| Kata ‘juru’ dikategorikan sebagai imbuhan atau akar kata (golongan kata nama)? | - Dalam bahasa Melayu, awalan juru- berfungsi sebagai awalan kata nama. Awalan juru- membawa makna ahli atau orang yang terlibat secara langsung dengan maksud pekerjaan dalam kata dasar dan boleh bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata nama, kata kerja dan akar kata. Contohnya:
- Juru- + kata nama
- Juru- + bahasa – jurubahasa
- Untuk makluman lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 116.
| Tatabahasa | 08.02.2026 |
| Adakah kuetiaw dikategorikan sebagai kata pinjaman atau bentuk bebas? | “Kuetiau” merupakan kata pinjaman daripada bahasa Cina. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 1180 dan Kamus Dewan Edisi Keempat (DBP, 2015) halaman 841. | Tatabahasa | 12.09.2024 |
| Adakah hokkien dikategorikan sebagai bahasa atau dialek. Contoh ayat, Tertuduh XX membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dalam ........Hokkien di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk XX Terima kasih. | Hokkien merujuk kepada dialek yang dituturkan oleh suku kaum Hokkien. Oleh itu, ayat yang betul ialah “Tertuduh Amiruddin bin Ali membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam dialek Hokkien di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hamdan”. Sila rujuk buku Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 782. | Lain-lain | 07.08.2024 |
| "Syurga itu di bawah telapak kaki ibu' dikategorikan sebagai apa ya? Bolehkan dikategorikan sebagai peribahasa? Terima kasih. | Ungkapan 'Syurga itu di bawah telapak kaki ibu' bukan peribahasa Melayu. Ungkapan ini merupakan kata hikmat yang sering digunakan sebagai tajuk karya, cerita dan sebagainya. | Lain-lain | 02.02.2011 |
| 1.Pangilan Tuan Haji / hajjah dikategorikan kurniaan,warisan atau iktisas? TQVM | tuan haji atau hajah boleh dikategorikan sebagai gelaran. | Tatabahasa | 18.09.2011 |
| Adakah "rempat" dan "rungut" dikategorikan sebagai kata akar? | “Rempat” dan “Rungut” dikategorikan sebagai kata akar. Untuk makluman lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 1850 dan 1915. | Tatabahasa | 02.07.2025 |
| Adakah ungkapan monolog berasingan (bukan dalam drama) boleh dikategorikan sebagai sebahagian dari bentuk puisi? | Salam sejahtera, Monolog berasingan dikategorikan sebagai sebahagian dari bentuk puisi. Monolog atau ekacakap antara teknik penceritaan yang digunakan oleh penulis untuk menyampaikan pemikiran atau persoalan dalam karya kreatif. Monolog ialah pertuturan yang dilakukan seseorang (watak) yang ditujukan kepada dirinya sendiri dan secara tidak langsung ditujukan kepada pembaca atau pendengar (drama). Oleh itu, jika bentuk monolog itu ditulis dalam sesebuah puisi, ia tetap dianggap sebahagian daripada puisi tersebut. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 04.07.2021 |
| Adakah mengada-adakan dikategorikan sebagai kata terbitan walaupun dalam bentuk kata ganda? | Kata “mengada-adakan” merupakan bentuk kata ganda dan boleh juga dikategorikan sebagai kata terbitan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 67 - 72 (Bentuk Kata Terbitan) dan halaman 76 - 79 (Bentuk Kata Ganda). | Tatabahasa | 22.02.2025 |
| Kenapakah "kayu-kayan" dikategorikan sebagai kata ganda berentak pengulangan konsonan sedangkan tiada huruf konsonan "n" pada perkataan "kayu"? Bagaimanakah boleh timbul huruf konsonan "n" pada perkataan "kayan"? Kenapakah "sayur-mayur" pula dikategorikan sebagai kata ganda berentak pengulangan vokal sahaja? Apakah "sayur-mayur" tidak boleh menjadi kata ganda berentak pengulangan konsonan disebabkan oleh huruf konsonan "y" dan "r" seperti "kayu-kayan"? Adakah huruf konsonan "m" bagi "mayur" dan huruf konsonan "n" bagi "kayan" hanya untuk menyedapkan bunyi pasangan kata ganda masing-masing? | Penggandaan berentak vokal ialah penggandaan yang mengulang ciri-ciri persamaan pada bunyi-bunyi vokal tertentu. Sayur-mayur, pengulangan vokal a dan u, dan bukannya pengulangan pada huruf konsonan. Penggandaan konsonan ialah penggandaan yang mengulangi ciri-ciri persamaan pada bunyi-bunyi konsonan tertentu. Kayu-kayan, pengulangan konsonan k dan y. Kata ganda tersebut telah diterima seperti demikian, dan tidak ada fakta tentang penyuaipadanan huruf dalam kata ganda. | Tatabahasa | 06.11.2014 |
| setiap bahasa mempunyai bahasa standard dan bahasa pasar.bagi bahasa melayu,adakah 'aku' dikategorikan sebagai bahasa standard? | Kata 'aku' ini boleh dikategorikan sebagai bahasa standard kerana kata 'aku' tergolong dalam kata ganti diri nama pertama. Walau bagaimanapun, kata ini tidak digunakan dalam majlis rasmi seperti kata 'saya'. Namun lafaz niat dalam agama, kita selalu menggunakan kata 'aku'. | Istilah | 01.09.2006 |