apa yang akan anda fikirkan / apa yang anda akan fikirkan | Apa yang akan anda fikirkan. | Tatabahasa | 18.07.2010 |
Manakah yang betul antara ayat "kita adalah apa yang kita fikirkan" dan "kita ialah apa yang kita fikirkan"? Apakah peraturan sebenar untuk penggunaan 'ialah' dan 'adalah'? Terima kasih. | Kedua-dua ayat ini kurang tepat. Kata pemeri "ialah" hadir di hadapan frasa nama manakala kata pemeri "adalah" pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Oleh itu, pihak DBP mencadangkan penggunaan ayat yang lebih tepat contohnya "Diri kita adalah seperti yang difikirkan." | Lain-lain | 16.02.2022 |
Inginkan kepastian, 'mengeratkan silaturrahim atau mengiratkan silaturrahim... ' jika mengeratkan saya selalu fikirkan datang daripada kata dasarnya, 'kerat' | Frasa yang betul ialah “mengeratkan silaturrahim”. Kata dasarnya ialah “erat” yang menerima bentuk imbuhan apitan meN-...-kan (meng-...-kan). | Tatabahasa | 02.02.2022 |
Saya membuat semakan terhadap satu manuskrip berkaitan kandungannya dan apakah soalan dan penilaian yang perlu saya fikirkan tentang manuskrip itu. | Untuk mengetahui lebih lanjut tentang penilian manuskrip, sila hubungi Jabatan Penerbitan DBP. | Lain-lain | 21.06.2014 |
apakah maksud/definisi "warga tua tidak wajar diletakkan di rumah kebajikan"? | Maksud yang dapat kami fikirkan ialah sebagai anak yang telah dibesarkan dan dipelihara sejak kecil oleh kedua-dua ibu bapa seharusnya apabila mereka tua adalah menjadi tangungjawab kita pula untuk menjaga mereka dan janganlah sesekali kita menghantar mereka ke rumah kebajikan atau rumah jagaan orang tua-tua. | Tatabahasa | 15.02.2009 |
Adakah perkataan lain yang lebih sesuai digunakan selain daripada perkataan 'NAMUN' dalam sesuatu ayat? Ada cadangan lain yang difikirkan sesuai untuk mengelakkan dari penggunaan kata itu pada setiap perenggan. Contoh ayat : Namun apabila difikir-fikirkan, ada juga kebenaran kata-katanya. Terima kasih. | Selain "namun", boleh juga digunakan "biarpun", "meskipun", "tetapi","sungguhpun", "walaupun" mengikut konteks dan keseuaian ayat. Dalam ayat di atas, "namun" boleh ditukar dengan "tetapi". | Tatabahasa | 16.08.2007 |
Salam sejahtera. Apakah terjemahan yang sejadi untuk perkataan 'endcap'? Perkataan ini merujuk kepada satu unit rak pameran barang jualan yang terletak di permulaan atau hujung rak utama (memanjang). Untuk tujuan pemasaran, barang jualan diletakkan di rak ini kerana lebih mudah dilihat pelanggan. Adakah sesuai untuk saya gunakan perkataan tukup hujung ( banyak digunakan dalam bidang kejuruteraan)? Pilihan terjemahan yang dapat saya fikirkan: -rak hujung -unit hujung rak - rak apit hujung atau terjemahan lain yang lebih sesuai; mohon bantuan. Terima kasih. | Setakat ini istilah yang ada bagai terjemahkan "end cap" ialah tukup hujung. Boleh juga menggunakan istilah ini. | Penyemakan dan penterjemahan | 17.06.2014 |
Tuan, adakah ayat ini betul? 1. Meluat dia dengan tabiat lelaki itu. Ayat (1) ayat songsang yang telah mendepankan kata adjektif "meluat"; ayat asal bagi ayat (1): Dia meluat dengan tabiat lelaki itu. Saya berpendapat bahawa ayat ini salah, kerana digunakan "dengan". Untuk keterangan terhadap, kata sendi nama "akan", "kepada", dan "terhadap" dipakai. "Meluat" merupakan perasaan dan tergolong dalam kelompok kata adjektif perasaan. Apabila kata adjektif perasaan diikut oleh keterangan terhadap, seperti benci (kata adjektif perasaan) + akan dia (keterangan terhadap), kata sendi nama "akan" digunakan, bukan "dengan". Jadi, ayat yang saya fikirkan betul berasas pada analisis saya ialah: 1. (a) Meluat dia akan tabiat lelaki itu. "akan tabiat lelaki itu" ialah keterangan terhadap, dan "meluat" ialah kata adjektif perasaan. Kata adjektif perasaan perlu dipadankan dengan kata sendi nama "akan" jika keterangan terhadap ingin dinyatakan. (Sumber: Novel Hantu Gadis Opera, lembaran 20, terbitan Syarikat Pelangi) | Sila ambil contoh ayat daripada buku bahasa untuk berhujah atau memahamkan peraturan tatabahasa. Mengambil ayat daripada karya kreatif bukanlah langkah yang tepat kerana sebahagian karya kreatif tidak mematuhi seratus peratus peraturan tatabahasa. | Tatabahasa | 20.03.2015 |
Tuan, sila lihat ayat di sebelah dulu. 1. Malaysia terkenal dengan aneka makanan yang enak. Saya hendak bertanya, kata sendi nama "dengan" dalam ayat (1) bermaksud apa? Adakah "dengan" bermaksud bersama-sama, atau menyatakan keadaan perbandingan yang sama? Saya merasakan ayat ini salah, kerana ayat ini tidak menepati semua maksud kata sendi nama "dengan". Saya berpandangan bahawa ayat ini harus dibetulkan menjadi: 2. Malaysia terkenal oleh aneka makanan yang enak. Dalam ayat (2), kata sendi nama "oleh" bermaksud kerana, jadi "aneka makanan yang enak" menjadi sebab "Malaysia terkenal". Oleh sebab itu, kata sendi nama "oleh" saya fikirkan lebih sesuai digunakan dalam ayat yang saya berikan. | Malaysia terkenal dengan aneka makanan yang enak. Ayat ini betul dan telah mantap digunakan dalam kalangan masyarakat, berbanding dengan ayat Malaysia terkenal oleh aneka makanan yang enak. Penggunaan kata sendi nama dengan dalam ayat tersebut boleh membawa maksud cara sesuatu itu dilakukan, iaitu cara Malaysia dikenali, lihat ayat 310 dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga.
| Tatabahasa | 31.01.2015 |
Salam sejahtera masitah, Soalan : Berkenaan penggunaan partikel "-lah", adakah penggunaannya wujud untuk penulisan formal? Atau penggunaannya lebih hanya untuk penulisan tidak formal. Terima kasih. Jawapan : Penggunaan kata penegas lah ialah partikel atau kata tugas yg digunakan untuk menegaskan kata yang mendahuluinya serta terikat dengannya.Penggunaan partikel lah wujud dalam penulisan formal. Contoh; Makanlah kuih itu. Janganlah kamu berasa segan. Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan Khidmat Nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam jawapan di atas, contoh yang diberikan merujuk kepada perbualan. Contoh lain yang dapat saya fikirkan ialah seperti berikut: -Tidurlah wahai anakku -Belilah perisian yang original -Sayulah hatinya mengenangkan nasib yang menimpa keluarganya. -Marilah pergi mengundi -Terimalah hadiah ini Adakah perbualan dan penulisan kreatif dianggap penulisan formal. Pada pemahaman saya, penulisan formal seperti menulis surat rasmi atau laporan. Harap dapat maklum balas dengan kadar segera. | Penulisan formal seperti surat rasmi dan laporan juga terdapat penggunaan partikel lah. Misalnya perkataan "hendaklah" yang lazim digunakan dalam surat rasmi mahupun pekeliling rasmi. | Tatabahasa | 15.01.2013 |