kenapa kata hubung dalam tajuk tidak ditulis dengan huruf besar.Begitu juga dengan bin dan binti pada nama seseorang juga ditulis dengan huruf kecil | Dalam Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu, kata hubung dan kata sendi nama ditulis dengan huruf kecil. Hal itu telah disepakati dalam kalangan penyusun Pedoman. Oleh itu, penulisan pada hari ini mengikut pedoman yang telah ditetapkan. | Ejaan | 07.05.2012 |
SAYA INGINKAN PENCERAHAN, APAKAH MAKSUD LAMAN WEB PRPM DARI SUDUT FUNGSINYA DALAM PENDIDIKAN? APAKAH PERANAN LAMAN WEB INI DALAM DUNIA ICT PENDIDIKAN? | Laman PRPM menyediakan data kebahasaan dan kesusasteraan daripada pelbagai sumber meliputi Kamus Dewan, Kamus Pelajar, Kamus Inggeris-Melayu Dewan, istilah dalam pelbagai bidang termasuklah istilah yang disepakati di peringkat MABBIM, ensiklopedia, puisi, bahasa sukuan (suku kaum di Sabah dan Sarawak), peribahasa dan sebagainya. Kepelbagaian sumber data ini memberikan impak yang sangat besar kepada dunia pendidikan kerana sebahagian besar pelajar merujuk Kamus Dewan dan Kamus Pelajar dan kini mereka boleh menyemaknya secara dalam talian. Justeru, PRPM menjadi antara laman web kerajaan yang popular yang kerap dilayari oleh para pengguna. Untuk maklumat lanjut, tuan boleh berhubung dengan pegawai di Bahagian Sistem Maklumat, DBP, Puan Norawati melalui e-mel norawati@dbp.gov.my atau di talian 03-21479000. | Lain-lain | 18.04.2014 |
Tiadakah perkataan lain bagi 'WEB' yang dapat direka oleh DBP selain daripada Sesawang? Kenapa tidak Suang atau swang ? Kenapa mesti sesawang? Perlukah kita menyamakan perkataan WEB itu dengan Sawang? Adakah DBP sekarang ini kurang kreatif? | Perkataan bahasa Melayu yang sesuai bagi perkataan web ialah sesawang. Untuk pengetahuan saudara/ saudari, pembinaan istilah dilakukan oleh Jawatankuasa Peristilahan DBP dan penyelarasan istilah disepakati oleh tiga buah negara anggota MABBIM, Malaysai, Indonesia dan Brunei. Harap maklum. | Makna | 18.06.2008 |
Penggunaan kata "Yang" dalam tajuk. Adakah huruf pertama perkataan "Yang" perlu menggunakan huruf besar bila digunakan dalam tajuk? Contohnya tajuk buku "Pujangga yang Malang", adakah perkataan yang dihuruf-besarkan menjadi "Pujangga Yang Malang"? Boleh berikan contoh lain? Terima kasih. | Dalam Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu, kata hubung dan kata sendi nama ditulis dengan huruf kecil. Hal itu telah disepakati dalam kalangan penyusun Pedoman. Oleh itu, penulisan pada hari ini mengikut pedoman yang telah ditetapkan. Contoh penulisan tajuk yang betul ialah: Pujangga yang Malang atau PUJANGGA YANG MALANG. | Tatabahasa | 16.04.2018 |
Assalamualaikum. Saya ada pertanyaan dengan penggunaan istilah "parkir". Mengapakah mudahnya kita menerima penggunaan istilah "parkir" sebagai pengganti kepada "tempat letak kereta". Sepatutnya DBP perlu teguh dan tegas dalam mengekalkan penggunaan istilah "tempat letak kereta" bagi memelihara keaslian bahasa Melayu. Peminjaman istilah hanyalah perlu apabila tiada istilah yang sesuai atau paling hampir dengan perkataan bahasa asing yang dirujuk. Adakah semudah itu untuk kita menerima perkataan asing untuk dimasukkan dalam bahasa Melayu apabila istilah itu lazim digunakan? Sekian. | Istilah "parkir" kata padanan "parking" (istilah sumber bahasa Inggeris) telah diterima dalam bidang Pertanian yang disepakati Majlis Antarabangsa Bahasa Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia (MABBIM). Istilah "parkir" tidak digunakan/dipilih dalam istilah bidang lain, seperti Ekonomi, Kesenian dan Kejuruteraan. "Parkir" merupakan kata serumpun (bahasa Indonesia/Belanda) yang membawa maksud yang sama dengan "tempat letak kereta/kenderaan". Memandangkan kata "parkir" lebih ringkas dan sudah difahami masyarakat di negara ini, maka penggunaan kata ini lebih gemar digunakan berbanding "tempat letak kereta/kenderaan". Perkembangan bahasa telah menyebabkan masyarakat di negara ini memiliki lebih daripada 120 ribu kata bahasa Melayu (kata umum, istilah, kata pinjaman, dialek, bahasa sukuan dan bahasa serumpun) dan setiap warganegara berhak memilik kata yang sesuai untuk digunakan mengikut konteks penggunaannya. | Istilah | 20.06.2024 |
Assalamualaikum, salam sejahtera, sebelum ini saya ada bertanya berkaitan perkataan "jentu" dan "pedunkel". Saya sedia maklum yang "pedunkel" tidak merujuk khusus pada tangkai bunga tetapi juga anatomi pada tubuh badan. Tapi adakah "jentu" di sini boleh merujuk pada "pedunkel" yang ada pada tumbuhan berdasarkan huraiannya iaitu, "jentu" merujuk pada "tangkai yang terbesar pada gubahan bunga" (di mana "gubahan bunga" boleh merujuk pada "infloresens"), sedangkan "pedunkel" pula adalah "tangkai induk yang menyokong infloresens"? | Penggunaan kata "jentu" bagi makna "pedunkel" pada tumbuhan perlu dipersetujui dan disepakati oleh pakar bidang tersebut dan pakar bahasa. Walaupun, makna kata ini mempunyai persamaan namun penerimaan dan perakamannya dalam sesebuah kamus perlu mendapat pengesahan pakar. Cadangan untuk menggunakan kata "jentu" ini dalam penulisan ilmiah atau dalam penyebaran ilmu dan sebagainya adalah baik, namun maknanya perlu diberikan takrifan baharu seperti "pedunkel" yang berbeza daripada makna "jentu" sekarang (terhad kepada makna untuk gubahan bunga; bukan tumbuhan yang asli). | Makna | 29.05.2023 |
Assalamualaikum, boleh nyatakan apakah cabaran-cabaran yang dihadapi oleh DBP dalam memertabatkan bahasa Melayu di Malaysia? dan apakah cabaran yang paling utama sehingga mengkehendaki DBP meneruskan program-program memertabatkan bahasa Melayu terutama sekali di bawah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera? Terima Kasih. | Banyak cabaran yang dihadapi oleh DBP khususnya dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di negara ini. Antara faktor utama ialah isu globalisasi yang mementingkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai ranah kehidupan. Ditambah pula, dengan kewujudan institusi pendidikan swasta yang seolah-olah meminggirkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikannya. Oleh itu, DBP mengharapkan pihak yang berwewenang perlu memahami dan komited dalam menjayakan dasar bahasa negara. Apatah lagi bahasa Melayu telah disepakati sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Untuk maklumat lanjut, tuan perlu membuat kajian dan pembacaan yang banyak. Soalan yang berbentuk tugasan sebegini tidak dapat diselesaikan dalam ruang yang terhad ini.
| Lain-lain | 17.03.2014 |
"Obor-obor" (ejaan perkataan yang digunakan merata-rata) tiada dalam Kamus Bahasa Melayu - kerana rupa-rupanya, ejaan sebenarnya ialah "ubur-ubur". Tapi di bahagian Istilah MABBIM, perkataan "obor-obor" pula digunakan. Boleh beri pencerahan tentang ejaan ini? Terima kasih. | Menurut kamus terbitan terkini DBP; Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020; 1554 dan 2454): obor-obor ► ubur-ubur ubur-ubur1 kata nama haiwan laut tidak bertulang belakang, berbadan lembut dan kebanyakannya lut sinar, bentuk badannya seperti payung yang terbuka, bersesungut terjurai ke bawah, dan sesetengah spesies mempunyai sengat yang beracun untuk menangkap mangsa dan mempertahankan diri; sinonim: ampai-ampai; lambur; Nama saintifik: Rhopilema esculenta Kata padanan bagi jelly fish yang telah disepakati MABBIM juga pengesahan pakar bidang Perikanan, Sains Marin dan Geografi ialah ubur-ubur atau ampai-ampai. Kami mengambil maklum tentang hal ejaan kata ini. | Ejaan | 24.05.2023 |
As-salamu alaykum. Terima kasih kerana sudi menjawab soalan-soalan saya sebelum ini di ruangan yang sama. Bolehkah pihak tuan, puan berikan saya senarai sebanyak yang mampu bagi perkataan-perkataan yang perlu digunakan dalam huruf kecil di sebuah tajuk? Terima kasih. | Pihak kami tidak mempunyai data berkenaan senarai perkataan yang perlu ditulis dengan huruf kecil dalam tajuk. Walau bagaimanapun, berdasarkan Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu, kata hubung dan kata sendi nama perlu ditulis dengan huruf kecil. Hal tersebut telah disepakati dalam kalangan penyusun Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu berkenaan. Sehubungan dengan itu, penulisan tajuk pada hari ini mengikut pedoman yang telah ditetapkan. Contoh penulisan tajuk, Perjuangan Utara dan Selatan, Kisah Sang Kancil dan Arnab Berlumba Lari di Gunung dan Pujangga yang Malang. | Tatabahasa | 07.11.2021 |
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Berikut merupakan dua pertanyaan untuk tugasan latihan penyuntingan saya: 1. Bagaimana untuk menyemak ejaan sebenar istilah-istilah / perkataan yang biasa digunakan dalam media sosial contohnya 'pishang', 'meleis', 'astaga' dsb. 2. Adakah dalam penyuntingan, perkataan-perkataan dalam bahasa Inggeris perlu diterjemahkan semula ke dalam bahasa Melayu atau hanya terdapat sebilangan kecil sahaja mengikut kesesuaian penggunaannya dalam teks? Contohnya, "At least, kau dah usaha sehabis baik." Dalam dunia penerbitan, penting juga untuk kita mengambil kira perkataan atau ayat yang perlu dikekalkan keasliannya dan tak sepenuhnya ditukar ke dalam bahasa Melayu standard bukan? Mohon pencerahan. Terima kasih. Nur Amanina binti Suhaimi Akademi Pengajian Bahasa UiTM Shah Alam | Puan, laman PRPM menyediakan data kebahasaan dan kesusasteraan daripada pelbagai sumber meliputi Kamus Dewan, Kamus Pelajar, Kamus Inggeris-Melayu Dewan, istilah dalam pelbagai bidang termasuklah istilah yang disepakati di peringkat MABBIM, ensiklopedia, puisi, bahasa sukuan (suku kaum di Sabah dan Sarawak), peribahasa dan sebagainya. Kepelbagaian sumber data ini memberikan impak yang sangat besar kepada dunia pendidikan kerana sebahagian besar pelajar merujuk Kamus Dewan dan Kamus Pelajar dan kini mereka boleh menyemaknya secara dalam talian. Justeru, PRPM menjadi antara laman web kerajaan yang popular yang kerap dilayari oleh para pengguna. Kita seharusnya menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan baik. Bahasa yang bercampur aduk ialah bahasa rojak. Bahasa rojak ialah bahasa yang bercampur aduk kata-kata yang digunakan oleh penuturnya (misalnya seketika menggunakan kata-kata dalam bahasa Melayu dan seketika lagi menggunakan kata-kata dalam bahasa Inggeris). Penggunaan bahasa rojak menunjukkan penguasaan seseorang penutur bahasa Melayu sangat lemah dan tidak mempunyai semangat cintakan bahasa kebangsaan.
| Lain-lain | 03.10.2017 |