"Ubat itu dipercayai dapat memperkuaatkan sistem pertahanan badan manusia". atau "Ubat itu dipercayai dapat memperkuat sistem pertahanan badan manusia". Ayat manakah yang betul dan mengapa ayat tersebut betul??? Apakah kesalahan tatabahasanya??? | Ayat yang betul ialah "Ubat itu dipercayai dapat memperkuat sistem pertahanan badan manusia". - kuat ialah kata adjektif dan dapat menerima awalan memper- sahaja. | Tatabahasa | 14.01.2011 |
Polis menahan sebuah kereta yang dinaiki oleh dua orang lelaki, yang dipercayai digunakan dalam satu rompakan kedai emas. Soalan: Mengapakah perkataan "dipercayai" boleh digunakan dalam ayat tersebut? ini kerana kalau diaktifkan imbuhan "diper....i" akan menjadi "memper...i", sedangkan imbuhan "memper...i" hanya boleh menerima empat perkataan iaitu "memperingati, mempersuami, memperisteri, memperkawani". | Ungkapan 'dipercayai' dalam ayat tersebut boleh digunakan kerana perkataan tersebut menggunakan imbuhan di-...-i bukannya diper-...-i. Kata dasar perkataan tersebut ialah percaya bukannya caya. Sekiranya perkataan tersebut hadir dalam ayat aktif transitif ia akan menerima apitan meN-...-i, iaitu mempercayai bukannya mempeR-...-i. | Tatabahasa | 20.09.2007 |
Kumpulan yang berpakaian kemas itu dipercayai terlibat dalam kegiatan mengutip derma secara haram sejurus memperalatkan nama dan dimensi rumah kebajikan di ibu negara. munsyi, apakah kesalahan istilah dan tatabahasa dalam ayat ini? TK | Kumpulan yang berpakaian kemas itu dipercayai terlibat dalam kegiatan mengutip derma secara haram sejurus memperalatkan nama dan dimensi rumah kebajikan di ibu negara. Perkataan bergaris ialah perkataan yang tidak sesuai dengan konteks ayat tersebut. Sila rujuk kamus dan buku Tatabahasa Dewan untuk memastikan penggunaan perkataan yang betul dan binaan ayat yang gramatis. | Tatabahasa | 05.11.2014 |
MAKSUD PERKATAAN KREDIBILITI | Kredibiliti ialah sifat boleh dipercayai atau diyakini, kebolehpercayaan. | Makna | 28.06.2007 |
Bagaimana pihak DBP hendak memperbetulkan penggunaan Bahasa Malaysia yang dipercayai salah oleh syarikat syarikat pengiklanan bagi pelanggan mereka, khasnya syarikat kosmetik, contohnya perkataan BARU yg telah diejakan sebagai "BAHARU", dan beberapa perkataan yang agak kerap digunakan dalam kehidupan harian kami. | Melalui khidmat nasihat bahasa yang kami berikan setiap iklan yang hendak dikeluarkan perlu mendapat pengesahan terhadap bahasa yang digunakan dalam paparan tersebut. DBP akan menyemak dan membetulkan penggunaan bahasa yang kurang tepat dan bersesuaian dengan visual yang dipaparkan. | Lain-lain | 27.01.2009 |
1) "daripada" sumber haram/"dari"sumber haram? 2) "daripada" / "dari" sumber yang boleh dipercayai? 3) "daripada" / "dari" sumber hasil jenayah? Yang mana satu betul? Mohon penjelasan. | Penggunaan yang betul dalam konteks yang tersebut ialah "daripada". Kata sendi nama "dari" hadir di hadapan tarikh, masa dan arah seperti dari 15 hingga 21 dan dan dari Kuantan ke Kuala Lumpur. | Tatabahasa | 07.06.2013 |
Assalamualikum dan Selamat Sejahtera, Saya ingin bertanya mengenai penggunaan perkataan 'kredibel'. Adakah perkataan ini boleh digunakan dan sekiranya tidak, apakah perkataan yang sesuai untuk mengantikanya. Saya sering menggunakan perkataan kredibel untuk menunjukkan betapa wibawa, tepat, boleh dipercayai dan sebagainya bagi sesuatu maklumat. terima kasih tuan. | Menurut Kamus Inggeris Melayu Dewan padanan bahasa Melayu bagi perkataan credible ialah boleh dipercayai. | Istilah | 27.08.2008 |
Saya ingin pertolongan anda untuk mencari kesalahan-kesalahan-kesalahan yang terdapat di ayat tersebut : 1.Pihak polis di negara tersebut sedang giat memburu sekumpulan penjenayah yang dipercayai masih berada pada ibu negara berkenaan. 2.Buku-buku Syarikat Maju Jaya paling laris sekali jualannya kerana penulis-penulis di syarikat tersebut begitu mengutamakan kuantiti. 3.Pemilik kilang yang masih berdegil kerana membuang sisa toksik ke dalam sungai akan disenaraihitam supaya menjadi teladan kepada pekilang yang lain. 4. Berdasarkan kepada maklumat yang diberi oleh orang awam,akhirnya penjenayah berbahaya itu berjaya ditangkap dan didakwa di muka perbicaraan. 5.Remaja yang menunggang motosikal di lebuh raya itu saling potong-memotong tanpa memikirkan takat keselamatan diri mereka sendiri. 6.Pada masa ini,bangunan-bangunan lama di kawasan bandar yang sudah buruk Akan dibaik puluh bagi menarik kehadiran pelancong ke negara kita. 7.Peminat bola sepak itu sedang membincangkan tentang corak permainan yang ditunjukkan oleh kedua-dua buah kumpulan bola sepak dari luar negara. | Ayat yang telah dibetulkan adalah seperti yang berikut: 1.Pihak polis di negara tersebut sedang giat memburu sekumpulan penjenayah yang dipercayai masih berada di ibu negara berkenaan. 2.Buku-buku Syarikat Maju Jaya paling laris jualannya kerana penulis-penulis di syarikat tersebut amat mengutamakan kualiti. 3.Pemilik kilang yang masih berdegil dan membuang sisa toksik ke dalam sungai akan disenaraihitamkan supaya menjadi teladan kepada pekilang yang lain. 4. Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh orang awam, akhirnya penjenayah berbahaya itu berjaya ditangkap dan didakwa di mahkamah. 5.Remaja yang menunggang motosikal di lebuh raya itu saling potong-memotong tanpa memikirkan keselamatan diri mereka sendiri. 6.Pada masa ini,bangunan-bangunan lama di kawasan bandar yang sudah buruk akan dibaik pulih bagi menarik kehadiran pelancong ke negara kita. 7.Peminat bola sepak itu sedang membincangkan corak permainan yang ditunjukkan oleh kedua-dua kumpulan bola sepak dari luar negara. | Tatabahasa | 06.10.2014 |
sy nk tahu maksud KREDIBEL | Menurut Kamus Inggeris Melayu Dewan padanan bahasa Melayu bagi perkataan credible ialah boleh dipercayai. | Makna | 18.01.2010 |
jika saya memerlukan terjemahan tulisan jawi pada seuatu artifak milik keluarga, bolehkah pihak DBP membantu menterjemahkan ia? Pada objek tersebut tertulis 1291 dipercayai tahun objek tersebut digunapakai. Dan disebabkan ia mempunyai gaya penulisan yang tidak lazim pada saya maka saya memerlukan bantuan untuk memahami isi kandungannya. Terima Kasih, sekian. | Untuk makluman, tuan boleh membuat pertanyaan tentang artifak/manuskrip lama kepada Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Penyelidikan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur atau melalui talian 03-21479000. | Lain-lain | 04.10.2019 |