
Salam... Ayat berikut dikatakan ada kesalahan. Boleh pihak tuan nyatakan kesalahan tersebut. 1. Kaunselor mengingatkan semua murid agar mereka memanfaatkan masa cuti pertengahan penggal persekolahan untuk mengulang kaji pelajaran dan membuat kerja sekolah yang dibekalkan oleh guru-guru. 2. Mereka masih berselisih pendapat walaupun berada dalam kumpulan yang sama. | . 1. Kaunselor mengingatkan semua murid agar mereka memanfaatkan masa cuti pertengahan penggal persekolahan untuk mengulang kaji pelajaran dan membuat kerja sekolah yang dibekalkan oleh guru-guru. dibekalkan- perkataan ini tidak wujud dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Perkataan yang sesuai ialah ' diberikan'. 2. Mereka masih berselisih pendapat walaupun berada dalam kumpulan yang sama. 'masih' kurang sesuai. Perkataan yang lebih sesuai ialah 'tetap'.
| Tatabahasa | 18.09.2012 |
saya mahukan simbol fonetik vokal Bahasa Melayu untu tugasan saya. | Simbol fonetik bahasa Melayu boleh diperoleh dengan merujuk buku-buku tentang ilmu Linguistik. Untuk makluman saudara tidak semua komputer kami dibekalkan dengan kemudahan untuk menaip simbol-simbol berkenaan. | Lain-lain | 22.06.2009 |
Assalamualaikum. Mohon untuk semak ayat-ayat di bawah daripada segi penggunaan simbol (V) untuk voltan/volt dan perkataan adalah. Terima kasih. 1. Belut elektrik mampu menghasilkan voltan sebanyak 800 volt. 2. Elektrik yang dibekalkan ke rumah-rumah adalah sebanyak 220-240V dalam bentuk arus ulang alik (AC/AU). | Voltan bermaksud daya gerak elektrik atau beza keupayaan yang disebut dalam unit volt. Penggunaan perkataan voltan dan vot dalam ayat adalah betul. | Makna | 10.01.2017 |
Memaparkan seorang detektif muda telah diserang hendap dan berada dalam keadaan tenat. Pihak musuh percaya detektif tersebut telah berjaya dibunuh. Sebaliknya beliau telah diselamatkan dan menggunakan identiti baru setelah membuat pembedahan plastik. Beliau diarah meneruskan tugasnya mencari penjenayah di samping pada waktu yang sama menuntut keadilan. Untuk melaksanakan tugasnya secara lebih berkesan, beliau telah dibekalkan dengan sebuah kereta canggih yang digelar KITT. Kereta canggih ini mempunyai perisai setara dengan kereta kebal dan mampu memecut 300 batu sejam. Tambahan pula, kereta canggih ini juga dibekalkan dengan personaliti komputer kecerdasan dan berfungsi sebagai seorang pembantu. Detektif yang bersemangat waja ini meneruskan misi buruan penjenayah dengan kereta canggih ini. Akhirnya pemuda ini berjaya menangkap penjenayah dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa. | Soalan tidak jelas. Sila nyatakan dengan terperinci bagi membolehkan pihak kami membantu tuan dalam hal ini. | Tatabahasa | 28.01.2022 |
Tuan/Puan, Saya berharap agar pihak tuan dapat (1)mencadangkan buku-buku yang berkenaan tatabahasa bahasa melayu, sejarah bahasa melayu dan juga sejarah kesusasteraan melayu. Hai ini demikian kerana saya sedang menjalani pengkajian tentang penjodoh bilangan BM. Dalam skop kajian saya, saya berharap dengan bantuan korpus yang dibekalkan oleh pihak tuan, saya dapat mangkaji masa wujudnya sesuatu penjodoh bilangan atau perubahan makna sesuatu kata sehingga berfungsi sebagai penjodoh bilangan.Tetapi pengetahuan saya tentang bahasa melayu terutamanya bahasa melayu kuno atao klasik adalah lemah. Dengan ini, saya berharap dapat melalui pembacaan dapat mengetahui bagaimana pakar bahasa membezakan bahasa kuno dan moden sehingga saya dapat mencari perbezaannya dari dua peringkat ini. (2)Soalan kedua adalah tentang translasi klasik melayu dan data yang dikumpul dalam korpus. Dalam pengetahuan saya, klasik melayu lama asalnya ditulis dengan tulisan Jawi. Saya tidak pasti sama ada dalam teks asal tersebut telah mengandungi penjodoh bilangan ataupun adalah akibat ditambah oleh penterjemah untu menyesuaikan nahu bahasa melayu standard. (3)Selain itu, karya yang dikumpul dalam korpus adalah edisi lengkap atau edisi ringkas? Bantuan pihak tuan didahului dengan ribuan terima kasih. | Tuan/Puan boleh merujuk buku-buku seperti Tatabahasa Dewan Edisi Keempat oleh Nik Safiah Karim et. al; Nahu Melayu Mutakhir Edisi Kelima oleh Asmah Haji Omar; Pelita Bahasa Melayu Penggal I - III (Edisi Baharu) oleh Zainal Abidin Ahmad (Za'ba); Ilmu Mengarang Melayu oleh Za'ba; Kitab Ilmu Bahasa Melayu oleh Za'ba, dan sebagainya. Tuan juga boleh merujuk buku-buku dalam Siri Monograf Sejarah Bahasa Melayu seperti Gaya Bahasa Sastera Melayu oleh Umar Junus; Inskripsi Melayu Sriwijaya oleh G. Coedes (disunting dan diperkenalkan oleh Asmah Haji Omar), serta buku-buku sastera lama seperti Sulalat Al Salatin, Sejarah Melayu, buku-buku hikayat dan lain-lain. Semua buku ini adalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Maklumat dan rujukan lain mungkin boleh didapati di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. | Lain-lain | 24.05.2011 |
Salam sejahtera, saya ingin bertanya adakah terdapat kesalahan tatabahasa pada ayat-ayat berikut dan jika ada apakah kesalahannya? Mohon beri pencerahan. Terima kasih. 1. Sekawan pengganas telah berjaya ditumpaskan oleh pihak tentera dalam kejadian tembak-menembak pada pagi kelmarin. 2. Ketua tingkatan meminta semua murid di Kelas Satu Harmoni membayar sebanyak tiga setengah ringgit untuk fail yang dibekalkan oleh guru kelas mereka. 3. "Saya bertemu Cikgu Ruslan di kedai buku itu semalam, " kata Johari kepada rakan baiknya. 4. Pemaju perumahan itu bankrap menyebabkan projek perumahan itu tergendala selama lima setengah tahun. 5. Beribu orang penyokong Kelab Pemuda Kedah membanjiri stadium itu untuk menyaksikan pertandingan bola sepak antara pasukan Kedah dengan pasukan Perlis yang berlangsung pada malam semalam. | 1. Sekawan pengganas telah berjaya ditumpaskan oleh pihak tentera dalam kejadian tembak-menembak pada pagi kelmarin. 2. Ketua tingkatan meminta semua murid di dalam Kelas Satu Harmoni membayar sebanyak RM3.50 untuk fail yang dibekalkan oleh guru kelas mereka. – Kelas merupakan bentuk fizikal yang boleh dilihat ruangnya, maka penggunaan yang betul ialah frasa di dalam. 3. "Saya bertemu Cikgu Ruslan di kedai buku itu semalam," kata Johari kepada rakan baiknya. 4. Pemaju perumahan itu bankrap sehingga menyebabkan projek perumahan itu tergendala selama lima setengah tahun. - Sehingga dalam ayat tersebut bermaksud sampai menjadi, iaitu sesuatu berlaku dan mengakibatkan sesuatu yang lain. 5. Beribu-ribu orang penyokong Kelab Pemuda Kedah membanjiri stadium itu untuk menyaksikan pertandingan bola sepak antara pasukan Kedah dengan pasukan Perlis yang berlangsung pada malam semalam. – Penggunaan beribu-ribu betul kerana menunjukkan beberapa ribu atau banyak ribu. Manakala perkataan beribu merujuk kepada mempunyai ibu atau menanggap sebagai ibu. | Tatabahasa | 11.11.2020 |
Apakah yang dimaksudkan dengan fertigasi? Sebab saya cari di carian umum tetapi tiada dalam rekod. Adakah ejaan saya salah? | Menurut daripada istilah pertanian, ejaan yang betul ialah fertigasi yang bermaksud sayuran atau buah-buahan yang melibatkan pengairan titis, yang digabungkan dengan pemberian nutrien bersama-sama air yang dibekalkan kepada tanaman. Tanaman ini menggunakan pasu dengan media yang boleh menyimpan air seperti sabut kelapa atau gambut. | Ejaan | 11.05.2020 |
apa maksud kimchi, ramen, tteokbokki, gadget, generasi alpha, smirk, netizen, delulu | Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) bagi kata bahasa asing yang telah terserap masuk ke bahasa Melayu seperti gajet dan chalet. Maklumat tentang kelas kata, makna, contoh penggunaan termasuk asal usul beberapa kata dibekalkan dalam kamus ini. Bagi kosa kata bahasa asing yang belum diterima, saudara boleh menyemak kamus bahasa sumber kata tersebut untuk memperoleh maklumat berkaitannya. Untuk maklumat ringkas sila layari https://prpm.dbp.gov.my. | Makna | 11.11.2024 |