salam saya ingin menrealisasikan Koperasi E-Sukan Selangor tetapi KKM mengatakan E-Sukan tidak wujud dalam kamus dewan bahasa. http://www.e-sukan.com/ - disokong oleh KBS mohon bantuan pihak tuan | Untuk makluman, perkataan e-sukan tiada dalam pangkalan data kami. Sila berikan maklumat lebih lanjut mengenai perkataan "e-sukan" dan huruf "e" tersebut. Untuk makluman, huruf "e' tersebut hanya diterima sekiranya huruf tersebut merujuk kepada perkataan "elektronik". Contohnya: e-kerajaan | Lain-lain | 26.11.2015 |
Salam, e-Sukan (juga dikenali sebagai eSports , adalah permainan berdaya saing melalui(video games). e-Sukan = Sukan elektronik, boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk sukan di mana aspek-aspek utama sukan ini dipermudahkan oleh sistem elektronik(berkomputer dan melalui internet) rujukan wikipedia https://en.wikipedia.org/wiki/Esports sila rujuk kepada rekod pertanyaan saya sebelum ini | Sekiranya "e-sukan" merujuk kepada sukan elektronik, istilah e-sukan boleh digunakan. Walau bagaimanapun, perkataan "sukan" mesti ditulis dengan huruf kecil "s" kerana perkataan "sukan" bukannya kata nama khas. Contoh lain seperti e-kerajaan dan e-tadbir urus. | Istilah | 27.11.2015 |
Salam, Mohon jasa baik tuan/puan untuk memberikan padanan bahasa Melayu bagi entri-entri bahasa Inggeris dalam bidang Sains Sukan yang dilampirkan. Terima kasih | Kami memerlukan sedikit masa untk menyemak senarai yang tuan berikan. Jawapan tersebut akan di-e-mel terus kepada tuan. | Penyemakan dan penterjemahan | 01.07.2015 |
Saya ingin memohon DBP menyemak terjemahan bagi kaedah senaman yang dilampirkan. Semua istilah ini digunakan dalam bidang sains sukan dan tiada dalam kamus dan carian google. Terima kasih. | Senarai yang dilampirkan akan disemak oleh pihak kami dalam tempoh dua minggu, dan akan di-e-melkan kembali kepada pihak puan. | Penyemakan dan penterjemahan | 30.07.2015 |
Contoh ayat : Atlet Malaysia yang merangkul pingat emas dalam Sukan Olimpik itu meraih wang tunai berjumlah satu juta Ringgit Malaysia. Soalan : Bagaimanakah cara penulisan untuk 'satu juta Ringgit Malaysia'? a. 1 juta ringgit b. 1 Juta Ringgit c. satu juta ringgit d. Satu Juta ringgit c. Ringgit Malaysia satu juta d. Ringgit Malaysia Satu Juta e. RM 1 Juta f. RM 1 juta g. RM 1000,000 mengapa? | Untuk makluman, tidak ada format yang ditetapkan berkenaan cara penulisan angka. Walau bagaimanapun, kami di Dewan Bahasa dan Pustaka menjadikan buku Gaya Dewan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai panduan. Buku berkenaan menjelaskan sekiranya hendak menyatakan jumlah ringgit yang besar, eja unit bagi jumlah yang lebih daripada RM1 juta, atau turunkan semula nombor dengan menjarakkan setiap kelompok tiga digit terakhir. Namun demikian, jumlah tersebut boleh dieja sepenuhnya mengikut kesesuaian. Contoh: 1. RM1 juta 2. RM1 000 000.00 | Ejaan | 11.03.2020 |
Salam Sejahtera. Saya dalam proses penulisan sebuah buku yang berkonsep fakta berkaitan dengan bidang sukan. Saya ingin nasihat daripada DBP untuk beberapa perkara; 1. Adakah DBP mempunyai perkhidmatan utk menyemak dan membetulkan tulisan saya.? Jika ya berapa kos? 2. Adakah DPB mempunyai translator utk menterjemahkan tulisan saya kepada Bahasa Inggeris? 3. Adakah DBP mempunyai perkhidmatan menyemak kualiti penulisan terutama dalam pengolahan ayat dan peggunaan bahasa? 4. Adakah DBP akan menyemak kejituan fakta yg saya menulis? 5. Bolehkah DBP mencetak dan memasarkan buku saya? Terima Kasih. | Untuk makluman tuan, DBP hanya bertanggungjawab terhadap manuskrip atau judul untuk terbitan DBP. Oleh itu, kami tidak menyediakan perkhidmatan menyemak atau menyunting karya individu atau terbitan luar. Tuan boleh menghantar manuskrip yang lengkap kepada Pengarah Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk diusahakan oleh Bahagian Penerbitan yang sesuai. Beliau juga boleh dihubungi melalui talian 03-21479000/01/02 atau e-mel khalik@dbp.gov.my (Tuan Haji Khalik bin Sulaiam). Manuskrip lengkap mestilah mengandungi: (i) bahan awalan (ii) bahan teks (iii) bahan akhiran Untuk mengetahui lebih lanjut akan maklumat yang perlu ada dalam setiap bahan itu, tuan boleh merujuk buku Gaya Dewan Edisi Ketiga terbitan DBP. Setiap halaman manuskrip perlu diberikan nombor secara berturutan. Setiap manuskrip yang dihantar ke DBP akan melalui beberapa peringkat penilaian dan hanya jika didapati sesuai baru boleh diterbitkan oleh DBP. | Lain-lain | 18.12.2016 |
1. Apakah kesalahan dalam ayat berikut, mengapa? -Ikan-ikan laga peliharaannya semuanya sihat-sihat kerana mendapat penjagaan yang rapi. 2. Tolong pilih ayat yang betul daripada tujuh ayat di bawah dan terangkan kesalahan berkenaan. a) Adalah dimaklumkan bahawa majlis makan malam yang dicadangkan telah dibatalkan. b) Semua pelajar diminta hadir ke sekolah pada petang ini untuk latihan sukan. c) Ibu Laila menjual mi goreng pada waktu petang digerainya. d) Dalam ingatan saya, dia jarang mengambil cuti sejak dia bekerja di sini. e) Baju yang cantik-cantik itu menyebabkan saya rambang mata. f) Hujan lebat menyebabkan projek melebarkan jalan raya di kawasan itu tergendala. g) Remaja memerlukan rakan sebaya yang dapat membincang dan memberikan idea yang bernas untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu. 3. Manakah frasa yang betul? Kesalahan penagihan dadah, atau kesalahan menagih dadah? Projek menceriakan sekolah, atau projek penceriaan sekolah? Projek melebarkan jalan raya, atau projek pelebaran jalan raya? TERIMA KASIH BANYAK BANYAK | 1. Ikan-ikan laga peliharaannya semuanya sihat-sihat kerana mendapat penjagaan yang rapi. Ayat ini salah, kerana ikan-ikan telah menunjukkan jamak oleh itu, tidak perlu lagi diulang pernyataan jamak dengan perkataan semua. Ayat yan betul, "Ikan-ikan laga peliharaannya sihat-sihat kerana mendapat penjagaan yang rapi". 2. a) Adalah dimaklumkan bahawa majlis makan malam yang dicadangkan telah dibatalkan. - salah, kata pemeri "adalah" tidak diletakkan di pangkal ayat. b) Semua pelajar diminta hadir ke sekolah pada petang ini untuk latihan sukan. - betul. c) Ibu Laila menjual mi goreng pada waktu petang digerainya. salah, di gerainya (kata sendi di + tempat) d) Dalam ingatan saya, dia jarang mengambil cuti sejak dia bekerja di sini. - tidak gramatis, ganti nama dia kali kedua tidak perlu lagi. e) Baju yang cantik-cantik itu menyebabkan saya rambang mata. - tidak gramatis, kata adjektif cantik perlu digandakan. f) Hujan lebat menyebabkan projek melebarkan jalan raya di kawasan itu tergendala. - betul g) Remaja memerlukan rakan sebaya yang dapat membincang dan memberikan idea yang bernas untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu. - betul. 3. Kesalahan menagih dadah, Projek menceriakan sekolah, Projek melebarkan jalan raya. | Tatabahasa | 23.07.2009 |