saya di faham kan untuk meletak sign board di depan pintu pejabat saya perlu kelulusan DBP. macam mana say nak buat untuk mendapat kelulusan tersebut? sign board hanya ada logo & nama syarikat | Untuk makluman tuan/puan, permohonan pengesahan bahasa Melayu dalam iklan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web dbpsahbahasa.my. Sila Daftar Akaun (rujuk Panduan Pelanggan) dan aktifkan akaun. Log masuk setelah akaun diaktifkan. Pilih DAFTAR PERMOHONAN > DAFTAR IKLAN, isi maklumat permohonan, Jenis iklan: Papan premis kedai/pejabat/syarikat (atau yang berkaitan), pilih PBT dan klik “Pilih”. Pastikan Jumlah bayaran menjadi RM10.00 atau RM30.00 bergantung pada jenis iklan yang dipilih. Sila muat naik visual iklan mengikut format, klik SIMPAN. Makluman Tahniah Pendaftaran Iklan XXX Berjaya akan dipaparkan. Sila buat bayaran setelah menerima makluman tersebut supaya iklan dapat diproses dalam tempoh tiga hari bekerja.
| Lain-lain | 11.12.2024 |
Tuan, dalam ayat di bawah, kata sendi nama "akan" atau "kepada" lebih tepat digunakan? 1. Saya tidak faham akan/kepada maksudnya. 2. Saya tidak faham akan/kepada soalan ini. Dalam Tatabahasa Dewan, ditetapkan kata sendi nama "akan" digunakan di belakang kata adjektif perasaan seperti benci, berahi, cinta, sayang, dan kasih. Jelas dilihat bahawa "faham" bukan kata adjektif perasaan. Saya pun tidak mengetahui sama ada "faham" ialah kata kerja atau kata adjektif, tuan tolong beritahu saya apakah golongan kata bagi perkataan "faham". Jadi, kerana "faham" bukan kata adjektif perasaan, kata sendi nama "kepada" lebih sesuai, kan? Kata sendi nama "akan" hanya digunakan untuk kata adjektif perasaan, tetapi kata sendi nama "kepada" pula digunakan untuk menunjukkan sasaran, dan sasaran itu boleh berbentuk abstrak, tidak dapat dilihat. Oleh itu, saya berasa bahawa frasa yang betul ialah "faham kepada soalan/maksudnya". Apakah pandangan tuan pula? | Berdasarkan Tatabahasa Dewan kata sendi nama "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Kata sendi nama "akan" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. Dalam konteks ayat "Saya tidak faham akan/kepada maksudnya", Saudara perlu melihat aspek makna keseluruhan ayat ini. Saudara tidak boleh terus menjustifikasikan "faham" sebagai bukan kata adjektif perasaan atau "faham" sebagai kata kerja. Perkataan "faham" boleh merujuk sifat yang memahami. Maka, frasa yang dicadangkan ialah "Saya tidak faham akan maksudnya". | Tatabahasa | 08.12.2014 |
Tuan, saya keliru dengan bentuk: 1. ber... + Kata Sendi Nama + meN...kan / meN... 2. ber... + Tidak Perlu Kata Sendi Nama + meN...kan / meN... Tuan faham akan soalan saya, kan? :) Bilakah perlu menggunakan bentuk 1, dan bila hendak menggunakan bentuk 2. Tolong! | Barangkali soalan yang tuan ingin kemukakan berkenaan kata kerja transitif. Kata kerja digolongkan kepada dua kumpulan utama: i. kata kerja transitif ii. kata kerja tak transitif. Kata kerja transitif ialah kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya.Cth. Murid sedang membaca buku; saya telah menjawab soalan sdr. Kata kerja transitif dapat dibahagikan kepada kata kerja yang berfungsi dalam ayat aktif dan kata kerja yang berfungsi dalam ayat pasif. kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. kata kerja tak transitif dapat dibahagikan kepada dua subgolongan. iaitu kata kerja tak transitif tanpa pelengkap dan kata kerja tak transitif berpelengkap. Cth. kata kerja tak transitif tanpa pelengkap: semua orang pulang.; adik saya masih tidur. Cth. kata kerja berpelengkap: keadaan bapanya beransur baik.; mereka tinggal di Kampung Paya. Untuk keterangan lanjut, sila dapatkan buku Tatabahasa Dewan Edisi, terbitan DBP. | Tatabahasa | 29.04.2014 |
Dalam kamus DBP "faham" dan "fikir" dimasukkan sebagai entri di bawah "faham: fikir". tetapi apabila mendapat imbuhan "faham" menjadi "memahami" dan "fikir" menjadi "memikirkan" seolah-olah daripada kata "paham" dan "pikir". Mengapakah /f/ itu tidak digantikan dengan /p/ sahaja? Mengapakah ini dijadikan satu kekecualian sedang kedua-dua kata sudah mantap dalam bahasa Melayu? | Rumus tatabahasa, kata dasar yang bermula dengan huruf f akan megalami pengguguran huruf pertama (f) dan digantikan dengan huruf m apabila menerima apitan me-...-i, me-...-kan, me-...-an. Hal kekecualian juga ditetapkan oleh penyusun buku tatabahasa kerana penggunaan yang sedia ada telah diterima dalam kalangan masyarakat. | Tatabahasa | 25.07.2012 |
Salam Sejahtera, Saya mengalami kekeliruan berhubung penggunaan imbuhan meN...i dengan imbuhan meN...kan. Kadang-kala saya faham penggunaannya dalam ayat namun menghadapi masalah untuk menjelaskan kepada para murid. Harap dapat memberi penjelasan berhubung perkara ini. Terima kasih. | Apitan meN...i biasanya diikuti objek yang bernyawa, contohnya; Ayah mengirimi Ali surat, manakala apitan meN...kan diikuti objek yang tidak bernyawa, contohnya; Ayah mengirimkan surat kepada Ali. Pada kelazimannya juga apitan meN...kan menunjukkan objek yang mengikutinya bergerak, contohnya; Ayah menaikkan tangga (tangga - objek bergerak), dan apitan meN...i menunjukkan objek yang mengikutinya itu tidak bergerak, contohnya Ayah menaiki tangga (tangga - tidak bergerak). Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 191 - 207. | Tatabahasa | 16.08.2010 |
saya ingin bertanya sekai lagi tentang memerhatikan dan memperhatikan... ap yang saya dapat memerhatikan berasal dari kata dasar perhati...apabila mendapat imbuhan meN-...-kan menjadi memerhatikan.saya sudah faham... tetapi, memperhatikan daripada pembacaan saya berasal dari kata dasar hati seterusnya memdapat imbuhan memper-...-kan untuk jadi memperhatikan. oleh itu, saya berpendapat perkataan memperhatikan tidak salah. apa yang berbeza adalah penggunaan perkataan tersebut dalam bentuk ayat yang berbeza. adakah betul hasil dapatan saya ini? | memperhatikan ialah kata terbitan daripada kata dasar hati dan ditambah apitan memper_kan, manakala memerhati ialah kata terbitan daripada kata dasar perhati dan ditambah awalan me_kan,dan kedua-duanya membawa makna yang sama iaitu mengendahkan. | Tatabahasa | 18.03.2008 |
1. Bagaimana kaedah tepat untuk menggunakan "di" ada ketika "di" pada perkataan ditulis rapat. Ada kala "di" pada perkataan di tulis jarak. 2. Bagaimana untuk saya minta seseorang itu faham yang tugasan itu mesti buat . Agar individu yang mendengar arahan tidak rasa seolah di arah . Contoh : " Cikgu, tolong segera kan tugasan yang diamanahkan pada cikgu" @ " Cikgu, tolonglah gerak, jangan tunggu saya cakap,masing masing faham tugas sendiri" atau ada istilah lebih lembut dan sedap di dengar. | 1. Di- ditulis rapat diikuti dengan kata kerja. Dalam hal ini bentuk ayat ialah ayat pasif dengan imbuhan kata kerja pasif di-. Contohnya: Barang itu sudah diambil oleh Ali. Di- sebagai sendi nama digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat ditulis terpisah. Contoh di hadapan kata nama: Saya bekerja di pejabat itu. Contoh dihadapan frasa nama: Tambak Johor terletak di antara negeri Johor dengan Singapura. 2. Tidak semestinya kita menggunakan ayat yang bermaksud tolong segera buat atau bertindak. Boleh juga menggunakan ayat yang meminta hasil atau pencapaian kerja yang telah dibuat. | Makna | 20.04.2011 |
imbuhan kepada perkataan menyiram | Puan Siti, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Puan saya tidak begitu faham apakah yang puan ingin tanyakan. Kalau menyiram kata dasarnya ialah siram dan sudah tentulah dalam hal ini imbuhan yang digunakan ialah meny... tetapi kalau imbuhan bag perkataan menyiram...... ia boleh sahaja digunakan imbuhan i, lantas menjadi menyirami atau kan... untuk menjadi menyiramkan. Terima kasih. | Tatabahasa | 17.05.2009 |
Salam sejahtera. 1. “Azman hendak melihat perarakan tetapi sudah tamat”,”Azman hendak melihat perarakan tetapi perarakan sudah tamat”. Ayat manakah yang betul? Adakah perkataan ‘perarakan’ diperlukan selepas ‘tetapi’? 2.Dalam bahasa Malaysia, kata kerja transitif “men...kan” diikuti oleh objek manakala “men...i” diikuti oleh manusia. Sebagai contoh, “Bapa menghadiahi Ali sebuah buku”,”Bapa menghadiahkan sebuah buku kepada Ali”. Akan tetapi, terdapat sesetengah ayat yang tidak mengikut hukum tersebut. Contohnya, “Mereka menguasai sektor ekonomi”,”Peluru mengenai sasaran”. Apakah yang menyebabkan keadaan ini berlaku? 3.Dalam kesusasteraan Melayu lama, terdapat perkataan “sekalian peristiwa”. Apakah maksud sebenar yang didukung oleh perkataan tersebut? 4. Apakah cara penulisan yang paling sesuai untuk kata bilangan berangka seperti kedua(ke-2), kelima puluh(ke-50) dalam tulisan rasmi? Adakah tanda sempang(-) dengan angka mesti digunakan ataupun tulisan dalam perkataan sudah memadai? 5. Penulisan kata bilangan ke-56 ditulis dalam bentuk “kelimapuluh enam” ataupun “kelima puluh enam”? | Jawapan 1. Kedua-dua ayat adalah betul. Akan tetapi ayat pertama lebih gramatis, iaitu tidak perlu mengulangi perkataan “perarakan” 2. Bukan semua kata kerja transitif “men...kan” dan “men...i” harus mengikut peraturan tersebut. Sila lihat buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 207: (II) Bagi kata kerja tertentu, perbezaan penggunaan apitan meN- ... –kan dan meN-...-i adalah dari segi jenis objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan men-...-i menerima objek yang bernyawa. Contohnya: a. Ali memberi kucing makanan b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Apabila disebut bagi kata kerta tertentu bermaksud bukan semua kata kerja. Banyak kata kerja berapitan men...i yang tidak diikuti oleh objek bernyawa: -Mereka cuba melupai peristiwa itu -Hujan membasahi jemurannya. -Air hujan memasuki rumah kami. Untuk lebih faham, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 202 -208. 3. “Sekalian peristiwa” bermaksud semua peristiwa atau keseluruhan peristiwa. 4. Penulisan angka boleh digunakan dengan ejaan penuh atau ditulis angka sahaja dalam tulisan rasmi. Walau bagaimana pun mengikut buku Gaya Dewan apabila menulis dalam ayat, bilangan 1 hingga 9 dieja penuh, (seperti satu, dua....sembilan). Manakala bilangan 10 dan ke atas ditulis dengan angka (10, 12, 20, 31, 105 dsb). Jadi apabila ditambah ke, menjadi kedua, kelapan, ke-10, ke-50. Akan tetapi jika bukan dalam ayat, seperti tajuk atau nama khas sesebuah program atau majlis, boleh ditulis dengan angka sahaja walaupun bilangan itu kurang daripada 10. Contohnya “Anugerah Enovasi Ke-8”. 5. Kelima puluh enam | Lain-lain | 30.10.2014 |