Ayat seperti ini: Apa yang dapat dilakukannya adalah berdasarkan keupayaannya. Kata pemeri "adalah" sebelum perkataan "berdasarkan" dalam ayat ini boleh dikekalkan ataupun harus digugurkan? Jika digugurkan, ayat itu menjadi seperti berikut: Apa yang dapat dilakukannya berdasarkan keupayaannya. Adakah ayat ini akan menjadi ayat tergantung atau ayat yang janggal? | Kata pemeri adalah diikuti oleh kata adjektif atau kata sendi nama. Dalam contoh yang diberikan tidak perlu kata adalah dalam ayat tersebut kerana berdasarkan bukan kata adjektif atau kata sendi nama. | Tatabahasa | 26.12.2011 |
Bilakah penggunaan 'yang' boleh atau tidak boleh digugurkan di dalam suatu ayat? Sebagai contoh, di dalam ayat "Buku yang Sarah pinjam itu mahal harganya." Bolehkah 'yang' di dalam ayat ini digugurkan? | Dalam ayat tersebut, perkataan yang tidak boleh digugurkan kerana 'yang' berperanan sebagai kata hubung. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 01.07.2010 |
Adakah perkataan "sebagai" boleh digugurkan dalam ayat yang berikut: Model digital ini dapat dijadikan "sebagai" sumber visual yang menarik. | Perkataan sebagai dalam ayat di atas boleh digugurkan. | Tatabahasa | 07.12.2016 |
Adakah perkataan 'tahun' boleh digugurkan dalam penulisan seperti yang biasa kita temui dalam bahasa akhbar sekarang ini? Misalnya ayat berikut: Malaysia akan melaksanakan sepenuhnya rekod kesihatan secara elektronik (EMR system) pada tahun 2021. Bolehkah digugurkan perkataan 'tahun' dalam ayat ini? | Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua maksud tahun ialah jangka waktu (masa) yang lamanya dua belas bulan atau angka yang menyatakan tarikh. Maka perkataan tahun perlu digunakan supaya dapat menyatakan angka yang menyatakan tarikh. | Tatabahasa | 12.05.2019 |
Saya "yakin" atau "berkeyakinan" bahawa dia akan berjaya? Jika "bahawa" digugurkan, adakah ayat ini gramatis? Bolehkah "bahawa" ditukar menjadi "yang"? | 1. Ayat yang betul ialah "Saya berkeyakinan bahawa dia akan Berjaya". Jika perkataan bahawa digugurkan, ayat tersebut menjadi tidak gramatis. 2. Perkataan "bahawa" dalam ayat tersebut tidak boleh digantikan dengan perkataan "yang" kerana "yang" merupakan kata hubung relatif yang berfungsi untuk menghubungkan klausa utama dengan klausa kecil yang lain. Contoh: Saya membeli baju "yang" berwarna merah. | Tatabahasa | 14.10.2017 |
Kedai itu menjual pelbagai barang. Antaranya alat-alat tulis, majalah, buku rujukan dan lain-lain. Soalannya, bolehkah ialah digugurkan selepas antaranya? | Kata pemeri "ialah" tidak boleh digugurkan selepas antaranya. Ayat yang betul ialah: Antaranya ialah alat tulis, majalah, buku rujukan dan lain-lain. | Tatabahasa | 09.05.2012 |
Bilakah perkataan 'yang' tidak boleh digugurkan? | Kata "yang" ialah kata relatif yang berfungsi menghubungkan klausa utama dengan klausa kecil yang lain, seperti ayat "Budak yang sedang membaca itu adik saya", dalam ayat ini kata yang tidak boleh digugurkan. | Tatabahasa | 18.08.2010 |
Sebelum ini saya ada mengemukakan soalan tentang Ayat Aktif dengan Kata Kerja Transitif. Pihak DBP menjelaskan penggunaan objek dengan Kata Kerja Transitif boleh digugurkan sebagaimana ayat ini: Ayah sedang makan di dapur. Adakah terdapat keadaan-keadaan tertentu di mana penggunaan objek boleh digugurkan untuk Kata Kerja Transitif ? Terima Kasih. | Mengikut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 487,ada lagi segolongan ayat aktif transitif yang boleh digugurkan objeknya jika objeknya terdiri daripada orang pertama, sama ada berbentuk tunggal atau majmuk. Ayat yang demikian mengandungi kata kerja transitif yang memperoleh ciri adjektif, iaitu kata kerja itu boleh menerima kata penguat. Lazimnya kata dasar bagi kata kerja ini ialah kata adjektif. | Tatabahasa | 31.03.2008 |
Mengapakah perkataan 'oleh' boleh digugurkan dalam ayat pasif? Sebagai contoh, (Harimau itu ditembak Ali) | Untuk ayat pasif yang menggunakan kata kerja pasif di-, kata sendi nama oleh pada binaan oleh + FN yang letaknya selepas kata kerja boleh digugurkan tanpa menjejaskan makna atau struktur ayat. Contoh: Barang itu sudah diambil Ali semalam, sampah sarap dibakar ayah pada pagi tadi. Namun demikian, sekiranya binaan oleh + FN terletak jauh daripada kata kerja, maka oleh tidak boleh digugurkan. Contoh: Barang itu sudah diambil semalam oleh Ali, sampah sarap dibakar pagi tadi oleh ayah. | Tatabahasa | 01.06.2011 |
Assalamualaikum 1. Mengapa perkataan yang bermula dengan huruf konsonan f digugurkan apabila menerima imbuhan meN seperti faham menjadi memahami dan fikir menjadi memikirkan dan mengapakah konsonan ini tidak tergolong dalam kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k dan s yang digugurkan. | Dalam buku Tatabahasa Dewan, contoh berkenaan diterangkan di bawah tajuk Bentuk Awalan meN- tanpa menjelaskan alasan rumus tersebut ditetapkan sedemikian. Berdasarkan huraian dalam buku Tatabahasa Dewan bentuk tersebut terpakai bagi kata jati Melayu dan kata yang telah lama diserap masuk dan diterima sebagai kata Melayu. Contohnya faham, berubah menjadi memahami tetapi tidak bagi perkataan fitnah yang berubah menjadi memfitnah. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 152. | Tatabahasa | 30.04.2013 |