Salam tuan di talian. Saya ingin mendapatkan cadangan tentang sebuah siri buku di syarikat kami yang kami ingin namakan sebagai 'i dinamik'. Apakah ejaan yang paling sesuai yang boleh ditulis untuk tajuk itu sama ada I-Dinamik, i-Dinamik, I Dinamik atau ada cadangan lain daripada pihak tuan. Sekian, terima kasih. | Ejaan yang betul ialah i-Dinamik atau i-dinamik bergantung pada konteks yang digunakan. | Ejaan | 16.07.2012 |
1. Dinamik dan Kompetitif 2. Dinamik dan Berdaya Saing 3. Dinamik Memacu Keunggulan yang Kompetitif 4. Dinamik Memacu Keunggulan yang Berdaya Saing Antara no. 1 dengan 2 yang mana lebih tepat dan sesuai. Antara no. 3 dengan 4 yang mana lebih tepat dan sesuai. Terima kasih. | Kesemua ayat di atas adalah betul. Walau bagaimanapun, penggunaan yang sesuai dan tepat perlulah dilihat dari segi konsep penulisan puan. | Istilah | 12.10.2019 |
perkataan berlawanan dengan dinamik? | Dinamik bermaksud bertenaga dan berkekuatan serta mampu membuat penyesuaian serta menerbitkan pembaharuan dan kemajuan, perkataan berlawanan yang hampir dgn dinamik ialah pasif (walau bagaimanapun perkataan berlawanan yg paling tepat bagi pasif ialah aktif) | Lain-lain | 02.08.2007 |
Merujuk Khidmat Nasihat DBP, 'Dynamic Equivalence' diterjemahkan sebagai Kesepadanan Dinamik. Mengapa bukan 'Kesetaraan Dinamik' seperti mana yang terakam dalam terjemahan PRPM?. Bagaimana pula terjemahan bagi istilah 'Formal Correspondence' dalam 'Theory of Formal Correspondence and Dynamic Equivalence Nida' adakah Kesepadanan Formal? Terima Kasih. | Menurut Kamus Inggeris-Melayu Dewan, maksud 'equivalence' ialah kesamaan atau kesetaraan, maka terjemahan yang sesuai bagi 'Dynamic Equivalence' ialah kesetaraan dinamik atau kesamaan dinamik. Bagi maksud 'correspondence' ialah kecocokan atau persamaan, maka terjemahan yang sesuai bagi 'Formal Correspondence' ialah persamaan formal | Makna | 05.07.2020 |
"Dinamik Melonjakkan Keunggulan Kompetitif" Gramatis dan sesuai atau tidak slogan ini. Terima kasih. | Ayat yang lebih sesuai ialah "Kedinamikan Memacu Keunggulan" atau "Kedinamikan dan Kompetitif Memacu Keunggulan" Perkataan melonjakkan adalah kurang sesuai kerana membawa maksud seperti yang berikut: melonjak: 1. melompat ke atas (dgn keduadua belah kaki) utk mencapai sesuatu: ia ~ hendak memetik buah itu; 2. melambung (bola dll): raksa dlm buli-buli itu akan mengembang dan ~ keluar ke dlm batang jangka suhu; 3. ki bercakap sombong, menyombong; cakap ~ cakap besar (meninggi); 4. ki bertambah (tinggi dll): pd masa kekasihnya tiba itu perasaan gembiranya ~; melompat naik, meningkat naik dgn tiba-tiba (harga dll): harga getah ~ naik kerana bekalan getah sangat kurang; dr kerani dia ~ jadi pegawai daerah; harap hendak ~, kopiah pesuk prb kerana hendak hidup mewah habis terjual harta benda; (Kamus Dewan Edisi Keempat) | Tatabahasa | 12.10.2019 |
Merujuk kepada No. Pendaftaran 6450/2012. Tajuk Permohonan Kilang Percetakan Dinamik Erajaya Sdn Bhd Co. No. 882076-H dari Syarikat Dinamik Erajaya Sdn Bhd. Bertarikh 10/05/2012 dan status tidak lulus. Boleh bagi tahu dengan lebih jelas bahagian mana yang perlu diperbetulkan. Kerjasama pihak tuan amat kami hargai. Terima kasih. | Kami telah merujuk iklan yang dihantar. Sila tukar perkataan PERCETAKAN kepada PENCETAKAN. | Lain-lain | 10.05.2012 |
Kami ingin menubuhkan sebuah pusat tuisyen menggunakkan nama tersebut "Pusat Tuisyen Linguistik Dinamik" dan "Pusat Tuisyen Studio Linguistik." Dalam garis panduan penubuhan di nyatakan bahawa kita mesti mengguna Bahasa Kebangsaan semata-matanya. Sila beri maklum balas jikalau nama tersebut menepati syarat tersebut. Sekian, terima kasih. | Sekiranya pusat tuisyen ini mengajar perkara berkaitan bahasa, nama Pusat Tuisyen Linguistik Dinamik boleh digunakan. Nama "Pusat Tuisyen Studio Linguistik" tidak boleh digunakan kerana perkataan "Studio" tidak sesuai digunakan dalam konteks ini dan tidak mempunyai maksud yang jelas. | Lain-lain | 04.09.2013 |
Kesesuaian ayat ini: i) Bagi memperkukuhkan imej dan status quo Majlis Bandaraya Alor Setar sebagai Pihak Berkuasa Tempatan yang dinamik dan berkaliber. ii) memerlukan perancangan rapid | Tukar kepada: i) Memperkukuh imej dan status quo Majlis Bandaraya Alor Setar sebagai Pihak Berkuasa Tempatan yang dinamik dan stabil ii) Memerlukan perancangan yang rapi | Lain-lain | 11.09.2017 |
Betulkah soalan berikut: 1.Kebanyakkan peseta SUKMA 2014 menginap di Kampus UiTM,Arau. 2.Program bacaan dinamik akan diadakan di dalam bulan Oktober. 3.Dia berambut kerinting. 4.Aidil yakin bahawa dia dapat memperdalami ilmu perakaunan yang telah dipelajari ketika di sekolah. | Ayat yang betul adalah seperti yang berikut: 1.Kebanyakan peserta SUKMA 2014 menginap di Kampus UiTM Arau. 2.Program bacaan dinamik akan diadakan pada bulan Oktober. 3.Dia berambut keriting. 4.Aidil yakin bahawa dia dapat mendalami ilmu perakaunan yang telah dipelajari ketika di sekolah. | Tatabahasa | 07.10.2014 |
berikan maksud secara terperinci bahasa itu bersifat dinamis? | Maklumat terperinci tentang tajuk "bahasa itu bersifat dinamik" tidak ada dalam pangkalan data kami. Maklumat terperinci hanya diperoleh melalui pembacaan yang banyak dan kajian yang mendalam tentang tajuk tersebut. Bagi membantu saudara mencari maklumat yang diperlukan, beberapa artikel/buku kami cadangkan, iaitu: Bahasa tidak dinamis akan pupus, Johan Jaffar, Utusan Malaysia, 12/08/2004; Fungsi Dinamik Bahasa Melayu, Asiah Idris, Jurnal Dewan Bahasa, Mei 1995 dan Peranan bahasa Melayu dalam pembinaan tamadun tinggi, Abd. Rahman Yaakub, 2004. | Lain-lain | 09.07.2011 |