Beliau telah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun. Dia telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun. Antara dua ayat di atas yang mana satu tepat? | Ayat yang lebih tepat ialah "Dia telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun". | Tatabahasa | 23.08.2015 |
saya ada satu kemuskilan: apakah perbezaan antara menjatuhi,menjatuhkan,dijatuhi dan dijatuhkan. Adakah ayat ini tepat:Apabila dia dijatuhi hukuman penjara,kaum keluarganya menangis teresak-esak.atau Apabila dia dijatuhkan hukuman penjara,kaum keluarganya menangis teresak-esak.Sekian | Saudara/ saudari, 'Apabila dia dijatuhkan hukuman penjara, kaum keluarganya menangis teresak-esak' adalah salah dan penggunaan yang betul ialah penggunaan perkataan dijatuhi. Apabila dia dijatuhi hukuman penjara,kaum keluarganya menangis teresak-esak. Apitan di-...-i ialah bentuk pasif meN-...-i yang menandakan lokatif, iaitu tempat berlakunya perbuatan - menjatuhi + objek (orang). Rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga halaman 207. Untuk pertanyaan perbezaan antara menjatuhi, menjatuhkan, dijatuhi dan dijatuhkan pula, saudara/saudari boleh merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat (hlmn. 613) bagi maklumat lanjut. | Tatabahasa | 05.08.2012 |
Tuan, saya kurang faham perbezaan antara penggunaan dijatuhi dan dijatuhkan. Bukankah di..i perlu diikuti dengan objek hidup? | Tuan perlu memahami konteks penggunaan menjatuhi dan menjatuhkan terlebih dahulu, barulah dapat memahami perbezaan konteks penggunaan dijatuhi dan dijatuhkan. Kata kerja aktif menjatuhi hendaklah diikuti dengan objek manusia, contoh Hakim menjatuhi pesalah hukuman penjara dua tahun; manakala kata kerja menjatuhkan diikuti dengan objek bukan manusia, contoh Hakim menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada pesalah. Dalam ayat pasif, konteks penggunaannya akan menjadi (dalam bentuk ayat) Pesalah dijatuhi oleh hakim hukuman penjara dua tahun dan Hukuman penjara dua tahun dijatuhkan kepada pesalah oleh hakim. | Tatabahasa | 18.05.2020 |
Bolehkah tuan terangkan penggunaan dan alasannya: 1a. dijatuhi 1b. dijatuhkan 2a. menjatuhi 2b. menjatuhkan 3a. tertarik oleh 3b. tertarik dengan 4a. membeli 4b. membelikan 5a. atau 5b. ataupun 6a. menghindari 6b. menghindarkan | 1. Perkataan "menjatuhi" diikuti objek bernyawa seperti Hakim menjatuhi pesalah hukuman gantung sampai mati, perkataan menjatuhkan diikuti objek tidak bernyawa seperti Hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada pesalah. Perkataan dijatuhi dan dijatuhkan ialah bentuk pasif perkataan menjatuhi dan menjatuhkan. Lihat contoh ayat pesalah dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan hukuman gantung sampai mati dijatuhkan kepada pesalah. 2. Frasa "tertarik oleh" dan "tertarik dengan", kedua-duanya sama maksud dan fungsinya. 3. Membeli bermaksud memperoleh barang dengan membayar, seperti "membeli kereta"; manakala membelikan bermaksud membeli untuk, seperti membelikan isterinya sebuah kereta. 4. Menghindari bermaksud menjauhkan diri daripada seperti ayat saya berusaha menghindarinya: dan menghindarkan bermaksud mengelakkan daripada seperti ayat Undang-undang telah digubal utk menghindarkan perbuatan rasuah. | Makna | 29.09.2014 |
tuan 1. ada pihak yang menganggap bahawa hukuman yang dijatuhkan kepadanya tidak setimpal dengan kesalahannya. (kepadanya adalah salah..adakah ini betu? 2. bahagian hadapan rumah itu remuk apabila dirempuh oleh bas. ( tuan, bolehkah remuk digunakan ? kalau tak bboleh, apakah kosa kata yang sesuai dignakan?) 3. Majlis sebulat-bulat suara membuat keputusan untuk membantah cadangan kerajaan itu.( sebulat-bulat adalah salah..tuan, mengapa?) 4. mereka kurang senang dengan peraturan baharu yang diputuskan oleh pihak berkuasa tempatan. ( diputuskan adalah salah, tuan...mengapa?) 5. sasterawan itu tidak hadir ke majlis pemberian anugerah itu kerana dia sakit. ( tuan, pemberian adalah salah..mengapa?) 6. tuan.. terima kasih bersungguh-sungguh atas bantuan tuan kepada saya. | 1. Ada pihak yang menganggap bahawa hukuman yang dijatuhkan tidak setimpal dengan kesalahannya. - ayat yang lengkap ialah ... dijatuhkan oleh hakim ... (ayat pasif kepada ... hakim menjatuhkan ... 2. Bahagian hadapan rumah itu roboh/rosak teruk/musnah apabila dirempuh oleh bas. - remuk bermaksud hancur berkecai seperti kaca 3. Majlis sebulat suara membuat keputusan untuk membantah cadangan kerajaan itu. - bulat-bulat bermaksud berbentuk bulat 4. Mereka kurang senang dengan peraturan baharu yang diputuskan oleh pihak berkuasa tempatan. - peraturan yang ditetapkan (bukan diputuskan) 5. Sasterawan itu tidak hadir ke majlis penganugerahan itu kerana dia sakit. - penganugerahan bermaksud penyampaian atau pemberian anugerah, manakala pemberian bermaksud penyampaian hadiah (bukan anugerah) | Tatabahasa | 11.04.2011 |
Apa kesalahan ayat berikut? 1. Turut menghadiri majlis itu ialah para pemimpin dari negara asing. 2.Pesalah itu dijatuhkan hukuman penjara kerana kes pengedaran dadah. | 1. Turut menghadiri majlis itu ialah para pemimpin dari negara asing. - ayat ini betul 2. Pesalah itu dijatuhkan hukuman penjara kerana kes pengedaran dadah. - salah dan penggunaan yang betul ialah dijatuhi. Apitan di-...-i ialah bentuk pasif meN-...-i yang menandakan lokatif, iaitu tempat berlakunya perbuatan - menjatuhi + objek (orang). Rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 207. | Tatabahasa | 24.06.2011 |
Mana yang betul? Tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 3 tahun atau tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama 3 tahun. | Salam sejahtera, Ayat yang betul ialah "Tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 3 tahun." Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 07.03.2018 |
daijatuhkan hukuman atau dijatuhi | Sila berikan ayat lengkap. Ayat "Pesalah itu dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh hakim kerana mengedar dadah" salah dan yang betul ialah "Pesalah itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh hakim kerana mengedar dadah". | Tatabahasa | 05.03.2010 |
penggunaan imbuhan 'memper' tidak 'consistent' antara guru-guru dan penulis buku bahasa seperti memperoleh,memperkaya dll. Perlukah akhiran 'kan' dan 'i' dijatuhkan jika imbuhan 'memper' digunakan?b | Awalan memper- dapat bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan kata tugas. Contohnya, memperalat, memperluas dan memperoleh. Hanya terdapat dua pengertian khusus yang timbul melalui penggunaan apitan memper-...kan dengan kata dasar, iaitu 'yang membawa pengertian kausatif (menjadikan atau menyebabkan)' seperti mempertemukan; dan 'yang membawa pengertian menyebabkan orang lain melakukan perbuatan' seperti memperdengarkan. Sila rujuk Tatabahasa Dewan halaman 170. | Tatabahasa | 03.03.2007 |
Imbuhan me - i hanya digunakan untuk orang yang menjadi penyambutnya seperti menghadiahi ibu dsb. Bagaimana pula dengan di - i dan di - kan. Contoh : i) Penjenayah itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati. ii)Penjenayah itu dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Adakah kedua-dua bentuk ayat tersebut betul atau salah satu sahaja yang betul? | Sdr. Suhaimi, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Kedua-dua ayat tersebut betul penggunaannya. Ayat yang sama juga dapat dilihat pada ayat yang berikut. Ahmad menaiki tangga dan Ahmad menaikkan tangga. Terima kasih. | Tatabahasa | 24.06.2009 |