1. Manakah yg betul? i. Apa pun yang dimakannya, dia tetap kurus. ii. Apa-apa pun yang dimakannya, dia tetap kurus. 2. Apakah maksud 'telejariah' ? Terima Kasih. | 1. Kedua-duanya betul. 2. "Telejariah" merupakan istilah khusus yang digunakan oleh mana-mana institusi kewangan Islam untuk menawarkan khidmat beramal jariah melalui telefon.
| Lain-lain | 20.08.2009 |
Ayah meluahkanK semula kuih yang dimakannya kerana terlalu manis sangat. MUNSYI, TERLALU MANIS SANGAT ADAKAH SALAH GRAMATIS? | Frasa yang betul ialah "terlalu manis" atau "manis sangat". | Tatabahasa | 15.04.2012 |
Salam sejahtera. Kemusykilan (ayat pasif) - Ayat yang manakah betul? 1a) Ikan itu dimakan olehnya. b) Ikan itu dimakannya. 2a) Ayam itu dilulur ular. b) Ayam itu dilulur oleh ular. Terima kasih. | Kesemua ayat pasif tersebut adalah betul. Untuk ayat pasif yang menggunakan kata kerja pasif di-, kata sendi nama oleh dalam ayat tersebut yang letaknya selepas kata kerja boleh digugurkan tanpa menjejaskan makna atau struktur ayat. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 490. | Tatabahasa | 25.08.2011 |
Adakah ayat-ayat yang berikut betul? Jika salah, bagaimanakah ayat itu perlu dibina? 1. Berapakah biji epal dia makan? 2. Berapa biji epalkah dimakannya? 3. Buku itu ditulis olehnya. 4. Buku itu ditulisnya. 5. Buku itu ditulis oleh dia. 6. Berapakah lama dia mandi? 7. Berapa lamakah dia mandi? 8. Bukit manakah yang didakinya? 9. Bukit yang manakah didakinya? 10. Apakah yang dibawa Ali? 11. Ali yang membawa beg. 12. Ali membawa beg. 13.Cikgu menulis di atas papan hitam. 14. Cikgu menulis pada papan hitam. | Ayat yang betul ialah ayat 1, 3, 4, 5, 7, 8, 9, 11, 12, 14. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Ediis Ketiga, halaman 441 bagi membantu saudara memahami aspek ayat tanya. | Tatabahasa | 11.03.2010 |
1. air sangat berguna kepada manusia. atau untuk manusia. 2. mereka sedang menepuk tangan sambil menyanyi atau bertepuk tangan sambil menanyi. 3. gantinama "nya" boleh digunakan untuk bukan manusia contoh anjing itu sedang makan daging itu. daging yang dimakannya itu sangat besar. dia membeli banyak barang antaranya ialah ...... . Terima kasih | 1. Yang paling tepat ialah "air sangat berguna kepada manusia". 2. Yang paling tepat ialah "mereka bertepuk tangan sambil menyanyi". 3. Nya ialah kata ganti nama diri orang ketiga, oleh itu tidak boleh digunakan untuk bukan manusia. Walau bagaimanapun nya juga bermaksud oleh, iaitu yang tersebut terlebih dahulu. | Tatabahasa | 10.10.2009 |
Salam sejahtera..terlebih dahulu terima kasih atas jawapan-jawapan yang telah pihak DBP berikan terhadap persoalan-persoalan yang pernah saya kemukakan sebelum ini. Soalan saya mengenai golongan kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif yang tidak mempunyai imbuhan. Adakah perkataan "makan" dan "minum" golongan kata kerja transitif? contohnya: i.Dia minum.(Bolehkah ayat ini dipasifkan) ii. Dia minum air. iii. Dia minum di kantin. iii. Air diminumnya. (Adakah diminum bentuk pasif?) i.Dia makan.(Bolehkah ayat ini dipasifkan) ii. Dia makan roti. iii. Dia makan di kafeteria. iv. Roti dimakannya. (Adakah dimakan itu pasif) | Makan dan minum adalah kata kerja transitif. Ayat yang gramatis ialah 'Dia minum air' dan 'Dia makan nasi', kedua-dua ayat ini boleh dipasifkan. Dalam buku Tatabahasa Dewan, diterangkan ada tiga bentuk ayat pasif, yang lazim diketahui ialah ayat pasif dengan imbuhan kata kerja pasif 'di' dan 'ke' (lihat halaman 489). Jika ayat aktif boleh diikuti oleh keterangan, begitulah juga dengan ayat pasif, contohnya: Dia minum air di kantin (aktif) boleh diubah menjadi Air diminum olehnya di kantin (pasif), contoh yang lain Dia makan roti di kafetaria (aktif), boleh diubah menjadi Roti dimakan olehnya di kafetaria (pasif). | Tatabahasa | 17.02.2011 |