Saya ingin bertanya, Interaksi antara kaum perlu dipertingkatkan dengan cara yang boleh difahami. Soalan saya, berkenaan perkataan "dipertingkatkan". Yang mana lagi tepat? "dipertingkatkan" atau "dipertingkat". Ada pihak memaklumkan perkataan dipertingkatkan itu salah. | Penggunaan “dipertingkatkan” dalam ayat tersebut adalah betul. | Tatabahasa | 25.03.2019 |
apakah kaedah menulis perkataan berikut: (a) "mengenal pasti" atau "mengenalpasti" (b) "dikenal pasti" atau "dikenalpasti" (c) "prefix" sama ada perlu italic atau tidak. (d) "... kategori pekerjaan yang perlu dipertingkatkan (atau ditingkatkan) tahap kemahirannya." Soalannya: mana satu perkataan yang betul, sama ada "ditingkatkan" atau "dipertingkatkan". | Kaedah menulis yang betul: a) mengenal pasti b) dikenal pasti c) prefix perlu diitalikkan d) Jika dirujuk ayat tersebut, ditingkatkan dan dipertingkatkan, kedua-duanya bolah digunakan kerana membawa maksud yang sama. | Lain-lain | 08.09.2015 |
saya ingin megesahkan terjemahan nama produk seperti dibawah: ENG: coconut milk enhanced with coconut water BM: santan kelapa dipertingkat dengan air kelapa atau terjemahan lain yang sesuai. Terima Kasih. | Cadangan terjemahan, "Pengeluaran santan dipertingkatkan dengan air kelapa". | Penyemakan dan penterjemahan | 21.05.2022 |
Parkataan "diperhatikan" nampaknya tidak wujud dalam Kamus Dewan edisi keempat. Apakah sebabnya? Terima kasih. | diperhatikan merupakan ayat pasif daripada perkataan memperhatikan iaitu ayat aktif. Begitulah ragam ayat dalam bahasa Melayu. Contoh lain, seperti mempertingkatkan/dipertingkatkan, mempergiat/dipergiatkan, mempertimbangkan/dipertimbangkan dan lain-lain. | Tatabahasa | 10.04.2018 |
PENGAJARAN BAHASA INGGERIS DALAM BIDANG SAINS DAN TEKNOLOGI: IMPLIKASINYA TERHADAP USAHA PEMANTAPAN BAHASA MELAYU DI MALAYSIA | Pengajaran bahasa Inggeris dalam bidang sains dan teknologi sememangnya mempunyai implikasi terhadap pemantapan bahasa Melayu di Malaysia. Seharusnya pengajaran bahasa Melayu mesti terus dipergiat dan dipertingkatkan supaya tidak ketinggalan dalam pelbagai bidang yang lain yang tidak kurang pentingnya. | Lain-lain | 25.08.2006 |
cabaran bahasa melayu dan cara-cara mempertahankan nilai ekonominya dalam era globalisasi | Cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu dalam era globalisasi amat besar. Penguasaan bahasa asing dalam teknologi maklumat amat meluas dalam penyebaran maklumat dalam pelbagai bidang. Penggunaan bahasa Melayu dalam teknologi maklumat perlu dipertingkatkan bagi meyaingi cabaran daripada bahasa asing. Rujuk rencana berkenaan perkara ini dalam arkib dan perpustakaan. | Lain-lain | 12.03.2007 |
Apakah contoh ayat yang sesuai untuk perkataan 'profesion, profesional dan profesionalisme' | Contoh ayat profesion ialah, "Profesion sebagai jurureka dalaman mampu memberikan hasil yang lumayan pada pengamalnya". Manakala profesional pula ialah, "Dia amat profesiona dan tidak pernah mencampuradukkan urusan peribadi dengan urusan kerja". Contoh perkataan profesionalisme pula ialah, "Profesionalisme perkhidmatan guru perlu dipertingkatkan kerana profesion ini melibatkan pembinaan insan". | Lain-lain | 08.09.2022 |
Bolehkah kami menyemak dengan tuan/puan sama ada perkataan/teks berikut adalah betul atau tidak? (a) Peranti Penghalau Nyamuk Kendalian Bateri (b) Tiada Soket Dinding Diperlukan (c) Mudah untuk menggantikan isian semula (d) Tahan selama 60 hari tanpa menukar bateri, jika digunakan selama 8 jam setiap hari (e) Teknologi Penghalau Nyamuk Terkini (f) Prestasi yang dipertingkatkan dengan alat kipas yang unik (g) Butang penunjuk LED (h) Port Masuk (*diterjemah dari Bahasa Inggeris “Intake Port”) (i) Tempat Penyebaran (*diterjemah dari Bahasa Inggeris “Diffuser Area”) | Berikut merupakan cadangan jawapan untuk pertanyaan Puan. Jawapan ini sama seperti yang telah dilampirkan untuk soalan bertarikh 1 Julai 2024. Frasa (c), (e), (g), (h) dan (i) betul. Frasa lain yang dibetulkan termasuklah (a) Peranti Penghalau Nyamuk Berbateri (b) Soket Dinding Tidak Diperlukan (d) Tahan selama 60 hari tanpa menukar bateri, jika digunakan selama lapan jam setiap hari, (f) Prestasi yang ditingkatkan dengan alat kipas yang unik. Padanan terjemahan bergantung pada kesesuaian serta konsep dan konteks penggunaannya dalam sesuatu bidang atau laras bahasa. | Makna | 10.07.2024 |
Ramzi Ahmad Blh bagi contoh maksud "Penggunaan Bahasa Inggeris dalam iklan hendaklah mempunyai padanannya dalam Bahasa Melayu"? Apakah ada usaha kerjasama antara Majlis Perbandaran dengan pihak DBP setakat ini? Memandangkan campuran dwi bahasa digunakan dalam papan iklan? Jika tiada penguatkuasaan sy yakin Bahasa Melayu akan terus dirojakan.. | Terima kasih atas keprihatinan tuan terhadap penggunaan bahasa Melayu di negara kita. Sokongan dan komitmen tuan dalam usaha kami untuk memartabatkan bahasa Melayu amat dialu-alukan dan dihargai. Semua jenis iklan perniagaan di setiap negeri di Malaysia tertakluk pada Undang-undang Kecil Iklan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing. Undang-undang kecil iklan ini menetapkan perkara yang hampir sama, iaitu semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan, sama ada bahasa kebangsaan sahaja atau bahasa kebangsaan dengan bahasa lain. Sesiapa yang melanggar undang-undang kecil ini melakukan kesalahan dan apabila disabitkan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dihukum penjara bagi tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun 2009. Garis Panduan ini menetapkan setiap papan iklan hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan sama ada bahasa kebangsaan sahaja atau bahasa kebangsaan dengan bahasa lain. Perkataan bahasa Melayu hendaklah diutamakan dari segi saiz, warna dan kedudukan perkataan berbanding bahasa lain. Malah penggunaan bahasa Melayu hendaklah dipastikan betul dan tepat dari segi penggunaan perkataan, susunan ayat, ejaan, tatabahasa dan sebagainya. Penggunaan bahasa yang betul hendaklah dirujuk dan mendapat pengesahan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Khusus untuk papan iklan premis perniagaan pula, Jabatan Kerajaan Tempatan mengeluarkan pekeliling tentang “Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan”. Garis panduan ini jelas turut menetapkan keterangan perniagaan sama ada produk atau perkhidmatan yang mesti mengutamakan bahasa kebangsaan dari segi saiz, warna dan kedudukan. Baik Undang-undang Kecil Iklan PBT atau garis panduan, secara teorinya, semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan semata-mata atau jika terdapat dwibahasa, bahasa kebangsaan mesti diutamakan. Namun realiti yang berlaku adalah sebaliknya; penggunaan bahasa kebangsaan dicampur aduk dengan bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Cina dan Tamil. Malah terdapat iklan yang meletakkan bahasa kebangsaan di bawah perkataan bahasa lain, selain saiz huruf bahasa kebangsaan kecil dan tidak jelas. Justeru, pihak yang meluluskan lesen pemasangan papan iklan, iaitu PBT seharusnya serius dan komited dalam mematuhi garis panduan iklan yang dikuatkuasakan mengikut Undang-undang Kecil Iklan PBT masing-masing. Kerjasama antara PBT dan DBP perlu dibentuk dan sewajarnya melibatkan DBP dalam kelulusan lesen pemasangan papan iklan. Inisiatif beberapa PBT, seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mensyaratkan supaya setiap agensi pengiklanan atau syarikat perlu merujuk kepada DBP terlebih dahulu bagi melihat aspek penggunaan bahasa sebelum sesuatu iklan diluluskan perlulah dicontohi. Dalam hal ini, DBP telah pun membangunkan sistem Khidmat Pengesahan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (KPBDBP) untuk membantu PBT dalam menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan. KPBDBP merupakan perkhidmatan menyemak dan mengesahkan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dalam iklan, nama khas dan dokumen dan dilaksanakan dalam talian yang boleh dicapai melalui laman web www.prpm.dbp.gov.my, kunjungan/kaunter, faksimile dan e-mel. Selain KPBDBP, DBP turut menyediakan Khidmat Nasihat Bahasa, Khidmat Nasihat Sastera, Khidmat Nasihat Penerbitan, Khidmat Nasihat Pengurusan dan Khidmat Nasihat Korporat DBP atau lebih dikenali sebagai Khidmat Nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka (KNDBP). Khidmat nasihat ini juga dilaksanakan dalam talian melalui laman web www.prpm.dbp.gov.my, kunjungan/kaunter, faksimile dan e-mel. Jelaslah bahawa masalah penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan boleh ditamatkan dengan segera. Mekanisme yang sedia ada, khususnya dalam bidang undang-undang perlu dimanfaatkan. Gerakan dan tindakan bersepadu dengan semua pihak sama ada agensi kerajaan atau swasta dalam penguatkuasaan hendaklah dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk memartabatkan bahasa Melayu. | Lain-lain | 18.05.2017 |
Assalamamualaikum... Saya mempunyai satu soalan untuk dikemukakan kepada pihak DBP, berkenaan polisi baru pihak kerajaan dalam Sistem Pendidikan yang baru digubal beberapa waktu lalu. Pembelajaran Sains dan Matematik yang kembali diajar semula dalam Bahasa Melayu menjadi kelegaan kepada banyak pihak terutama bagi yang memang selesa dan menjiwai bahasa Malayu itu sendiri. Bagi menyediakan prasarana itu,adakah pihak DBP mempunyai projek-projek terbaru untuk merialisasikan cita-cita kerajaan untuk memanggil semula minat pelajar-pelajar yang telah pudar dalam Sains dan Matematik? Bagi pandangn saya, DBP punya peranan yang sangat besar sebesar peranan Baitul Hikmah yang wujud tatkala zaman Kerajaan Abbasiah suatu ketika dahulu, yang mana, ia menjadi perpustakaan terbesar menempatkan sumber ilmu tak mengira bidang, dan yang lebih mengujakan, kebanyakan buku tersebut adalah dalam bahasa ibunda,iaitu bahasa Arab.... Adakah pihak DBP juga dalam perancangan kearah itu, atau hanya tertumpu kepada bidang kesasteraan Melayu semata? saya warga Malaysia yang punya harapan yang sangat tinggi terhadap DBP agar ia wujud menjadi badan yang bisa meyuntik penawar kepada tahapan ilmu dan kecintaan ilmu di kalangan rakyat Malaysia yang masih dalam kategori rendah dibaningkan dengan negara-negara membangun yang lain. Sekian. | Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu lebih kepada pedagogi pendidikan yang ditagani oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam hal ini DBP tetap meneruskan fungsi dan peranannya dalam pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu yang dilaksanakan melalui pelbagai kegiatan di sektor awam dan swasta. DBP akan mengemaskinikan dan menerbitkan lebih banyak buku dan istilah yang berkaitan seperti istilah Sains, Matematik dan Teknologi. Selain itu, kegiatan penggalakan dan pengembangan bahasa Melayu akan dipertingkatkan dan diperluas. | Lain-lain | 16.07.2009 |