| Tuan/Puan, Mohon pencerahan tentang ayat manakah yang betul untuk penggunaan dari/daripada: 1a) Dokumen tersebut telah dipadamkan daripada Google Drive dan semua peranti anda. 1b) Dokumen tersebut telah dipadamkan dari Google Drive dan semua peranti anda. 2a) Item yang disimpan dalam Google Photos akan dikeluarkan daripada semua peranti anda. 2b) Item yang disimpan dalam Google Photos akan dikeluarkan dari semua peranti anda. 3a) Terima pemberitahuan daripada app Google Cloud. 3b) Terima pemberitahuan dari app Google Cloud. 4a) Muat turun app ini daripada PlayStore. 4b) Muat turun app ini dari PlayStore. Adakah Google Drive, Google Cloud, Google Photos, PlayStore dan peranti pintar merujuk kepada tempat? Terima kasih kerana membantu. | Google Drive, Google Cloud, Google Photos, PlayStore dan peranti pintar ialah perkhidmatan, sistem, aplikasi dan peranti. Ayat yang betul ialah: 1. Dokumen tersebut telah dipadamkan dalam Google Drive dan semua peranti anda. 2. Item yang disimpan dalam Google Photos akan dikeluarkan daripada semua peranti anda. 3. Terima pemberitahuan daripada aplikasi Google Cloud. 4. Muat turun aplikasi ini melalui PlayStore. | Tatabahasa | 17.05.2023 |
| Konsep ayat aktif kepada ayat pasif. Soalan : Pihak bomba telah berjaya memadamkan kebakaran di rumah itu. Jawapan yang manakah paling tepat? Jawapan 1 : Kebakaran di rumah itu telah berjaya dipadamkan oleh pihak bomba. Jawapan 2 : Kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh pihak bomba di rumah itu. | Jawapan yang lebih tepat ialah "Kebakaran di rumah itu telah berjaya dipadamkan oleh pihak bomba" | Tatabahasa | 23.02.2023 |
| Salam sejahtera Soalan saya: Apakah perbezaan antara "dipadam" dan "dipadamkan"? Jawapan yang diterima "Ayat yang gramatis ialah memadamkan tulisan pada papan hitam sama seperti memadamkan api atau memadamkan kebakaran." tidak relevan langsung, saya tidak bertanya tentang ayat gramatis. Sila jawab soalan: Apakah perbezaan antara "dipadam" dan "dipadamkan"? | Menurut buku Tatabahasa Dewan , awalan di ialah kata kerja pasif yang subjek asalnya terdiri daripada orang ketiga, (contohnya; dihapuskan), manakala apitan di-…-kan pula ialah bentuk pasif bagi MeN-… -kan. Terdapat perbezaan pada penggunaan awalan di dan apitan di-…-kan, iaitu pada penggunaan objek atau kata nama di hadapan ayat yang menggunakan di dan di-…-kan ini. Perhatikan dan bandingkan contoh ayat yang diberikan ini. (a) “ Ali memadamkan tulisan di papan hitam” (ayat aktif) (b) “Tulisan di papan hitam dipadamkan oleh Ali”.(ayat pasif) ( c) “Ali memadam papan hitam” ( ayat aktif) (d) “Papan hitam dipadam oleh Ali”. (ayat pasif) Jika dalam ayat aktif, kata kerja memadamkan ( kata kerja transitif yang berakhiran kan) harus diikuti oleh objek (iaitu tulisan) yang membawa maksud ada pergerakan secara langsung ke arah kata nama, iaitu papan hitam. Sebaliknya jika dipasifkan ( di-…-kan) objek (tulisan) yang bergerak secara langsung ke arah kata nama ( papan hitam) perlu dikedepankan. Manakala bagi ayat aktif, kata kerja memadam ( kata kerja transitif tanpa imbuhan kan) harus diikuti oleh kata nama ( papan hitam). Sebaliknya dalam ayat yang dipasifkan (di) kata nama ( papan hitam) perlu dikedepankan. Oleh itu, perbezaan penggunaan awalan di dan apitan di-…-kan, bergantung pada susunan objek atau kata nama yang telah dipasifkan daripada ayat aktif. Sebaik-baiknya setiap ayat pasif perlu dijadikan ayat aktif terlebih dahulu untuk melihat susunannya. | Tatabahasa | 15.05.2018 |
| Apakah perbezaan antara "dipadam" dan "dipadamkan"? | Ayat yang gramatis ialah memadamkan tulisan pada papan hitam sama seperti memadamkan api atau memadamkan kebakaran. | Tatabahasa | 10.05.2018 |
| Selamat sejahtera, Apakah perbezaan antara "dipadam" dan "dipadamkan"? Bagaimana pula dengan penggunaannya? Mohon penjelasan. Terima kasih. | Ayat yang gramatis ialah memadamkan tulisan pada papan hitam sama seperti memadamkan api atau memadamkan kebakaran. | Ejaan | 15.03.2015 |
| Soalan : A. Memadamakan papan hitam B. Memadam papan hitam Yang manakah betul dari segi bahasa? sebab saya pernah lihat pada buku rujukan banyak menggunakan 'memadam papan hitam ' Terima Kasih. | Ayat yang gramatis ialah "memadankan tulisan pada papan hitam" kerana yang dipadamkan ialah tulisan bukan papan hitam. | Tatabahasa | 27.12.2012 |