Membangunkan semula kawasan yang dilanda banjir itu ATAU membangunkan kawasan yang dilanda banjir itu semula. Maksud saya kekeliruan ini timbul daripada pendapat yang mengatakan kata kerja transitif mesti diikuti oleh objek/frasa nama dan tidak boleh diikuti oleh kata sendi nama /kata yang lain. Contohnya: 1. "Mengumumkan kepada ibu bapa perkara itu" dikatakan salah, yang betulnya ialah 'Mengumumkan perkara itu kepada ibu bapa". 2. RTM Menayangkan semula filem-filem P Ramlee, sepatutnya RTM menayangkan filem-filem PR semula. Menyerahkan kepada Ali buku itu @ Menyerahkan buku itu kepada Ali. Mohon penjelasan. Terima kasih | Seperti yang tuan ketahui kata kerja transitif mesti diikuti dengan objek. Dalam contoh yang diberikan ayat yang betul ialah "membangunkan kawasan yang dilanda banjir itu semula" dan "mengumumkan perkara itu kepada ibu bapa". Walau bagaimanapun kita sering juga mendengar ayat tersebut dalam susunan yang kurang tepat seperti "membangunkan semula kawasan yang dilanda banjir itu" dan "mengumumkan kepada ibu bapa perkara itu". Oleh itu, hendaklah kita membiasakan penggunaan yang betul agar penggunaan tersebut menjadi ikutan kepada orang lain. | Tatabahasa | 30.04.2012 |
kami bergotong-royong membina rumah Pak Ramli semula yang musnah dilanda ribut. Ayat pasifnya bagaimana? | Kami bergotong-royong membina semula rumah Pak Ramli yang musnah dilanda ribut. Rumah Pak Ramli yang musnah dilanda ribut kami bina semula bergotong-royong. | Tatabahasa | 17.11.2016 |
Salam, saya dilanda masalah dengan pilihan jawapan bagi soalan berikut (isi tempat kosong) : Zulaikha merupakan seorang murid yang pintar di sekolahnya. Dia sangat (rajin / tekun) belajar. Dia akan sentiasa menumpukan perhatian semasa guru mengajar. Dia juga (rajin / tekun) mengulang kaji pelajaran. Diharap tuan / puan dapat memberi saya tunjuk ajar. Terima kasih. | Dia sangat rajin/tekun belajar. Dia akan sentiasa menumpukan perhatian semasa guru mengajar. Dia juga rajin/tekun mengulang kaji pelajaran. - kedua-dua kata, iaitu rajin dan tekun boleh menjadi pilihan jawaban bagi ayat tersebut. | Tatabahasa | 29.10.2010 |
Mohon penjelasan bagi ayat yang berikut 1. Tahniah kerana anda hadir ke / di sekolah 2. Laluan sekolah selamat ATAU laluan selamat sekolah 3. Membangunkan semula kawasan yang dilanda banjir itu ATAU membangunkan kawasan yang dilanda banjir itu semula | 1. Tahniah kerana anda hadir di sekolah, penggunaan sendi nama "di" merujuk pelajar telah sampai di sekolah. 2. Laluan selamat sekolah kerana yang diutamakan ialah laluan selamat di ikuti lokasinya, iaitu sekolah. 3. Membangunkan semula kawasan yang dilanda banjir itu kerana bermaksud mengulangi perbuatan "membangunkan". | Tatabahasa | 26.04.2012 |
Assalamualaikum, saya ingin bertanya apakah justifikasi bagi penggunaan frasa 'dipukul ribut'? Adakah ayat akan lebih gramatis jika menggunakan 'dilanda ribut/badai' atau 'dipukul ribut' juga dibenarkan? | Untuk makluman, sama ada frasa dipukul ribu atau dilanda ribut/badai, kedua-duanya boleh digunakan kerana membawa makna yang sama. Tidak ada masalah dari sudut gramatis atau sebaliknya. | Lain-lain | 21.02.2017 |
Abang memeluk adik semasa sampan yang kami naiki itu terumbang-ambing dilanda ombak. A. erat-erat C. rapat-rapat B. ketat-ketat D. dekat-dekat Munsyi, erat-erat atau rapat-rapat sesuai digunakan? | Abang memeluk adik erat-erat semasa sampan yang kami naiki itu terumbang-ambing dilanda ombak. | Tatabahasa | 16.07.2012 |
Salam, bolehkah saya dapatkan jawapan untuk soalan ini? Gabungkan ayat-ayat tunggal menjadi ayat majmuk I) Penduduk di Kampung Sejahtera menyedari sesuatu. Kampung mereka dilanda banjir. | Jawapan yang betul ialah Penduduk di Kampung Sejahtera menyedari kampung mereka dilanda banjir. | Tatabahasa | 16.05.2017 |
Encik, Adakah penggunaan perkataan 'semula' dalam ayat di bawah ini salah? Penduduk kampung bergotong-royong membina semula rumah Pak Mat yang dilanda ribut. Adakah selepas kata kerja transitif 'membina' mesti diikuti objek 'rumah'? Jika salah, sila berikan ayat yang betul dan alasan. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah = Penduduk kampung bergotong-royong membina rumah Pak Mat semula yang dilanda ribut. Perkataan "membina" ialah kata kerja aktif transitif, maka harus menerima penyambut sesudahnya, yang disebut objek. Dalam ayat ini objeknya ialah "rumah Pak Mat". Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 18.06.2008 |
ZON BEBAS BANJIR adakah betul penggunaan ayat diatas untuk memberitahu kepada umum kawasan tersebut adalah kawasan yang tidak dilanda banjir. ini adalah untuk digunakan didalam flyers. terima kasih | Penggunaan ayat ZON BEBAS BANJIR adalah betul | Tatabahasa | 20.04.2017 |
Sila gantikan perkataan yang berada dalam kurungan dengan perkataan yang betul dan tepat. (a) (Hidup) petani di kampung itu sangat susah sejak dilanda kemarau. (b) Nenek sedang (hidup) api dapurnya untuk memasak nasi. (c) Pandangannya menjadi (lemah) apabila menjelang malam. (d) Renungan matanya yang (halus) itu menakutkan kami. (e) Bunyi air yang menitik di atas bumbung zink itu membelah (sunyi) malam. | Untuk makluman tuan, kami menyediakan perkhidmatan bagi membantu pelanggan menangani permasalahan bahasa seperti ejaan, istilah dan tatabahasa. Contohnya, kekeliruan tentang ejaan yang betul, penggunaan istilah yang tepat bagi sesuatu terminologi dan permasalahan tentang tatabahasa. Kami dapati pertanyaan tuan bukanlah berkisar tentang permasalahan yang tersebut, tetapi lebih kepada memberikan jawapan kepada soalan yang dibekalkan seperti lazimnya soalan peperiksaan dan buku rujukan. Kami tidak menyediakan perkhidmatan memberikan jawapan kepada soalan yang dibina; sebaliknya pihak tuan perlulah merujuk kamus dan buku tatabahasa, atau berbincang dengan panel penggubal soalan yang lain. Jika ada pertikaian tentang sesuatu isu tatabahasa yang menjadi jawapan kepada soalan tersebut, seperti "menemukan mayat atau menemui mayat", tuan boleh menghubungi pihak kami semula. | Lain-lain | 08.12.2015 |