1) Kereta yang (baharu/baru) dibeli oleh Encik Luqman semalam sudah pun dicuri orang. Mana satu jawapan betul dan keterangannya. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah: Kereta yang baru dibeli oleh Encik Luqman semalam sudah pun dicuri orang. Kata baru dan baharu sebagai kata adjektif kerap kita temui dalam ayat seperti rumah baru/baharu, kawan baru/baharu dan kereta baru/baharu. Walau bagaimanapun sebagai kata bantu perkataan baru sahaja digunakan seperti baru sampai dan baru sebentar tadi. Kata sifat - baru/baharu Kata bantu - baru
| Makna | 09.03.2022 |
Saudara, bolehkah saudara menjelaskan kemusykilan saya tentang perkara-perkara berikut ? 1. a) Barang-barangnya kecurian malam tadi. b) Barang-barangnya dicuri malam tadi. Mana satukah yang tepat dari segi penggunaan imbuhannya ? 2. a) Hadiah itu dimenangi oleh Wei Lun. b) Hadiah itu dimenangi Wei Lun. c) Rumput-rumput itu dibasahi hujan. Saya inginkan penjelasan tentang penggunaan imbuhan 'di-....i' dan kata sendi nama 'oleh' bagi contoh ayat-ayat tersebut. 3. Antara 'berlepas ke' dan ' berlepas dari', adakah kedua-duanya tepat ? Keprihatinan daripada pihak saudara untuk menghuraikan permasalahan tersebut saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih ! | 1. Barang-barangnya dicuri malam tadi - ayat (imbuhan) yang betul 2. Dalam buku Tatabahasa Dewan, di bawah tajuk Apitan di-...-i diterangkan bahawa apitan di-...-i ialah bentuk pasif bagi meN-...-i, contohnya mempelopori - dipelopori; Gerakan menuntut kemerdakaan negara itu dipelopori oleh kaum bangsawan, mengotori - dikotori; Selepas hujan bilik darjah dikotori oleh tanah lumpur. Kata sendi nama oleh yang kedudukannya selepas kata kerja boleh digugurkan secara pilihan. Ketiga tiga ayat contoh yang diberi adalah betul. 3. Berlepas ke dengan berlepas dari, kedu-duanya adalah betul. Yang pertama menunjukkan tempat yang dituju (berlepas ke angkasa lepas) dan kedua menunjukkan tempat asalnya/punca (berlepas dari Terminal ...) | Tatabahasa | 25.05.2008 |
1)Polis telah (menemui/menemukan) kereta yang dicuri oleh perompak itu. 2)Perlawanan bola baling yang telah berlangsung sejak satu jam tadi terpaksa ditangguhkan sebab hari hujan. Tolong beritahu saya soalan tersebut mana salah.Terima kasih. | 1. Kedua-duanya betul kerana menemui juga bermaksud menemukan, iaitu berjumpa dengan apa yang dicari. 2. Ayat yang betul ialah Perlawanan bola baling yang telah berlangsung sejak satu jam tadi terpaksa ditangguhkan oleh sebab hari hujan. | Tatabahasa | 12.02.2012 |
Adakah penggunaan perkataan sarau sama seperti malang. contohnya: sarau sekali, telefon bimbit barunya dicuri jirannya. terima kasih | Sarau dalam bahasa Minang bermaksud celaka atau malang. | Makna | 19.08.2009 |
Salam sejahtera. Istilah "data breach" merujuk kepada kejadian pencabulan keselamatan yang dalamnya data yang sensitif, terlindung atau sulit disalin, dihantar, dilihat, dicuri atau digunakan oleh seseorang tanpa izin. Apakah terjemahan yang sesuai untuk "data breach" - kebocoran data atau pelanggaran data atau apa-apa terjemahan lain? Terima kasih. | Kami mencadangkan padanan istilah tersebut ialah seperti yang berikut: data breach - pencerobohan data Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaannya dalam sesuatu bidang tertentu. | Lain-lain | 11.10.2021 |
sila semak: 1.sel yang dibelah itu mendua 2. Emak menduai pisang itu agar boleh dibahagikan sama rata 3. Zali menduakan isterinya 4. Wang yang dicuri itu diperdua untuk diberi kepada orang bawahannya | Ayat yang betul ialah "emak membahagikan pisang itu kepada dua agar boleh dibahagikan sama rat". Ayat yang lainnya adalah betul. Harap maklum. | Tatabahasa | 24.09.2007 |
Apakah perbezaan perkataan 'menasihati' dan 'menasihatkan' dari segi penggunaan? | Menasihati bermaksud memberi nasihat (tunjuk ajar dan sebagainya) kepada: Guru menasihatinya supaya memulangkan barang yang dicuri itu kepada tuannya, manakala menasihatkan bermaksud memberikan sesuatu sebagai nasihat atau sebagai tunjuk ajar, contohnya: Sia-sia sahaja menasihatkan budak-budak yang tidak berakhlak itu. | Tatabahasa | 02.03.2011 |
Habis barang-barang di pasar raya itu musnah dalam kecurian malam tadi. Apakah kesalahan yg terdapat dlm ayat ini ?? | Ayat yang betul ialah "Barang-barang di pasar raya itu habis dicuri pada malam tadi." | Tatabahasa | 16.07.2013 |
Saya ingin bertanya tentang perbezaan maksud dan penggunaan imbuhan bagi kata "ditemukan" dan "ditemui" berdasarkan kekerapan pihak akhbar mula menggunakan kata ditemukan sejak akhir-akhir ini. | Ditemukan ialah kata kerja pasif menemukan yang bermaksud dijumpai sesuatu yang dicari, seperti ayat "kereta yang dicuri telah ditemukan dalam kawasan hutan berhampiran". Manakala ditemui ialah kata kerja pasif menemui bermaksud bertemu dengan, berjumpa dengan seseorang atau pergi bertemu dengan, seperti ayat "gadis idamannya belum lagi ditemui".
| Makna | 06.04.2015 |
Semenjak kebelakangan ini saya lihat media mula menggunakan perkataan 'ditemukan' dalam ayat mereka. Contoh : satu mayat ditemukan di.. , jika tidak sebelum ini mereka menggunakan perkataan 'ditemui'. Mohon penjelasan. | Untuk makluman, "ditemukan" ialah kata kerja pasif menemukan yang bermaksud dijumpai sesuatu yang dicari, seperti ayat "kereta yang dicuri telah ditemukan dalam kawasan hutan berhampiran". Manakala "ditemui" ialah kata kerja pasif menemui bermaksud bertemu dengan, berjumpa dengan seseorang atau pergi bertemu dengan, seperti ayat "gadis idamannya belum lagi ditemui". Sehubungan dengan itu, pemilihan perkataan "ditemukan" memang tepat berdasarkan contoh ayat yang diberikan. | Tatabahasa | 05.09.2015 |