| Integrity(bahasa ingeris)=integriti(bahasa Malaysia moden)=ketulusan hati\kejujuran\keutuhan(bahasa Malaysia sebenar). Diragukan BM moden ini tanpa disedari akan menggalakkan rakyat Malaysia bertutur dalam bahasa 'rojak' dan berbahaya jika kita ingin mempertabatkan Bahasa Malaysia. | Saudara Mohd. Hafiz, Perkataan 'integriti' diterima dalam bahasa Melayu sebagai variasi kepada perkataan ketulusan, kejujuran, keutuhan dalam usaha mempelbagaikan dan memperkaya perbendaharaan kata bahasa Melayu bagi memberi pengguna lebih banyak pilihan kata. Penyerapan kata ini ke dalam bahasa Melayu tidak akan menggalakkan bahasa rojak kerana proses penyerapannya dibuat mengikut tatacara penyerapan kata daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu seperti yang ditentukan dalam Pedoman Umum Pembentukan Istilah, manakala bahasa rojak ialah penggunaan bahasa yang mencampuradukkan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu dalam ayat, frasa atau wacana. | Lain-lain | 22.03.2010 |
| Assalamualaikum. Tuan, saya pernah diberitahu oleh penceramah kursus bahasa bahawa perkataan seperti 'warga', 'masyarakat' dan 'rakyat' sudah menunjukkan sekumpulan atau bermaksud ramai. Tetapi tanpa disedari masih ramai pengguna bahasa meletakkan perkataan 'semua' di hadapan perkataan 'warga', 'masyarakat' dan 'rakyat' apabila menulis atau bercakap. Contohnya, "Semua rakyat Malaysia mestilah mengutamakan kebersihan," atau "Semua warga Agensi Kelayakan Malaysia mestilah mematuhi peraturan." Jadi bagi menjelaskan penggunaan perkataan 'warga' secara tepat saya berharap pihak DBP dapat memberi panduan dan nasihat dalam hal ini. Terutama sekali memberi contoh-contoh ayat yang sesuai menggunakan perkataan 'warga'. Maklum balas pihak DBP amat diharapkan dan didahului dengan terima kasih. | Puan Norafizah, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Puan mungkin terdapat sedikit kekeliruan tentang perkara ini. Memang betul perkataan warga, masyarakat dan rakyat telahpun membawa makna ramai atau banyak. Oleh yang demikian perkataan tersebut tidak boleh digandakan. Maksudnya semasa menulisnya ia tidak boleh ditulis begini... semua warga-warga Malaysia, semua rakyat-rakyat atau semua masyarakat-masyarakat.... terima kasih. | Ejaan | 15.05.2009 |
| Adakah penggunaan perkataan 'perasan' dan 'menyedari' dalam ayat-ayat berikut betul dan tepat? (a) Tanpa menyedari, kami sudah sampai ke destinasi. (b) Tanpa perasan, kami sudah sampai ke destinasi. | Ayat yang betul ialah "tanpa disedari kami sudah sampai ke destinasi" | Tatabahasa | 12.12.2015 |
| Tuan : 1. Apakah perbezaan antara perkataan 'terikut-ikut' dan 'mengikut-ikut' ? 2. Bolehkah perkataan 'pertama-tama' digunakan dalam penulisan karangan dengan membawa maksud terdahulu sekali ? Ribuan terima kasih atas penjelasan dan maklum balas tuan. | 1. Menurut Kamus Dewan, terikut-ikut ialah mengikut (sesuatu) dengan tidak begitu disedari (kerana terlalu terpengaruh olehnya dll): terdapat juga penutur-penutur bahasa Melayu yang ~ dengan struktur tatabahasa lain. Manakala mengikut-ikut ialah meniru-niru: negara-negara ini mengejar kepentingan kebangsaan masing-masing yang ~ kepentingan orang lain; 2.Kamus Dewan mentakrifkan pertama-tama sebagai yang pertama sekali, yang mula-mula (terdahulu) sekali: candu itu ~ haram menurut agama Islam dan kedua membinasakan badan; | Tatabahasa | 19.07.2013 |
| Adakah proses dan acara berbeza? | Ya, proses dan acara mempunyai makna yang berbeza. Proses bermaksud: 1. satu siri tindakan atau operasi yang dilakukan atau yang perlu diikuti untuk membuat atau melaksanakan sesuatu. Contoh ayat: Proses pelantikan perunding hendaklah dibuat mengikut prosedur. 2. perubahan yang biasanya berlaku secara semula jadi atau tanpa disedari, biasanya melibatkan tempoh yang panjang. Contoh ayat: Kekurangan nutrisi boleh mengganggu proses tumbesaran kanak-kanak. 3. kaedah atau teknik untuk membuat atau menghasilkan sesuatu barangan, khususnya dalam industri. Contoh ayat: Proses pembuatan coklat bermula dengan mengadunkan likuor koko, gula, susu dan sebahagian lemak koko selama kira-kira 5 minit pada suhu 45°C. Manakala acara bermaksud: 1. jenis permainan dalam sukan yang dipertandingkan, misalnya lari berganti-ganti, badminton atau menembak. Contoh ayat: Acara lompatan ialah lompat tinggi, lompat jauh, lompat kijang dan lompat bergalah. 2. perkara yang dilaksanakan oleh masyarakat mengikut adat atau kebiasaan, misalnya semasa majlis perkahwinan atau dalam kehidupan. Contoh ayat: Pengantin lelaki menyempurnakan acara membatalkan air sembahyang dengan menyarungkan sebentuk cincin. 3. bahagian atau seluruh kegiatan yang disusun dan dijadualkan untuk dilaksanakan bagi menjayakan sesuatu upacara, persembahan, sambutan dan sebagainya. Contoh ayat: Acara ini bermula dengan ucapan Ketua Pengarah. 4. kegiatan, program atau majlis khusus yang diadakan untuk tujuan tertentu. Contoh ayat: Acara Forum Remaja akan diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir. Terima kasih. | Makna | 08.11.2024 |