| apakah maksu 'kalu tidak dipecahkan ruyungnya,manakan dapat sagunya'? | Makna peribahasa "Kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana boleh mencapat sagu ialah tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Asyik memangku tangan, mati dalam angan-angan, b. Kurang sisik, tinggal lidi di buku; kurang selidik, tinggal kaji di guru, c. Pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang). Harap maklum | Makna | 06.08.2007 |
| Manakah yang berikut ialah betul? a.)Kalau tidak dipecahkan ruyung,manakan dapat sagunya b.)Kalau tidak dipecahkan ruyung,masakan dapat sagunya Adakah ini jenis kesalahan ejaan? | Berdasarkan sumber kami, peribahasa yang terakam ialah "Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mencapat sagu". Tidak ada kesalahan ejaan dalam kedua-dua bentuk peribahasa yang saudara nyatakan, masakan dan manakan kedua-dua kata tersebut betul. | Lain-lain | 11.11.2010 |
| Ayat: (1) Saya bercadang pergi ke pantai. Ayat (1) ini berbentuk ayat tunggal atau ayat majmuk? Bolehkah ayat (1) dipecahkan kepada dua ayat? | Ayat Saya bercadang pergi ke pantai ialah ayat tunggal. | Tatabahasa | 23.12.2014 |
| Salam, mengapakah imbuhan pinjaman akhiran bagi 'biduanita' dan 'karyawanita' ialah '-nita' dan bukannya '-ita'? Hal ini adalah kerana jika dipecahkan ejaannya, huruf 'n' sudah sememangnya ada pada kata dasar sebelum ditambahkan imbuhan. Terima kasih. | Merujuk buku Tatabahasa Dewan, nita merupakan akhiran pinjaman daripada bahasa Sanskrit bukannya ita. Perkataan biduanita dan karyawanita menerima akhiran nita. Perkataan biduanita terhasil apabila biduan(kata dasar) + nita (akhiran) menghasilkan biduanita bukannya biduannita iaitu huruf n digugurkan. Akhiran nita tetap digunakan bukannya ita. | Tatabahasa | 10.07.2013 |
| Apakah bidang-bidang fonetik? | Mengikut buku Pengenalan Fonetik dan Fonologi, oleh Paitoon M. Chaiyanara terbitan DBP bidang fonetik dapat dipecahkan kepada dua cabang, iaitu fonetik fisiologi dan fonetik akustik. | Tatabahasa | 05.09.2007 |
| Makna kesusasteraan terlalu luas. Bagaimana untuk kita menghuraikannya dengan lebih mendalam | Secara umum, erti kesusasteraan dipecahkan seperti yang berikit: Su bererti indah, baik dan berfaedah dan Sastera bererti aksara atau buku, maka kesusasteraan bererti kumpulan buku yang indah, baik dan berfaedah. Untuk menghuraikan lebih mendalam erti kesusasteraan, saudara boleh menumpukan perhatian kepada pemikiran dalam sesebuah karya yang baik dan berfaedah. Manakala dari segi keindahan pula, saudara boleh melihat dari segi bahasa dan perasaan. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 05.07.2009 |
| Apakah perbezaan bagi penggunaan istilah "budak-budak", "anak-anak" dan "kanak-kanak" dalam sesuatu konteks yang tertentu? | Konteks penggunaan "kanak-kanak" dipecahkan kepada konteks makna Undang-undang dan makna umum. Makna umum "kanak-kanak" luas kepada sinonim kata "budak-budak" dan "anak-anak" dalam bilangan jamak (lebih daripada seorang). Lazimnya kesesuaian untuk memilih antara ketiga-tiga perkataan lebih sesuai dalam gaya percakapan biasa atau bukan laras bahasa tinggi. Sebagai contoh ketiga-tiga perkataan boleh disetarakan dalam ayat: Mereka masih kanak-kanak yang belum mengerti hakikat hidup ini. Mereka masih anak-anak yang belum mengerti hakikat hidup ini. Mereka masih budak-budak yang belum mengerti hakikat hidup ini. Tidak sepatutnya menukar ganti "kanak-kanak" dengan mana-mana kata lain tadi dalam contoh penggunaan seperti: Novel kanak-kanak terbitan DBP. taman asuhan kanak-kanak Hari Kanak-kanak Sedunia Untuk perincian takrif "kanak-kanak", "budak-budak" dan "anak-anak", sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020). | Makna | 09.07.2025 |
| Apakah perbezaan materai dan meterai? Serta perkataan manakah yang boleh digunakan bagi konteks sihir/magik? Sebagai contoh ayat: The seal was broken by the witch! Contoh terjemahannya: Meterai/Materai tersebut telah dipecahkan oleh ahli sihir itu! | Perbezaan materai dan meterai adalah sebagai variasi ejaan. Ejaan yang baku ialah METERAI. Panduan penterjemahan boleh dirujuk dengan institusi yang menawarkan khidmat terjemahan, iaitu dengan menghubungi: i. Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), melalui talian 03-9226 2506 atau e-mel terjemah1@gmail.com atau ii. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), melalui talian 03-4145 1800 atau e-mel info@itbm.com.my | Istilah | 20.06.2025 |
| Selamat petang. Apakah terdapat perbezaan antara pecahan seramik dan serpihan seramik? Yang manakah lebih tepat? Terima kasih. | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud pecahan ialah sesuatu yang sudah pecah atau dipecahkan manakala serpihan ialah kepingan-kepingan kecil (daripada sesuatu seperti batu, kayu, dan lain-lain). Maka kedua-dua perkataan pecahan seramik atau serpihan seramik boleh digunakan mengikut konteks ayat yang bersesuaian. | Makna | 29.04.2023 |
| assalamualaikum... apakah konsep fonetik dan fonologi | Fonetik ialah kajian mengenai bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia, iaitu bunyi yang digunakan sebagai alat komunikasi. Bidang fonetik yang mengkaji bunyi bahasa dapat dipecahkan kepada tiga, iaitu artikulatori, auditori, dan akustik. Fonologi ialah bidang yang mengkaji rumus-rumus atau peraturan sesuatu bahasa yang menentukan sebutan. Antara kajian fonologi termasuklah pemenggalan bunyi bahasa, pola dan kelas bunyi bahasa, variasi bunyi, proses fonologi, dan perubahan bunyi. | Tatabahasa | 28.07.2018 |