Apakah maksud 'conception' dalam konteks bidang Psikologi Perkembangan | Dalam bidang psikologi, konsepsi bermakna pengertian atau pemahaman atau tanggapan tentang sesuatu atau idea yang digarap dalam pemikiran manusia, yang kemudiannya diberi makna melalui lambang. | Makna | 09.07.2008 |
Apakah yang dimaksudkan sebagai mesej dan pandangan penulis dalam sesebuah karya sastera sama ada dalam sastera tradisional atau moden. Ada berapa jenis mesej dalam penulisan sastera. Bagaimana mebuat analisis pemikiran yang digarap oleh penulis sesebuah karya sastera. Siapakah sarjana dalam sastera | Mesej ialah pengajaran atau moral cerita yang merangkumi keseluruhan cerita tersebut kesan daripada pembacaan karya sastera atau kesan daripada menikmati serta menghayati karya sastera. Mesej atau pandangan penulis ini bergantung pada cerita atau karya tersebut, contohnya menghormati ibu bapa dan buat baik dibalas baik. Untuk lebih memahami tajuk ini kami cadangkan saudara merujuk buku Glosari Sastera dan Kamus Puisi, terbitan DBP serta buku Landasan Kreativiti, karya Othman Puteh, terbitan DBP. | Sastera | 01.07.2011 |
Apakah konsep sastera mengikut DBP? | Konsep kesusasteraan terlalu luas. Secara umumnya kesusasteraan ialah karya bertulis atau lisan yang dihasilkan dalam bentuk prosa atau puisi oleh sesebuah peradaban atau masyarakat. Kesusasteraan mengandungi nilai keindahan, kemanusiaan, falsafah, intelektual, emosi, unsur kerohanian, dan sebagainya yang digarap melalui bahasa. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang kesusasteraan, saudara dicadangkan supaya merujuk buku yang berikut , iaitu Citra Sastera oleh Sohaimi Abdul Aziz (DBP,2008), Konsep dan Pendekatan Sastera oleh Hamzah Hamdani (penyelenggara) (DBP,1988), Glosari Istilah Kesusasteraan (DBP,1988) dan Kamus Dewan Edisi Keempat (DBP,2007). | Lain-lain | 11.04.2008 |
boleh saya tau adakah DBP menerima novel dewasa (bertemakan cinta dan masyarakat), novel remaja, puisi dan sajak? Dan berapa muka surat yang sepatutnya untuk novel dewasa, novel remaja, puisi dan sajak? | Assalamualaikum, Untuk makluman tuan, DBP menerima karya dalam pelbagai genre dan tema termasuklah tema seperti yang tuan sebutkan itu. Walau bagaimanapun, karya hendaklah karya yang serius; bukan karya popular ataupun picisan. Tema cinta yang digarap secara biasa dan bersifat luaran/mudah mungkin tidak sesuai. Penulis dinasihatkan agar menggunakan pendekatan yang mampu mencabar minda pembaca. Untuk novel dewasa, panjang karya ialah antara 300 -500 halaman, Kumpulan/Antologi Cerpen, minimum 20 buah cerpen dengan ketebalan manuskrip antara 300-500 halaman, Kumpulan/Antologi Puisi, 120-150 buah puisi/sajak, dan untuk novel remaja pula ketebalannya ialah antara 120 hingga 250 halaman. | Lain-lain | 07.01.2013 |
Salam Sejahtera, Kami sedang dalam proses menghasilkan sebuah buku cerita yang mengumpulkan cerita-cerita daripada beberapa pelajar di sekolah PINTAR. Cerita-cerita dalam buku tersebut merupakan olahan pengalaman yang pernah dilalui oleh pelajar atau cerita teladan bertujuan untuk memberi inspirasi kepada para pelajar lain yang membacanya. Sasaran golongan pembaca adalah kanak-kanak dan remaja berusia 9-15 tahun. Kami bercadang untuk menerbitkan dua versi bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dan telah melantik dua orang pengarang untuk tujuan tersebut. Walaubagaimanapun, kami tidak mempunyai penasihat bahasa bagi cerita yang diolah dalam bahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, kami ingin mendapatkan khidmat semakan bahasa daripada DBP untuk menyemak cerita yang telah dikarang bagi memastikan tatabahasa dan olahan cerita digarap dengan baik agar objektif untuk memberi inspirasi kepada pembaca tercapai. Jadi boleh kami tahu dengan siapa kami boleh berhubung untuk perkara ini dan apakah langkah yang harus kami lakukan dalam mendapatkan khidmat semak bahasa oleh DBP. Kami boleh menghantar cerita contoh untuk dijadikan rujukan pihak DBP. | Khidmat nasihat bahasa tidak menyediakan perkhidmatan menyemak dokumen melebihi 100 patah perkataan. Walau bagaimanapun DBP boleh membantu saudara mengenal pasti pegawai yang boleh melaksanakan tugasan tersebut di luar waktu pejabat. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Puteri Aishah melalui e-mel aishah3@dbp.gov.my. | Lain-lain | 20.07.2012 |