1. Melalui kem motivasi, murid akan didedahkan dengan tip untuk belajar dengan lebih mudah oleh pakar motivasi yang terlatih Atau 2. Melalui kem motivasi, murid akan didedahkan tip untuk belajar dengan lebih mudah oleh pakar motivasi yang terlatih. Ayat 1 atau ayat 2 yang betul. | Ayat yang betul ialah “Melalui kem motivasi, murid akan didedahkan kepada tip untuk belajar dengan lebih mudah oleh pakar motivasi yang terlatih”. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 495. | Tatabahasa | 05.03.2024 |
Kebanyakan kanak-kanak di kampung itu telah didedahkan dengan pelajaran asas sebelum memasuki alam persekolahan. Apakah kesalahan bahasa dalam ayat itu? | Ayat yang betul ialah: Kebanyakan kanak-kanak di kampung itu telah didedahkan kepada pelajaran asas sebelum memasuki alam persekolahan. | Lain-lain | 01.11.2021 |
Apakah manfaat belajar penutur asing dan cendekia Bahasa? Adakah DBP ada memberi kursus “Penulisan Karangan dan kursus Tatabahasa” kepada mereka? | Salam sejahtera, Manfaat Kursus Akademi DBP Manfaat kepada pelajar penutur asing Pelajar didedahkan dengan empat kemahiran asas, iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. • Pelajar didedahkan dengan perkataan asas mengikut topik yang dipelajari. • Pelajar dapat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam bentuk latihan yang diberikan. Manfaat kursus cendekia bahasa. Kursus Cendekia bertujuan untuk memberikan pengetahuan tentang aspek tatabahasa bahasa Melayu seperti pembentukan kata dan ayat. Tiada topik yang khusus untuk penulisan karangan. Pada akhir kursus, peserta akan dapat: * Mengenali dan memahami jenis tanda baca dan penggunaannya yang betul. * Mengenali bentuk kata dan golongan kata. * Mengenali bentuk dan jenis ayat. * Mengenal pasti kesalahan tatabahasa yang terdapat pada dokumen rasmi. * Menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam urusan rasmi sama ada lisan mahupun penulisan. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 29.06.2021 |
Kenapa bahasa Melayu klasik dan bahasa istana perlu didedahkan kepada pelajar sekolah rendah mahupun sekolah menengah walaupun bahasa-bahasa itu tidak digunakan dalam perbualan seharian? | Terima kasih atas pertanyaan daripada pihak tuan/puan. Untuk makluman pihak tuan/puan, sebarang keputusan yang berkaitan dengan perancangan dan pelaksanaan dasar pendidikan di sekolah adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Malaysia. | Lain-lain | 12.11.2023 |
Tuan, dengan penularan wabak Covid-19 sekarang, kita sering didedahkan dengan istilah “frontliner”. Di dalam kamus istilah bahasa melayu diterjemahkan kepada “baris hadapan”. Adakah istilah ini boleh diguna pakai bagi pekerja “frontliner” dalam menangani covid-19? Seperkara lagi, bolehkah menggunakan kata pensanitasi tangan bagi menggantikan hand sanitizer? Terima kasih. | Kami mencadangkan padanan bahasa Melayu bagi perkataan frontliner ialah barisan hadapan, dan hand sanitizer ialah pensanitasi tangan. | Istilah | 23.03.2020 |
Terdapat buku rujukan penjodoh bilangan di pasaran. Dalam buku tersebut mereka menggunakan 'sebilah jarum' tetapi selama ini, kami telah didedahkan bahawa kami harus menggunakan 'sepucuk jarum'. Jadi apakah penjodoh bilangan yg sesuai bagi 'jarum'? terima kasih | Penjodoh bilangan untuk jarum ialah sebatang. | Tatabahasa | 28.06.2011 |
saya ingin bertanya mengenai pemurnian bahasa yang berlaku, seperti orang asli menjadi orang asal dan juga beberapa perkataan lain.. kenapa kurang didedahkan? saya ada mendapat beberapa perkataan daripada pensyarah saya seperti tunas wibata. boleh pihak dbp menyenaraikan lagi perkataan-perkataan lain yang telah diwujudkan dalam memurnikan lagi bahasa malaysia agar tidak kasar didengar? terima kasih. | Untuk makluman tuan tidak ada perubahan bagi istilah orang asli kepada orang asal. Istilah orang asli telah mantap penggunaannya hatta dalam bidang undang-undang pun digunakan Akta Orang Asli. Pembentukan kata baharu sepertimana lazimnya dimasukkan dalam kamus edisi baharu. Selain itu, media juga memainkan peranan penting dalam penggunaan kata baharu yang dicipta atas keperluan semasa sesuatu bidang. DBP tidak menerbitkan senarai khusus perkataan baharu atau perkataan yang sedia ada tetapi diberi peluasan makna berdasarkan konteks semasa. Sila rujuk www.prpm.dbp.gov.my untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan. | Istilah | 17.10.2012 |
Assalamualaikum dan selamat berpuasa, 1. Perkataan stokin dan stoking, bila dirujuk kepada kamus, ianya membawa pengertian yang sama. 2. Istilah mana yang paling tepat untuk digunakan dan didedahkan kepada murid. Jika ejaan 'stokin' yang betul adakah ejaan ' stoking' itu salah dan sebaliknya. Terima kasih. | Dalam Kamus Dewan (Bahasa Melayu - Bahasa Melayu) entri perkataan stoking sahaja yang ada dan padanan sock dalam bahasa Melayu ialah stoking. Oleh itu, ejaan stoking yang paling tepat. | Tatabahasa | 26.08.2010 |
Kegagalan murid merangka isi-isi penting dalam penulisan karangan Bahasa Melayu. | Dalam sesuatu penulisan, aspek yang penting ialah isi. Kekuatan isi akan mencerminkan pemikiran dan keseluruhan penulisan yang dihasilkan. Murid-murid perlu didedahkan untuk mengenal pasti antara isi dengan huraian. Murid-murid perlu banyak membaca dan membuat rujukan untuk mencari isi bagi karangan. Dengan pembacaan, murid-murid akan mudah merangka isi dan mendapai idea untuk menghasilkan penulisan. | Tatabahasa | 31.03.2013 |
Mengapakah masih ada papan tanda atau iklan yang dipaparkan tidak menggunakan perkataan yang mempunyai ayat yang lengkap dan formal dan bukannya bahasa kasar@rojak?Oleh sebab itu para pelajar pada masa kini lebih banyak didedahkan kepada penggunaan bahasa yang tidak sistematik..mengapa tidak ada pantauan?sila jelaskan? | Sdr. Naruto, usaha pemantauan memang kerap kami lakukan ini termasuklah surat-surat teguran yang dihantar kepada syarikat atau agensi kerajaan yang melakukan kesalahan dalam apa juga jenis paparan yang ditujukan untuk umum. Selain iklan pihak DBP juga turut membuat pemantauan tulisan yang diterbitkan melalui majalah, surat khabar dan sebagainya. Untuk pengetahuan Sdr. juga DBP sering membantu pihak berkuasa tempatan untuk meluluskan sesuatu iklan yang ingin disiarkan atau yang hendak dinaikkan.Pendeknya setiap iklan yang menggunakan bahasa Melayu sebelum disiarkan hendaklah penggunaan bahasanya diluluskan oleh DBP sebelum lesen kebenaran iklan itu dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan Terima kasih. | Lain-lain | 14.09.2007 |