| Selamat pagi ! Bolehkah tolong saya betulkan ayat ini ? Saya tidak pasti kesalahannya. 1 Daun pandan itu dilayur oleh nenek untuk dibuat tikar. dilayur boleh diguna ? 2 Ikan terubok itu dipanggang oleh ibu. dipanggang boleh diguna ? 3 Pisang yang disalai itu kehitam-hitaman. disalai boleh diguna ? Terima kasih. | Ketiga-tiga ayat tersebut adalah betul dan tiada kesalahan dalam penggunaan kata dilayur, dipanggang serta disalai dalam ayat-ayat tersebut. | Tatabahasa | 28.07.2011 |
| 1. Perkataan 'koko' adakah satu istilah bagi nama warna? 2. Apakah beza warna koko dan coklat? | Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, koko bermaksud 1. sj tumbuhan (pokok) yg bijinya dijadikan serbuk utk dibuat minuman (coklat dll), coklat, Theobroma cacao; 2. serbuk yg diperoleh drpd biji koko setelah dipanggang dan dikisar, digunakan utk membuat coklat; 3. sj minuman (panas atau sejuk) yg dibuat drpd serbuk koko dan susu atau air. Manakala coklat bermaksud 1. sediaan makanan yg dibuat drpd biji koko panggang yg dikisar, biasanya dimaniskan dan dibubuh perisa; 2. minuman yg dibuat dgn membancuh coklat dgn air panas atau susu; 3. gula-gula yg dibuat drpd, atau disalut dgn, coklat; 4. = warna ~ warna perang tua; warna ~ tua warna coklat yg sangat gelap. Kebiasaannya dalam konteks nama warna, istilah coklat lebih tepat. | Lain-lain | 08.06.2010 |
| maksud lentok, lentik, pacak, dan cacak | Lentok: terkulai (ke bawah atau ke sisi), terkelepai (ke bawah), miring (kerana lemah dsb) Lentik: melengkung ke atas atau ke belakang (bulu mata dll): wajahnya yg bujur sirih itu dihiasi alis yg melentik wilis; 2. lekuk ke atas pd hujungnya (haluan perahu dll); Pacak: sesuatu yg panjang dan runcing, cucuk (ikan yg hendak dipanggang, sate, dll); 2. kayu (tongkat dll) yg tirus hujungnya, pancang; pak ~ orang yg tidak penting peranannya (watak tambahan dlm lakonan pentas dll); Cacak: tegak (galah, tiang, dll); ~ lari lari tergesa-gesa atau cepat-cepat; Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk maklumat lanjut. | Makna | 17.04.2009 |
| Perbezaan gril, panggang dan bakar untuk memasak | Assalamualaikum, Perbezaan makna perkataan gril, panggang, dan bakar untuk memasak: 1. gril (makna ke-4 lihat menggril) Makna menggril - memanggang (ikan, daging dan sebagainya) di atas gril Contoh ayat - Sebaiknya makanlah makanan yang direbus, digril atau dikukus. 2. panggang (makna ke-2 lihat memanggang) Makna merebus - memasak (makanan seperti daging, ikan atau pulut) dengan meletakkannya di atas bara, di dalam ketuhar dan sebagainya Contoh ayat - Dia memanggang daging yang dipotong itu di dalam ketuhar. - Ikan yang dipanggang tadi perlu dibalik-balikkan supaya masak dengan sekata. 3. bakar (makna ke-2 lihat membakar) Makna membakar - memasak (sesuatu) dengan meletakkannya di atas api atau di dalam alat yang mengandungi haba, misalnya ketuhar Contoh ayat - Zamri sedang sibuk membakar sate bersama pekerjanya. - Kek dibakar dalam ketuhar pada suhu 180°C. Terima kasih. | Makna | 02.11.2024 |
| Assalamualaikum. Bolehkah DBP beri senarai lengkap perkataan yang berakhir denyan huruf 'e taling' seperti sate, tauge, wade, dan seterusnya? Susah kerana tiada fungsi pencarian rima akhir di PRPM untuk pembuatan pantun. Sepatutnya ada kerana pantun khazanah kita yang boleh dipermudah dengan adanya teknologi pencarian di PRPM. | Perkataan “sate”, “tauge”,“wade” dan “sake” yang berakhir dengan huruf e-taling ada ditunjukkan dalam PRPM seperti contoh di bawah: - (saté) sj makanan yg dibuat drpd potongan kecil daging yg dicucuk dan dipanggang (dimakan dgn kuah)
- /taugé/ kecambah kacang hijau dsb yg boleh dibuat sayur.
- (wadé) sj makanan tradisional masyarakat India yg diperbuat drpd tepung kacang dal putih, berbentuk bulat dan berlubang di tengahnya.
- (saké) (Jepun) sj arak yg diperbuat drpd beras.
Semua perkataan tersebut ditunjukkan penggunaan e-taling dalam kurungan atau diapitkan dengan tanda miring bagi pengguna mengetahui ritma akhir. Tuan/puan boleh mengetahui perkataan yang menggunakan e-taling apabila huraian disertakan dengan teks dalam kurungan atau diapitkan dengan tanda miring. | Ejaan | 16.06.2019 |