Penjelasan lebih lanjut tentang penggunaan kata ganti diri. 1. Adakah perkataan 'mereka' boleh digunakan untuk haiwan? 2. Adakah perkataan 'ia' boleh digunakan untuk haiwan? 3. 'Mereka' atau 'Mereka semua' yang sesuai untuk digunakan dalam ayat? Terima kasih | 1. “Mereka" ialah kata ganti diri manusia, tetapi tidak digunakan kepada haiwan. 2. “Ia” ialah kata ganti nama diri manusia dan boleh juga merujuk benda atau perkara yang dibicarakan, tetapi "ia" tidak digunakan kepada haiwan. 3. “Mereka semua” boleh digunakan kerana semua di sini menunjukkan keseluruhan, bukan bilangan. Kesesuaian perkataan “mereka” dan “mereka semua” digunakan mengikut konteks ayat. | Tatabahasa | 29.08.2018 |
Selamat sejahtera, Betulkan perkataan 'ianya' salah digunakan dan tidak boleh digunakan? | Kata ia ialah kata ganti nama diri ketiga (bagi laki-laki atau perempuan), dia (Kamus Dewan, 2007:556) Kata -nya juga merupakan kata ganti nama diri orang ketiga seperti beliau, dia (Kamus Dewan 2007:1087). Oleh itu, kedua-dua perkataan ini tidak boleh digabungkan kerana kedua-duanya ialah kata ganti nama diri ketiga. Penggunaan yang betul ialah ia bukan ianya. | Tatabahasa | 21.02.2020 |
Perkataan 'bila' digunakan dalam ayat tanya. Namun dalam ayat penyata yang menggunakan perkataan 'when' bagi bahasa Inggeris, adakah 'bila' boleh digunakan? Contoh ayat, 'I don't know when can I visit him.' Bolehkah 'entah bila' digunakan bagi ayat ini? Entah bila saya boleh melawatnya? Terima kasih. | Entah bila saya boleh melawatnya. Ayat tersebut boleh digunakan dengan menukarkannya menjadi ayat penyata. | Makna | 23.01.2019 |
Bolehkah perkataan katalis digunakan dalam bahasa melayu selain daripada pemangkin? | Menurut data kami, perkataan katalis kerap digunakan di Indonesia dan di Malaysia perkataan pemangkin yang kerap digunakan. | Lain-lain | 27.05.2019 |
Salam sejahtera, Apakah terjemahan yang sesuai bagi "personalization"? Frasa ini digunakan dalam bidang teknologi maklumat(banyak digunakan pada aplikasi telefon pintar). "personalization" pada suatu aplikasi bermaksud membolehkan pengguna menyesuaikan tetapan pada aplikasi mengikut cita rasa/keperluan mereka. Adakah "personalisasi" juga boleh digunakan untuk terjemah frasa itu walaupun dalam bidang berbeza? Contoh ayat: View personalization settings Sekiranya pihak tuan/puan mempunyai cadangan yang lebih baik, sila nyatakan. Mohon bantuan pihak DBP. Terima kasih. | Penggunaan personalisasi hanya ditemukan dalam bidang psikologi. Kamus Besar Indonesia ada menghuraikan maksud personalisasi, iaitu proses, cara, perbuatan mengubah atau memodifikasi sesuatu (telepon, komputer dan sebagainya) agar menunjukkan ciri personal tertentu. Jika bersesuaian dengan konteks penggunaan yang berkenaan perkataan personalisasi boleh digunakan. | Tatabahasa | 04.11.2018 |
Salam sejahtera, Adakah "Sigung" sesuai digunakan untuk terjemahan "Nudge"? Perkataan ini digunakan dalam tetapan aplikasi/perisian. Terima kasih. | Merujuk kepada Kamus Inggeris-Melayu Dewan maksud Nudge ialah menyiku, menyigung, menolak perlahan-lahan, menggerakkan, atau hampir mencecah. Perkataan Sigung tidak sesuai digunakan kerana memberi maksud menyigung menyentuh kuat-kuat atau menghentak dgn siku, menyiku, atau menyinggung. Sila berikan konsep yang digunakan dalam aplikasi tersebut supaya kami dapat memberikan padanan yang sesuai bagi aplikasi tersebut. | Makna | 29.07.2018 |
Bolehkah perkataan "dilokap" digunakan untuk membawa maksud "dipenjarakan"? Dalam laman sesawang PRPM, cuma wujudnya "melokap". | Perkataan"dilokap" tidak sesuai digunakan kerana tidak wujud dalam data PRPM. Perkataan yang sesuai digunakan ialah melokap yang membawa maksud mengurung dlalam lokap/mengurung (menahan) dalam lokap yang membawa maksud sama dengan dipenjarakan. | Makna | 14.04.2019 |
Saya difahamkan bahawa perkataan/istilah "IANYA" adalah tidak boleh digunakan. Kalau ini betul, istilah ini kini digunakan dengan meluas dalam hasil carian PRPM. Mohon pencerahan. Terima kasih. | Perkataan "ianya" tidak boleh digunakan kerana kata "ia" dan "nya" merupakan kata ganti nama diri orang ketiga dan tidak boleh disekalikan atau digabungkan penggunaannya. | Makna | 18.05.2019 |
Salam sejatera! Perlukah tanda noktah digunakan selepas kependekan seperti YAB/YB/YAM? Adakah tanda noktah cuma digunakan jika kependekan ini disusuli dengan nama/pangkat seseorang? Contoh: YAB. Dato' Seri XXX / YAB. Menteri Besar. Bagaimana pula jika kependekan ini digunakan begitu saja? Contoh ayat di dalam dialog: "Sejak dia digelar YB., makin menjadi betul perangai dia!" Sekian terima kasih. | Penggunaan singkatan yang betul ialah: (1) YAB (2) YB (3) YAM (4) YBhg. | Ejaan | 16.06.2020 |
Sesetengah guru bahasa Melayu mengatakan bahawa perkataan "terdapat" tidak sesuai digunakan untuk memulakan sesuatu ayat. adakah ia benar? | Perkataan "Terdapat" boleh digunakan di permulaan ayat dan kebiasaannya digunakan dalam bentuk pasif. | Tatabahasa | 08.06.2019 |