bagaimana saya boleh menghantar karya saya ? contohnya sajak gurindam dan sebagainya | Karya saudara hendaklah dihantar kepada Ketua Bahagian Majalah, Aras 20, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. Karya saudara hendaklah ditaip di atas kertas kuarto berwarna putih, dan ditaip jarak langkau dua baris. Sila nyatakan nama majalah(Tunas Cipta, Dewan Budaya, Dewan Sastera, Dewan Siswa dll) pada sampul surat dan maklumat peribadi pada surat iringan. | Lain-lain | 06.03.2009 |
Assalamualaikum tuan/puan, saya mohon bertanya bagaimana untuk menulis sekiranya bentuk perkataannya ada sempang @ palang seperti di dalam ayat di bawah : Per : Kelulusan Jawatankuasa Latihan Bagi Semua Program/Aktiviti Latihan Peingkat Dalaman/Luaran Di UiTM (Pahang) Adakah perkataan - program/aktiviti ditaip seperti di atas atau sepatutnya (yang betul) ditaip seperti ini - program / aktiviti (ada jarak antara perkataan dan sempang)? Terima kasih | Kelulusan Jawatankuasa Latihan bagi Semua Program/Aktiviti Latihan Peringkat Dalaman/Luaran di UiTM Pahang. | Tatabahasa | 16.04.2015 |
apa maksud kata kunci | Perkataan atau frasa yang ditaip dalam kotak carian untuk mendapatkan teks di dalam sesuatu laman web. Teks ini dicari secara terus di dalam sesuatu laman web yang sedang dilayari. Kata kunci juga digunakan dalam enjin pencari seperti Yahoo dan Google untuk mendapatkan maklumat dari tapak-tapak web dalam Internet. | Istilah | 11.10.2009 |
salam, mohon semakan ayat sama ada betul atau tidak. "Beberapa perenggan karangan yang ditaip menggunakan perisian microsoft word itu perlu dihighlight secara menyeluruh untuk memudahkan proses memadam" Adakah penggunaan perkataan "dihighlight" dalam ayat diatas betul? Jika salah mohon bantuan pembetulan. terima kasih. | Kami tidak pasti perkara yang dimaksudkan. Walau bagaimanapun, ada beberapa padanan bahasa Melayu untuk "highlight" dalam pangkalan data DBP, iaitu menandai, menyerlahkan, menonjolkan dan menekankan. | Istilah | 10.03.2016 |
Salam sejahtera, Jawapan terdahulu DBP menyatakan 'bedah' itu merupakan antaranya kata kerja. Sekiranya ditaip 'bedah' pada ruang carian PRPM, di bahagian Tesaurus, 'bedah' ditakrifkan sebagai Kata Terbitan pula. Soalan saya: Apakah kelas kata yang utama bagi perkataan bedah? Contohnya dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia, jelas dapat dilihat 'bedah' mempunyai 2 entri. Entri pertama menyatakan 'bedah' ialah kata nama, kemudian kata terbitan lain mempunyai kelas kata yang lain ('membedah' = kata kerja, dsb.). Entri kedua menyatakan 'bedah' ialah penggunaan bahasa Jawa dan maklumat selanjutnya diberikan. Dalam ertikata lain, sekiranya saya ditanya oleh penutur Cina yang ingin belajar bahasa Melayu apakah kelas kata bagi perkataan 'bedah', apakah jawapan saya pada beliau? Penjelasan dari pihak DBP amat dihargai. Terima kasih. | Istilah lazimnya dalam bentuk kata nama seperti "bedah", iaitu kata tunggal (tanpa imbuhan) yang merupakan salah satu bentuk istilah. Pada ruangan tesaurus di PRPM, kata bedah dinyatakan sebagai kata tunggal, manakala di bawahnya ialah bentuk terbitan, iaitu membedah, pembedahan dll. Kata terbitan perlu ada imbuhan, oleh itu bedah bukan kata terbitan dan dalam konteks istilah ia menjadi kata nama dan istilah bagi bidang perubatan. Untuk penerangan umum, kata bedah ialah kata tunggal yang membawa maksud cara menyembuhkan penyakit dengan cara memotong dll. (rujuk makna kamus atau PRPM). Apabila diberikan imbuhan "me" menjadi kata kerja, iaitu membedah yang juga kata terbitan. | Istilah | 08.02.2012 |
kekeliruan tentang surat rasmi kerajaan. Adakah tarikh dan bilangan rujukan perlu ditulis tangan atau ditaip komputer. Adakah menjadi kesalahan sekiranya tarikh dan no rujukan di taip menggunakan komputer. Sekian terima kasih. | Tidak menjadi kesalahan menulis tarikh dan nombor rujukan dengan komputer, malah keseluruhan penulisan kelihatan lebih kemas. | Lain-lain | 21.06.2011 |
Apakah perbezaan antara surat peringatan dan surat amaran? Perlukan perkataan "Tuan,Puan Tuan/Puan dan Syarikat" ditaip dengan huruf besar dipangkal perkataan. | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat Peringatan ialah hal memberi ingat, memberi nasihat dll utk mengingatkan. Manakala amaran membawa maksud perintah, suruhan; 2. peringatan (yg keras). Di sini dapat dilihat perbezaan antara surat peringatan dengan surat amaran. Di pangkal perkataan wajib ditulis dengan huruf besar bagi permulaan ayat. manakala di tempat lain hanya huruf kecil. Syarikat pula kalau ditulis bersama nama syarikat perlu huruf besar tetapi huruf kecil jika syarikat sahaja. | Ejaan | 04.08.2012 |
Dalam senarai nama individu/pegawai, penggunaan singkatan Encik/Puan adalah En./Pn. Persoalannya, adakah betul jika dalam senarai nama penggunaan singkatan Encik 'En.' sahaja dibenarkan manakala Puan haruslah ditaip penuh Puan tanpa singkatan 'Pn.' Mohon penjelasan kerana ada beberapa pegawai di sini mengatakan sedemikian selepas mendengar ceramah penulisan daripda wakil DBP. Sekian. | Yang paling baik ialah menulis penuh ejaan tersebut, bagaimanapun jika ada keperluan untuk menggunakan singkatan tulislah En. dan Pn. sebagaimana Encik boleh disingkatkan kepada En., begitu juga Puan boleh disingkatkan kepada Pn. | Tatabahasa | 15.11.2016 |
1. Bagaimanakah dengan kosa kata~ 'jawaban' dengan 'jawapan'? 2. Adakah jawaban untuk menjelaskan apa-apa yang dijawab dengan secara spontan, manakala ' jawapan' untuk menjelaskan bahagian jawapan yang ditulis atau yang ditaip? | Untuk makluman, jawapan dan jawaban boleh digunakan dan merupakan varian. Jawaban adalah betul dari segi morfologi manakala jawapan pula diterima pakai disebabkan kelaziman penggunaannya. Kamus Dewan Edisi Keempat menjadikan jawapan sebagai subentri kepada jawab. | Tatabahasa | 01.10.2015 |
Adakah benar bahawa iklan yang dikemukakan dalam bahasa Inggeris mesti diterjemah ke bahasa Malaysia? Saya dari bahagian Marketing Department dari syarikat Intel dan telah diberitahu oleh pelanggan saya bahawa teks yang ditaip dalam bahasa Inggeris mesti ditukar seperti yang berikut: Up to IntelĀ® CoreTM i7 processor --> Naik Taraf Pemproses IntelĀ® CoreTM i7 Adakah Tuan/Puan mempunyai sebarang dokumen atau arahan yang membuktikan langkah ini adalah wajar dan mesti diikuti oleh pelanggan saya? Hal ini sebab syarikat saya mesti ada bukti yang kukuh kalau pihak audit hendak tanya/periksa tentang hal ini pada masa akan datang. Harap boleh dapat jawapan daripada pihak tuan secepat mungkin. Sekian, terima kasih. | Setiap iklan yang dipaparkan tertakluk pada Undang-undang Kecil Iklan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Undang-undang kecil iklan ini menetapkan perkara yang hampir sama, iaitu semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan, sama ada bahasa kebangsaan sahaja atau bahasa kebangsaan dengan bahasa lain. Selain itu, Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menetapkan setiap papan iklan hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan sama ada bahasa kebangsaan sahaja atau bahasa kebangsaan dengan bahasa lain. Perkataan bahasa Melayu hendaklah diutamakan dari segi saiz, warna dan kedudukan perkataan berbanding bahasa lain. Malah penggunaan bahasa Melayu hendaklah dipastikan betul dan tepat dari segi penggunaan perkataan, susunan ayat, ejaan, tatabahasa dan sebagainya. Penggunaan bahasa yang betul hendaklah dirujuk dan mendapat pengesahan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bagi papan iklan premis perniagaan pula, Jabatan Kerajaan Tempatan mengeluarkan pekeliling tentang “Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan”. Garis panduan ini jelas turut menetapkan keterangan perniagaan sama ada produk atau perkhidmatan yang mesti mengutamakan bahasa kebangsaan dari segi saiz, warna dan kedudukan. Baik Undang-undang Kecil Iklan PBT atau garis panduan, secara teorinya, semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan semata-mata atau jika terdapat dwibahasa, bahasa kebangsaan mesti diutamakan. | Lain-lain | 20.02.2020 |