Apakah maksud dipersembah dan dipersembahkan? Sila nyatakan kegunaaan dua perkataan ini dalam ayat yang lengkap. | Kata yang terakam dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020: 2025) ialah kata mempersembahkan dan dipersembahkan, yang diberikan takrif seperti yang berikut: mempersembahkan kata kerja transitif [kata pasif: dipersembahkan, persembahkan] 1 menyampaikan (sesuatu berita, surat dan sebagainya) dengan takzim dan penuh hormat; menyembahkan. Contoh penggunaan Maka menteri itu pun mempersembahkan hal tersebut kepada Betara Raden Merpati. Dengan segera perkara itu pun dipersembahkan kepada Sang Nila Utama. 2 bahasa kiasan menunjukkan atau menayangkan (tarian, filem dan sebagainya) kepada seseorang atau khalayak. Contoh penggunaan Pelajar mempersembahkan tarian tradisional masyarakat di Sarawak semasa program tersebut. Skrip drama yang telah ditulis akan dipersembahkan di atas pentas. | Makna | 30.10.2023 |
Persembahan kebudayaan itu dipersembahkan kepada para pelancong yang datang melawat ke Taman Mini Malaysia di Negeri Melaka. Ayat di atas betul atau salah daripada aspek penggunaan imbuhan | Ayat yang betul ialah "Persembahan kebudayaan itu dipersembahkan kepada para pelancong yang datang melawat ke Taman Mini Malaysia di Negeri Melaka". | Tatabahasa | 27.07.2016 |
saya hendak tahu perbezaan antara dekon dan pentomin | Saudara Norhafizah, Dekon merupakan perkataan yang terbentuk daripada gabungan dua perkataan, iaitu deklamasi dan lakon dan dipersembahkan oleh seorang yang akan mendeklamasikan puisi dan pada masa yang sama berlakon. Walau bagaimanapun, pantomin ialah drama yg dipersembahkan dgn menggunakan gerak-geri sahaja dan biasanya diiringi muzik dan dilakonkan oleh kumpulan pelakon. | Makna | 20.02.2010 |
perbezaan dekon dan pentomin | Saudara Norhafizah, Dekon merupakan perkataan yang terbentuk daripada gabungan dua perkataan, iaitu deklamasi dan lakon dan dipersembahkan oleh seorang yang akan mendeklamasikan puisi dan pada masa yang sama berlakon. Walau bagaimanapun, pantomin ialah drama yg dipersembahkan dgn menggunakan gerak-geri sahaja dan biasanya diiringi muzik dan dilakonkan oleh kumpulan pelakon. | Makna | 20.02.2010 |
Papa pelancong terpukau oleh/akan persembahan tarian zapin yang dipersembahkan oleh kanak-kanak kelainan upaya. | Kedua-duanya betul. | Tatabahasa | 31.03.2010 |
Apakah penjodoh bilangan bagi tarian? Cth: marilah kita saksikan _________ tarian yang akan dipersembahkan oleh kelas Tahun 2. | Untuk makluman puan, tidak semua perkataan menerima penjodoh bilangan. Penjodoh bilangan yang paling hampir ialah sebuah, sebuah tarian. Penggunaan tanpa penjodoh bilangan tidak salah. | Tatabahasa | 26.02.2018 |
Bolehkah penggunaan perkataan dedikasi seperti ini: "Buku ini didedikasikan bagi anda" atau boleh ganti dengan "dipersembahkan"? Terima kasih | Ayat yang betul ialah "Buku ini didedikasikan kepada anda". | Tatabahasa | 12.08.2023 |
saya mahasiswa YIU ingin bertanya ?bagaimanakah bacaan dalam pantun | Untuk makluman saudara, pantun dibaca atau dipersembahkan mengikut gaya masing-masing, tetapi dicadangkan supaya mengikut panduan berikut: 1. Gerak-geri yang seimbang dengan pantun. ( Gerak-geri tangan, jelingan dan senyuman). Aksi tersebut tidak boleh berlebihan. 2. Intonasi dan Jeda. Jeda ialah nada/hentian sebutan bagi suku kata pada setiap baris. Intonasi pula ialah nada bagi memisahkan maksud dengan pembayang maksud pantun. 3. Kelancaran. Tiada kegagapan dan perulangan dalam pengucapan. | Lain-lain | 14.07.2010 |
Joey dan rakan-rakannya mengadakan persembahan gamelan. A. Persembahan gamelan diadakan oleh Joey dan rakan-rakannya. B. Gamelan dipersembahkan oleh Joey dan rakan - rakan-rakannya. Yang mana satu ayat yang sama maksud? | Ayat yang sama maksud ialah Persembahan gamelan diadakan oleh Joey dan rakan-rakannya. | Tatabahasa | 11.09.2020 |
Mohon pihak tuan untuk membetulkan ayat di bawah: i) Mesyuarat dimaklumkan slip gaji diperlukan bagi mempercepatkan dan memudahkan proses pembayaran tuntutan ii) Mesyuarat mencadangkan supaya kehadiran anggota ke perjumpaan tersebut digiliri. iii) Lagu tersebut telah dipersembahkan oleh Cik Munira atau Cik Munira telah mempersembahkan sebuah lagu di majlis tersebut Pohon pihak tuan supaya dapat menerangkan struktur ayat 'di.....i' dan 'di......kan', 'me/meng/mem....i' dan ' me/mem/meng....kan' kerana terdapat kekeliruan dalam penggunaan kata imbuhan tersebut. Sekian, terima kasih. | i) Mesyuarat dimaklumkan bahawa slip gaji diperlukan bagi mempercepat dan memudahkan proses pembayaran tuntutan. Kata adjektif cepat apabila menerima imbuhan memper... menjadi mempercepat bukan mempercepatkan. ii) Mesyuarat mencadangkan supaya kehadiran anggota ke perjumpaan tersebut dilakukan secara bergilir. iii) Lagu tersebut telah dipersembahkan oleh Cik Munira atau Cik Munira telah mempersembahkan sebuah lagu di majlis tersebut. Kedua-dua ayat terebut betul. Fungsi apitan meN-...i -kan dengan meN-...-i terbahagi tiga: (1) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan basikal kepada Ahmad. b. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (2) Bagi kata tertentu, perbezaan penggunaan apiatan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. Contohnya; a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i, tetapi telah digugurkan. (3) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...--kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya; a. Ali membaiki kereta yang rosak itu. b. Ali membaikkan kereta yang rosak itu. Untuk maklumat lanjut, lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 207. 1. Apitan di-…i ialah bentuk pasif bagi meN-…-i . Contoh: kata kerja aktif mendapati, kata kerja pasifnya didapati. Apitan mempeR-…-i tidak begitu produktif. Kata-kata yang bergabung dengan apitan ini tidak banyak. Setakat ini hanya empat perkataan yang terbentuk dengan apitan ini iaitu memperingati, memperkawani, mempersuami(i), memperisteri(i). Berlaku pengguguran huruf i pada perkataan mempersuami dan memperisteri. Bentuk lazim memperolehi sebenarnya bentuk terbitan yang lewah, untuk membawa pengertian yang lazimnya dikaitkan dengan perkataan di atas. Memperolehi seharusnya menerima awalan memper-. Oleh itu memperolehi seharusnya memperoleh. Sebagaimana hal yang berlaku pada memper-...-i, demikian juga pada bentuk apitan dipeR-...-i. Bentuk yang lazim digunakan iaitu diperolehi, sebenarnya merupakan bentuk terbitan yang lewah. Kata dasar bentuk apitan ini seharusnya menerima awalan diper- , yakni diperolehi seharusnya diperoleh. (Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga hlm. 208, 211 – 217) | Tatabahasa | 21.11.2013 |