| Penggunaan 'dari', 'daripada', 'ke' dan 'kepada'. Apakah ayat yang betul bagi ayat ini? ''Setelah enjin dihidupkan, pam suapan akan menyedut bahan api dari tangki ke karburetor sepenuhnya". | -
Perkataan dari dan daripada ialah kata sendi nama yang letaknya di hadapan frasa nama. kata sendi nama 'dari' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu atau masa. Sementara kata sendi nama 'daripada' hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan atau benda, asal kejadian dan sumber atau unsur perbandingan atau perbezaan. -
Kata sendi nama "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh ayat: Sila kembalikan borang ini kepada kerani pejabat ini, peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan, keadaan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih baik. Kata sendi nama "ke" pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan tempat, arah atau masa dan ditulis terpisah contoh ke dalam sungai, ke tepi. -
Cadangan ayat ''Setelah enjin dihidupkan, pam suapan akan menyedut bahan api dari tangki ke karburetor sepenuhnya" adalah betul penggunaan tatabahasa. | Tatabahasa | 09.01.2020 |
| (Minta maaf tuan. WordPad untuk soal yang bertajuk "Ayat Tidak Waras - Dihidupkan Benda Ayat Tidak Hidup!" saya utus sekali lagi kerana kesalahan pengangkaan ayat. Ini rupa kedua soal saya.) Salam pemerjuangan bahasa Melayu, tuan. Adakah ayat seperti: (1) Makalah ini menghuraikan kepentingan bahasa Melayu di Kepulauan Melayu, waras pada akal? Benda ayat "makalah" bukan manusia, bagaimanakah makalah dapat berlaku seperti manusia yang menghuraikan sesuatu hal dengan mengarang? Yang dimaksudkan sebenarnya: (1) (a) Dalam makalah ini, dihuraikan kepentingan bahasa Melayu di Kepulauan Melayu. Penulis makalah tidak disebut dalam ayat. Untuk pemahaman lanjut, sila dalami isi WordPad yang telah saya karang. Minta tuan tahkikkan (sahkan) ayat-ayat teladan yang beserta ulasan. Jikalau ada kesilapan, mohon dianjurkan dan ditegur serta dibetulkan. | Lampiran yang disertakan tidak dapat dibuka. Sebelum tuan mengemukakan semula lampiran tersebut, mohon dipastikan tujuan penyemakan makalah. Kami bersedia menyemak bahagian makalah yang menimbulkan kekeliruan dari aspek bahasanya, tetapi tidak menyemak keseluruhan isi makalah termasuklah kandungannya. | Tatabahasa | 09.12.2016 |
| Salam. Apakah terjemahan yang disarankan bagi istilah bahasa Inggeris "golem"? Golem merupakan sesuatu makhluk mitos yang dihidupkan daripada bahan tidak hidup (lazimnya semula jadi, seperti tanah, logam, dsb.). Terima kasih. | Hasil carian melalui Google, perkataan 'Golem' digunakan dalam kebudayaan Yahudi dan masih belum ada dalam data kami. Sekiranya ingin menggunakan perkataan ini dalam penulisan, boleh diitalikkan perkataan Golem tersebut. | Makna | 22.11.2021 |
| apakah ayat bahasa melayu yang tepat untuk 'on lattop' / 'lattop menyala dengan sendiri' /automatic on ? | Untuk makluman tidak ada padanan bahasa Melayu yang khusus untuk on laptop dan automatic on. Walau bagaimanapun, istilah untuk laptop ialah komputer riba. Cadangan padanan bahasa Melayu ialah menghidupkan komputer riba dan dihidupkan secara automatik. Sila berikan maksud atau konsep sekiranya padanan yang dicadangkan tidak sesuai. | Istilah | 16.10.2012 |
| Assalamualaikum. Saya ingin mendapatkan kepastian tentang ayat berikut: Sila pindahkan fail ini daripada telefon kepada komputer anda. | Kata sendi nama "daripada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan unsur perbezaan atau perbandingan. Contoh: Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya. Kata sendi nama "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh ayat: Sila kembalikan borang ini kepada kerani pejabat ini. Pasangan kata sendi yang betul ialah: i. daripada dengan kepada contoh ayat: Tempoh masa untuk permohonan telah dikurangkan daripada 10 hari kepada 7 hari bekerja. ii. dari dengan ke contoh ayat: Setelah enjin dihidupkan, pam suapan akan menyedut bahan api dari tangki ke karburetor sepenuhnya. Berdasarkan contoh ayat yang diberikan, jawapan yang betul adalah seperti yang berikut: i. Sila pindahkan fail ini daripada telefon kepada komputer anda. | Tatabahasa | 04.02.2020 |