"saudara anjing = adik beradik satu ibu tapi berlainan bapa" DBP tidak terfikirkah untuk memansuhkan peribahasa ini dan digantikan dengan peribahasa yang lebih elok bunyinya? Ini kerana peribahasa ini memberikan implikasi negatif kepada sesiapa sahaja yang digelar sedemikian rupa. Walaupun ia dicipta oleh orang dulu-dulu namun tidak semestinya ia elok digunakan untuk zaman ini dan tidak salah untuk ia dimansuhkan. | Untuk makluman, peribahasa merupakan warisan yang diwarisi sejak turun-temurun dan bukannya direka pada masa kini. Pihak DBP hanya merakamkan warisan tersebut supaya tidak pupus ditelan zaman dan kami tidak mempunyai kuasa untuk memansuhkan atau menggantikan peribahasa tersebut dengan perkataan lain walaupun bagi sesetengah pihak, peribahasa tersebut kurang sesuai digunakan. | Sastera | 17.08.2017 |
'Dulu' ialah bahasa percakapan untuk 'dahulu' tetapi, penggunaannya lebih meluas dalam masyarakat. Apa proses yang perlu berlaku untuk 'dulu' dapat digunakan dalam penggunaan urusan rasmi? Hal yang sama juga ingin saya tanyakan dengan bahasa percakapan yang lain. | Perkataan “dulu” ialah bahasa percakapan dan bahasa percakapan tidak digunakan dalam penulisan atau urusan rasmi. Untuk urusan rasmi, perkataan yang betul ialah “dahulu”. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web PRPM. | Tatabahasa | 12.08.2022 |
antara soalan berikut yang manakah boleh digunakan. 1. saya balik dulu. 2. saya balik dahulu. dan pertanyaan lain ialah... apa beza antara dulu dengan dahulu?? | Ayat dan ejaan yang betul ialah "Saya balik dahulu", dulu lazimnya digunakan dalam bahasa percakapan dan dahulu ialah kata yang digunakan dalam konteks rasmi dan penulisan. | Tatabahasa | 27.05.2011 |
Adab dahulu, baru ilmu ATAU Adab dulu, baru ilmu ATAU Adab dahulu baharu ilmu? | Perkataan “dulu” dan “dahulu” membawa maksud yang sama, iaitu antaranya merujuk kepada masa yang lalu, sebelum melakukan perkara yang lain, lebih awal atau lebih cepat dan sebagainya. Oleh yang demikian, penggunaan perkataan “dulu” atau “dahulu” boleh digunakan dalam ayat yang diberikan berdasarkan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 549 - 550 dan 466 - 467. Perkataan “baru” atau “baharu” membawa maksud yang sama, namun perlu digunakan bersesuaian dengan konteks tertentu dalam ayat. Ayat “Adab dahulu, baru ilmu.” dicadangkan untuk digunakan berdasarkan contoh rujukan dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 213. Antara contoh lain bagi penggunaan perkataan “baru-baru” dan “baru” ialah “Dia teringat kisah lucu ketika baru-baru berumah tangga dahulu.” dan “Peristiwa itu baru sahaja berlaku semalam.”, manakala contoh penggunaan perkataan “baharu” ialah “Pembukaan kawasan penempatan baharu yang lebih tersusun.” dan “Seramai 230 orang pelajar baharu telah mendaftar di institusi berkenaan.” Sila rujuk juga halaman 176, Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021).
| Tatabahasa | 05.09.2025 |
Jika dulu perkataan 'keberkesanan' sering digunakan. Kini perkataan 'keberhasilan ' pula dipopularkan. Adakah perkataan seperti 'kebersebaban', 'kebersahihan', 'kebergunaan', 'keberlebihan' dan keberimpakan boleh digunakan ? | Kata terbitan kebersebaban dan kebergunaan ada digunakan dalam kamus dan istilah DBP, keberlebihan - tidak terdapat contoh penggunaannya dalam kamus tetapi kata terbitan ini boleh dibentuk kerana ada kata kerja berlebihan, walau bagaimanapun tidak terdapat contoh penggunaan kata kebersahihan dan keberimpakan dalam sumber rujukan kami. | Tatabahasa | 17.04.2010 |
Betulkah penggunaan ayat berikut: "Jangan bersifat jahil seperti saya yang masa dulu." Saya musykil dengan "yang masa dulu" (untuk membawa maksud "like me last time") Bolehkah tuan/puan mengesahkan penggunaannya atau membetulkan ayat tersebut? Terima kasih | Ayat tersebut ialah rakaman bahasa percakapan, ayat yang gramatis "Jangan jahil seperti perbuatan saya pada masa dulu." | Tatabahasa | 01.09.2016 |
Apakah perbezaan makna antara perkataan DAHULU dengan DULU.Bagaimanakah cara penggunaannya dan Saya amat berbesar hati jika Tuan dapat memberi contoh ayatnya. Yang mana satu lebih bagus dari segi ayatnya; (a) Terlebih dulu, Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas segala usaha yang telah diambil untuk meningkat produktiviti... (b) Terlebih dahulu, Saya ingin mengucapkan..... | Dulu ialah bahasa percakapan bagi dahulu. Oleh itu, dalam situasi rasmi kata dahulu yang digunakan. | Tatabahasa | 11.09.2009 |
Apakah kelas kata bagi "kelmarin dulu"? | Kelas kata bagi "kelmarin dulu" ialah adverba. | Tatabahasa | 07.02.2015 |
Salam sejahtera Tuan, apakah perbezaan di antara perkataan 'dulu' dan 'dahulu'? Terima kasih. | Dulu ialah bahasa percakapan dahulu, oleh itu dalam penulisan/situasi rasmi kata dahulu yang digunakan. | Lain-lain | 10.05.2010 |
Apa istilah yang sesuai untuk diterjemahkan bagi ayat tersebut? "Kau yang mulakan dulu. Sekarang, kau nak 'play victim' pula?" | Cadangan terjemahan yang sesuai ialah "Kau yang mulakan dulu. Sekarang, kau nak acah-acah jadi mangsa pula?" | Penyemakan dan penterjemahan | 24.09.2022 |