1. Gunung Kinabalu dilitupi oleh kabus yang tebal. 2. Gunung Kinabalu diselubungi oleh kabus yang tebal. "dilitupi" dan "diselubungi", yang manakah lebih tepat penggunaannya? | Kedua-dua perkataan dilitupi dan diselubungi boleh digunakan. | Makna | 10.04.2019 |
Apakah perbezaan antara perkataan 'diliputi' dan 'diselubungi' dari segi penggunaannya? Tolong terangkan perbezaan itu dengan ayat contoh. Terima kasih. | Dalam kamus Dewan liput bermaksud berselubung, bertutup, dipenuhi oleh. Oleh itu, diliputi sama maksudnya dengan diselubungi.Contoh ayat, wajah isterinya diliputi/diselebungi kemuraman. | Makna | 04.03.2009 |
Apakah jawapan yang paling tepat untuk soalan ini. Soalan 1: Pondok di kaki bukit itu tidak kelihatan dari jauh kerana di _______ kabus. A. dilindungi B diselubungi Soalan 2 : Mana satu yang betul? Para tamu atau para tetamu. | 1: Pondok di kaki bukit itu tidak kelihatan dari jauh kerana diselubungi kabus. 2: Para tamu atau para tetamu. Kedua-duanya betul, tamu ialah orang yang datang mengunjungi orang lain, manakala tetamu merujuk orang yang diundang (dijemput) untuk menghadiri jamuan. | Tatabahasa | 27.05.2009 |
Pilihan mana yang betul dalam kurungan? 1. Perlawanan bola sepak itu berterusan (hingga ke/hingga) masa tambahan. 2. Kampung itu diselubungi air (oleh sebab/kerana) hujan lebat. 3. (Kempen mencegah jenayah/kempen pencegahan jenayah) itu akan berlangsung selama dua bulan. | 1. Perlawanan bola sepak itu berterusan hingga/ke masa tambahan. 2. Kampung itu diselubungi air oleh sebab/kerana hujan lebat. 3. Kempen mencegah jenayah itu akan berlangsung selama dua bulan. | Tatabahasa | 08.10.2012 |
Soalan ini berkaitan dengan ejaan nama tempat di Malaysia. Timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung laporan kejadian tanah runtuh di Tanjung Bunga Pulau Pinang. Kenapa semua akhbar dan semua stesen TV menggunakan ejaan dan sebutan sebagai `Tanjung Bungah' yang sememangnya popular digunakan sejak era awal dulu. Bukankah mulai 1972 kita telah menguatkuasakan pengunaan ejaan baharu. Apa ketetapan DBP tentang hal ini. Elok juga dimaklumkan kepada semua akhbar dan stesen Radio/TV bagi mewujudkan keselearasan agar tidak berulang kesilapan. Untuk makluman, nama beberapa tempat lain juga perlu diselaraskan seperti `Simpang Ampat' di Pulau Pinang, `Simpang Anam' di Johor. Begitu juga dengan Ayer Hitam, Air Hitam dan Air Itam. | Untuk makluman tuan, penentuan tatanama geografi tidak mudah kerana nama-nama khas ini dikaitkan dengan berbagai jenis konteks dan semuanya ini diselubungi emosi dan masing-masing mempertahankan tradisi tempatan. Sejak tahun 1970-an lagi, selepas Ejaan Rumi Baru Melayu diperkenalkan, kami telah menerima permintaan daripada pelbagai pihak untuk mengekalkan tradisi ejaan masing-masing. Misalnya, pengekalkan grafem yang menggunakan ejaan <ch> seperti <Cheras>, <Puchong>, dan <Kuching> yang terpaksa dikekalkan. Begitu juga dengan ejaan "Ipoh" (sepatutnya Ipuh) yang diminta oleh Kerajaan Negeri Perak supanya dikekalkan. Kami juga mencadangkan nama-nama yang dieja menurut ejaan Inggeris seperti <Klang> dan <Trengganu> diubah menjadi Kelang dan Terengganu. Walau bagaimanapun, hanya Terengganu sahaja yang menunjukkan hasil positif. Klang tetap Klang, dan demikian juga nama-nama tempat yang serupa itu. Berikutan hal tersebut, tatanama geografi yang telah wujud sebelum tahun 1972 dikekalkan ejaan asalnya. Penamaan nama tempat sekarang perlu mengikut ejaan bahasa Melayu yang telah diselaraskan. | Lain-lain | 26.10.2017 |
Salam Tuan/Puan Bolehkah pihak DBP memberi komen kepada hasil nukilan saya seperti di bawah. Untuk pengetahuan pihak DBP saya tidak berapa pasti apakah hasil nukilan saya ini puisi atau sebaliknya. Saya juga ingin mendapatkan komen daripada pihak DBP sama ada hasil nukilan ini layak untuk di siarkan di mana-mana majalah atau surat khabar. Terima kasih dengan komen yang akan diberikan. Anak-anakku kau umpama cahaya matahari Yang tidak pernah jemu menyinari bumi Begitu juga kalian menyinari kehidupan ayah dan umi Anak-anakku Kecerian terpancar di wajah dan senyum di bibir kalian Sungguh mendamaikan dan menyejukkan umpama air sungai yang mengalir tenang Anak-anaku Kaulah harta yang paling bernilai di dunia ini Diri kalian tidak boleh di jual beli Jika hilang tidak akan muncul kembali Anak-anakku tanpamu kalian di sisi umpama langit yang gelap yang tidak berbintang penuh diselubungi awan hitam Anak-anakku Ayah dan ibu sentiasa mendoakan kesejahteraan kalian Agar menjadi anak-anak yang soleh dan taat Dengan perintah Tuhan | Waalaikumsalam puan, Bagi mendapatkan sebarang ulasan entang hasil nukilan puan, sebaik-baiknya puan hantarkan puisi tersebut mengikut format puisi yang sebenar kepada e ditor Dewan Sastera di Bahagian Majalah DBP, atau fadhli@dbp.gov.my. Setiap puisi yang dihantar perlu dinilai terlebih dahulu oleh editor bagi memastikan bahawa puisi tersebut menepati kriteria yang ditetapkan dan sesuai untuk diterbitkan.Terima kasih. | Lain-lain | 30.11.2013 |