Mohon pencerahan berkenaan didahului: Kerjasama tuan dalam hal ini amatlah dihargai dan "didahului" dengan ucapan ribuan terima kasih. kerjasama tuan dalam hal ini amatlah di dihargai dan pihak kami mendahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih. Semakan saya menggunakan kamus dewan 4 ,perkataan didahului tidak wujud. Mohon Juga pencerahan sama ada perkataan mendahului, didahulukan ....wujud.Sekian, terima kasih. | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, terdapat perkataan “didahului”, “mendahului” dan “didahulukan”. Antara maksud perkataan “didahului” dan “mendahului” seperti yang berikut: - Melepasi (seseorang atau sesuatu) dan berada di hadapan.
- Melebihi atau mengatasi seseorang atau sesuatu dari segi bilangan, markah, prestasi dan sebagainya yang diperoleh.
- Melakukan sesuatu lebih awal atau lebih cepat daripada seseorang atau sesuatu.
- Berlaku atau wujud sebelum atau lebih awal daripada sesuatu yang lain.
- Menduduki tempat paling atas dalam (senarai, carta dan sebagainya).
- Memberikan keutamaan pada sesuatu berbanding dengan yang lain.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana, muka surat 466. | Makna | 10.12.2023 |
"Segala keprihatinan dan kerjasama yang diberi pihak tuan didahului dengan ucapan terima kasih." Soalan :Ayat ini perlu ditambahkan satu perkataan 'oleh' di depan 'pihak tuan' kah? Didahului dengan ucapan terima kasih atas penjelasan soalan tersebut. | Kedua-duanya boleh digunakan. | Tatabahasa | 24.05.2010 |
Saya cinta akan negara. Kata sendi nama akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. Jawapan di atas merupakan jawapan yang saya terima daripada pertanyaan yang lepas. Saya ada soalan mengenai "penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif." Berdasarkan contoh di atas, di manakah kata adjektif yang bersifat emotif? | Saya cinta akan negara. Cinta ialah unsur emotif dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 29.09.2014 |
adakah "ketereujaan" perlu didahului oleh perasaan? | Adakah tuan/puan merujuk kepada "Keterujaan"? Mohon tuan/puan dapat berikan soalan dengan lebih jelas dan disertakan dengan contoh yang sesuai kerana kami tidak dapat memahami soalan ini. | Lain-lain | 26.04.2014 |
adakah istilah "keterujaan" perlu didahului dengan perkataan "perasaan"? | Mengikut buku Kamus Dewan dan Kamus Pelajar, perkataan ‘keterujaan’ diberikan makna perihal (keadaan, sifat, rasa) teruja. Berdasarkan makna yang diberikan ini, perkataan ‘keterujaan’ telah merangkumi perasaan. Contoh ayat: Program yang bermanfaat itu mewujudkan keterujaan dalam kalangan remaja supaya mereka mahu menyertainya. | Tatabahasa | 18.05.2014 |
Soalan yang saya tanya dalam pertanyaan yang lepas: Saya cinta akan negara. Kata sendi nama akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. Jawapan di atas merupakan jawapan yang saya terima daripada pertanyaan yang lepas. Saya ada soalan mengenai "penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif." Berdasarkan contoh di atas, di manakah kata adjektif yang bersifat emotif? Jawapan yang diterima: Saya cinta akan negara. Cinta ialah unsur emotif dalam ayat tersebut. Ada pertanyaan lagi mengenai soalan di atas: Cinta ialah kata nama dan bukannya kata adjektif. Bukan? Jadi, ayat “Saya cinta akan negara" adalah kurang tepat? | Cinta ialah kata adjektif sama seperti kasih dan sayang. Hal ini boleh dibuktikan dengan penggunaan kata penguat seperti a "sangat mencintai ibunya". Oleh itu, ayat "saya cinta akan negara" itu betul. | Tatabahasa | 30.09.2014 |
Penggunaan imbuhan apitan mana yang lebih tepat; didahului ilmu dengan adab atau didahulukan ilmu dengan adab? | Penggunaan yang lebih tepat dalam konteks ayat tersebut ialah didahulukan, "didahulukan ilmu dengan adab". | Tatabahasa | 06.01.2022 |
Khidmat nasihat tuan/puan amat diperlukan dan didahului dengan ribuan terima kasih. | Kami tidak menyediakan perkhidmatan menyemak terjemahan. Tuan/puan boleh menghubungi Persatuan Penterjemah Malaysia melalui talian 03-9226 2506 atau Institut Terjemahan dan Buku Malaysia melalui talian 03-4145 1800 untuk hal yang berkaitan dengan terjemahan. Kami menyediakan khidmat untuk pertanyaan istilah dalam bahasa Melayu. Sekiranya istilah yang dikehendaki tiada dalam laman PRPM (http://prpm.dbp.gov.my/), kami akan mencadangkan istilah atau perkataan dalam bahasa Melayu yang sesuai. | Penyemakan dan penterjemahan | 10.12.2018 |
Assalamualaikum. Mohon kepastian ejaan Jawi bagi "ISLAM". Didahului dengan ucapan terima kasih. | Ejaan Islam ialah ٳسلام | Ejaan | 13.02.2013 |
Assalamualaikum. Mohon terangkan perbedaan "perlantikan" dengan "pelantikan" Didahului dengan ucapan terima kasih. | Kata terbitan yang betul ialah "pelantikan" kerana lazimnya daripada kata kerja "melantik" (me + kata dasar)maka terbitlah perkataan pelantikan yang bermaksud perihal melantik. Jika kata kerja ber + kata dasar seperti berjalan, maka terbitlah perkataan perjalanan. Tiada perkataan berlantik jika menggunakan ber= lantik yang akan menerbitkan perlantikan.Perkataan perlantikan tidak ada dalam bahasa Melayu, yang ada ialah pelantikan. | Tatabahasa | 13.02.2013 |