Cikgu, apakah beza antara "menyakiti" dengan "menyakitkan"? Adakah "menyakiti" mesti diikut objek orang dan objek hati, contohnya menyakiti Siew Meng dan menyakiti hati? Selain itu, mesti diikut oleh objek bahagian badankah "menyakitkan"? Contohnya: menyakitkan kaki saya. | Menyakiti bermaksud menyebabkan orang berasa sakit atau menjadikan sakit seperti dalam contoh ayat: Sebenarnya polis tidak boleh menyakiti orang-orang tahanan, Kata-katanya menyakiti hatiku. Manakala menyakitkan bermaksud menimbulkan rasa sakit atau mendatangkan sakit, contohnya: Hulu kikir yang bujur akan menyakitkan tangan ketika menggunakannya. Berdasarkan contoh ayat yang diberi, menyakiti - akibatnya kena pada seseorang, manakala menyakitkan - akibatnya kena pada sesuatu/benda. | Tatabahasa | 28.02.2015 |
Tuan, adakah ayat ini betul? Ayat: Dia memutuskan untuk tidur semula. Dilihat bahawa kata sendi nama "untuk" menjadi sisipan di antara kata kerja transitif "memutuskan" dengan frasa kerja "tidur semula". Pernah diingatkan dalam Tatabahasa Dewan bahawa kata kerja transitif perlu diikut terus oleh objek, tidak boleh diikut oleh sisipan seperti kata sendi nama. Jadi, bagaimanakah ayat di atas dibetulkan? | Dalam buku tatabahasa Dewan, halaman 403, frasa kerja boleh mengandungi binaan-binaan seperti berikut: (i) kata kerja transitif + objek (ii) kata kerja transitif + ayat komplemen (iii) kata bantu + kata kerja transitif + objek + keterangan (iv) kata bantu + kata kerja transitif +ayat komplemen + keterangan Daripada binaan tersebut, ayat "Dia memutuskan untuk tidur semula." adalah betul. ... untuk tidur semula merupakan ayat komplemen yang menggunakan kata hubung komplemen untuk. Kata hubung pancangan komplemen adalah terdiri daripada bahawa dan untuk. Sila rujuk halaman 253. | Tatabahasa | 20.03.2015 |
Tuan, frasa manakah yang betul: "memandang rendah rakan pasukan mereka" atau "memandang rendah TERHADAP rakan pasukan mereka"? Diperlukah kata sendi nama "terhadap", sedang kata "memandang" kata kerja transitif yang diikut lantas oleh objek "rakan pasukan mereka"? | Frasa yang betul ialah "memandang rendah terhadap rakan pasukan mereka". Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga halaman 281, ayat contoh 329. | Tatabahasa | 04.09.2015 |
Soalan 1: Yang manakah betul? "Dengan 3 langkah mudah" "Dalam 3 langkah mudah" Dengan atau Dalam, manakah yang lebih tepat? Soalan 2: Untuk aturan adjektif dalam BM, adakah terdapat susunan yang perlu diikut? contohnya adjektif berkaitan rupa, saiz, warna, pendapat, dan seterusnya? tolong berikan penerangan ringkas. | 1. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud "dengan" ialah "kata yg digunakan untuk menunjukkan cara sesuatu itu dilakukan" manakala "dalam" pula bermaksud yg "berkaitan dengan atau terbatas pada lingkungan sesuatu". Maka ayat yang lebih sesuai ialah "dengan tiga langkah mudah". 2. Kata adjektif juga dikenali sebagai kata sifat yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif. Kata adjektif dibahagikan kepada sembilan jenis, iaitu: i. Kata adjektif sifatan atau keadaan : baik, curiga, cerdik, lemah ii. Kata adjektif warna : merah, putih, ungu, kelabu iii. Kata adjektif ukuran : panjang, kecil, besar, tebal iv. Kata adjektif bentuk : bulat, leper, lurus, kempis v. Kata adjektif waktu : awal, cepat, segera, lampau vi. Kata adjektif jarak : jauh, dekat, hampir, rapat vii. Kata adjektif cara : laju, gopoh, jelas, perlahan viii. Kata adjektif perasaan : rindu,benci, suka, marah ix. Kata adjektif pancaindera : sedap, manis, payau, masin, kelat Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP,2014), halaman 225.
| Tatabahasa | 19.03.2024 |
Tuan, "berpengalaman dalam membuat lakaran wajah penjenayah" betul tak? Saya berpandangan frasa kerja ini harus dipinda kepada: "berpengalaman dalam pembuatan lakaran wajah penjenayah" ATAU "berpengalaman dalam pelakaran wajah penjenayah. Mengikut Tatabahasa Dewan, kata sendi nama "dalam" diikut oleh frasa nama yang abstrak, iaitu mempunyai lingkungan yang tidak ada jarak atau tidak ada ruang. Jadi, kata kerja "membuat" yang mengikut kata sendi nama "dalam" tidak sesuai digunakan dalam ayat ini kerana kata sendi nama "dalam" berada di hadapan frasa nama, bukan kata kerja. Oleh hal demikian, saya telah mengubah bentu kata kerja "membuat" kepada bentuk kata nama "pembuatan", atau bentuk kata nama "pelakaran" yang bermaksud hal melakar. Betulkah pembetulan saya? (Punca: Novel Hantu Gadis Opera, lembaran 20, terbitan Syarikat Pelangi) | Kami berpandangan ayat "berpengalaman dalam pelakaran wajah penjenayah", betul. Sila ambil contoh ayat daripada buku bahasa untuk berhujah atau memahamkan peraturan tatabahasa. Mengambil ayat daripada karya kreatif bukanlah langkah yang tepat kerana sebahagian karya kreatif tidak mematuhi seratus peratus peraturan tatabahasa. | Tatabahasa | 20.03.2015 |
Apakah maksud "Garis panduan dalam ayat ini?Garis panduan ini membantu pengurus membuat keputusan dan mengambil tindakan yang sewajarnya. | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud "Garis panduan" ialah "panduan atau petunjuk-petunjuk yang perlu diikut, dasar (ciri-ciri utama dsb) yang boleh dijadikan panduan atau pegangan. | Makna | 01.07.2022 |
Cikgu, cuba teliti dua ayat yang saya berikan dan minta cikgu nyatakan ayat yang betul. 1. Pelajar zaman sekarang terlalu leka dan alpa dalam melayari internet. 2. Pelajar zaman sekarang terlalu leka dan alpa dalam pelayaran internet. Pada pendapat saya, kata sendi nama "dalam" mesti diikut oleh frasa nama abstrak, jadi frasa "dalam pelayaran internet" lebih tepat, kerana kata nama "pelayaran" kata nama abstrak. "Pelayaran" bermaksud hal atau perbuatan melayari, maka "pelayaran internet" bermaksud hal atau perbuatan melayari internet. Minta cikgu tambahkan keterangan sebab kepada jawapan cikgu. | Kami berpandangan ayat yang gramatis ialah "Pelajar zaman sekarang terlalu leka dan alpa melayari internet".
| Tatabahasa | 03.03.2015 |
Perbezaan Garis Panduan / Dasar / Polisi dan susunan keutamaan. | 1. Makna garis panduan: (i) panduan atau petunjuk-petunjuk yg perlu diikut, dasar (ciri-ciri utama dsb.) yg boleh dijadikan panduan atau pegangan. 2. Makna dasar: (i) pertimbangan (cara, sistem, dll) yg pokok bkn sesuatu, asas, prinsip, teras; (ii) pendirian yg menjadi asas segala tindakan (sikap, keputusan, dll), polisi; (iii) yg menjadi bahagian (faktor) terpenting, asas, pokok. 3. Makna polisi (i) rancangan tindakan yg telah dipersetujui secara rasmi sbg asas untuk membuat atau melaksanakan sesuatu keputusan, dasar; (ii) dokumen yg mengandungi kontrak insurans. Daripada makna yang telah dihuraikan, maka sewajarnya susunan keutamaan ialah (i) DASAR; (ii) POLISI; dan (iii) GARIS PANDUAN. | Makna | 30.12.2016 |
Assalamualaikum. Saya ingin mendapatkan pengesahan daripada pihak tuan berhubung kependekan bagi perkataan 'halaman'. Jika merujuk Tatabahasa Dewan, edisi ke-3, kependekannya ialah 'hlm.', namun dalam Kamus Dewan, edisi ke-4, kependekannya pula 'hlm'. Persoalannya di sini ialah perlukah noktah (.) bagi 'hlm' itu, dan yang mana satukah yang perlu diikut? Terima kasih. | Penggunaan singkatan kata atau ungkapan perlu ada tanda titik. Singkatan perkataan lazimnya merujuk perkataan yang biasa digunakan dalam bentuk yang mudah dan diketahui umum seperti dll. untuk dan lain-lain, dsb untuk dan sebagainya, spt. untuk seperti dan hlm. untuk halaman. | Lain-lain | 27.08.2013 |
Ayat "Garis Panduan Pengeluaran Fatwa di Pulau Pinang". 1. Adakah perkataan "Garis Panduan" boleh digantikan dengan "Tatacara" atau "Amalan"? 2. Apakah perkataan yang paling sesuai digunakan dalam ayat tersebut di atas? | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, garis panduan bermaksud panduan atau petunjuk-petunjuk yg perlu diikut, dasar (ciri-ciri utama dsbnya.) yg boleh dijadikan panduan atau pegangan; Maksud Tatacara pula ialah: 1. adat istiadat; 2. adat resam; 3. cara dan peraturan, prosedur: ~ Manakala maksud amalan pula ialah: 1. sesuatu yg dilakukan (dilaksanakan, dikerjakan, dsbnya) sbg suatu kebiasaan; pd ~nya yg sebenarnya berlaku atau terdapat, pd praktiknya, pd kebiasaannya: pd ~nya, hanya sebuah parti politik dan sebuah kesatuan sekerja sahaja yg dibenarkan bergerak dlm. sesebuah ladang; 2. perbuatan baik, kebajikan; Berdasarkan maksud/makna perkataaan yang dinyatakan di atas, perkataan garis panduan dan tatacara boleh digunakan dalam ayat tuan tersebut. Namun begitu, perkataan yang lebih sesuai ialah garis panduan. | Lain-lain | 14.11.2018 |