Adakah menulis dalam apa-apa dokumen rasmi frasa kata "bertitik tolak daripada itu" termasuk dalam bahasa persuratan dan dibolehkan.. | Bertitik tolak membawa maksud 1. bermula: persoalan itu harus ~ dgn mengenal pasti punca masalahnya; 2. berasal atau berpunca (drpd). Oleh itu, "bertitik tolak daripada itu" tidak salah digunakan dalam dokumen rasmi. | Lain-lain | 10.08.2019 |
Cikgu, samakah maksud "kata keterangan" dengan "kata adverba"? Jika sama maksud, mengapakah penulis-penulis Tatabahasa Dewan tidak menggunakan istilah "kata keterangan" berbanding dengan "kata adverba"? "Kata keterangan" frasa Melayu, manakala kata "adverba" dalam frasa "kata adverba" pinjaman daripada bahasa Inggeris. Sedangkan kita ada frasa Melayu sendiri, mengapakah Tatabahasa Dewan tidak memakai istilah frasa Melayu itu? Mengapakah mesti memilih frasa "kata adverba" yang merupakan pinjaman daripada bahasa Inggeris? | Unsur keterangan tidak sama dengan kata adverba. Unsur keterangan dalam frasa kerja terdiri daripada unsur yang menerangkan kata kerja itu dengan lebih lanjut lagi dan unsur ini juga berfungsi sebagai frasa adverba. Unsur keterangan boleh terdiri daripada frasa sendi nama, frasa adjektif, frasa nama dan kata adverba. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan halaman 289 dan 399. | Tatabahasa | 27.02.2015 |
Bolehkah perkataan "tumbuh-tumbuhan" disingkatkan kepada "tumbuhan". Tajuk "Alam Tumbuhan" adakah frasa kata ini gramatis? | Penggunaan yang betul ialah tumbuh-tumbuhan, Alam Tumbuh-tumbuhan. | Ejaan | 05.05.2017 |
Salam Sejahtera, Boleh saya dapatkan senarai KATA ASAS bahasa Melayu? Terima kasih. | Dalam data rujukan kami, tiada frasa kata asas tetapi terdapat frasa kata dasar, kata akar, kata pokok. Dalam istilah linguistik kata akar ditakrifkan sebagai bentuk dasar dalam sesuatu kata yang boleh merupakan morfem bebas seperti anak dalam beranak, atau morfem terikat seperti jerumus dalam terjerumus; atau dalam bahasa yang mudah difahami kata akar ialah kata yang belum diberi apa-apa imbuhan. Manakala kata dasar pula ialah kata akar atau kata terbitan yang dapat diberi imbuhan. Apa yang dapat disimpulkan ialah kedua-dua kata tersebut boleh menjadi kata terbitan. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 20.03.2014 |
Apa maksud dan contoh frasa kata kerja biasa dan kata kerja lembur?..terima kasih | Menurut Kamus Dewan Edisi Empat "kerja lembur" ialah kerja yang dibuat di luar waktu pejabat (kerja malam), kerja lebih masa. Manakala kerja biasa atau kerja tetap ialah kerja yang dilakukan berterusan dan lazim dilakukan. | Tatabahasa | 14.01.2013 |
Adakah penggunaan frasa kata kerja "meragut pucuk pokok"dalam ayat berikut betul? Kalau tidak, apakah kata kerja yang sesuai digunakan ? Contoh ayat : Zirafah meragut pucuk pokok di savana. Terima kasih | Meragut bermaksud memakan rumput hidup dan sebagainya. Perkataan mergaut boleh digunakan dalam konteks yang tersebut. | Tatabahasa | 17.07.2015 |
Salam sejahtera. Semasa di sekolah dulu, saya difahamkan bahawa kita seharusnya menggunakan "tidak" untuk menafikan kata/frasa kerja atau kata/frasa adjektif. Tetapi, baru-baru ini, saya terbaca sebuah buku yang mengatakan bahawa sekiranya sesebuah ayat itu mempunyai dua kata/frasa kerja atau dua kata/frasa adjektif yang bertentangan maksudnya, kita seharusnya menggunakan "bukan". Contohnya, "Ali rajin, bukan malas" atau "Dia menyanyi, bukan menari". Adakah ini betul? | Kata nafi bukan menjadi unsur nafi frasa nama dan frasa sendi nama. Kata nafi tidak pula unsur nafi bagi frasa kerja dan frasa adjektif. Kata nafi bukan boleh hadir sebelum frasa kerja dan frasa adjektif jika kedua-dua frasa tersebut mendukung maksud pertentangan maklumat. Contohnya, Saya bukan tidak lalu makan, tetapi kenyang. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan halaman 262-263). | Tatabahasa | 23.03.2017 |
Salam, bolehkah di antara frasa-frasa dalam ayat diselangi dengan kata seperti kata bantu, kata penguat dan sebagainya? Contoh: 1. Rombongan sekolah akan ke Port Dickson. Frasa nama: Rombongan sekolah Frasa sendi nama: akan ke Port Dickson 2. Rumah itu amat besar. Frasa nama:Rumah itu Frasa adjektif: amat besar Terima kasih. | 1. Ayat yang gramatis, Rombongan sekolah akan melawat Port Dickson pada minggu hadapan. Kata sendi nama tidak hadir secara berurutan. 2. Rumah itu amat besar. Ayat ini betul. | Tatabahasa | 30.04.2014 |
Selamat sejahtera tuan. Bolehkah tuan tolong saya membetulkan ayat ini, "Baju ini tidak ada kelas." Saya tahu tidak ada kelas dalam ayat ini bermaksud"no class" apakah perkataan yang sesuai untuk frasa kata ini? sekian terima ksih. | Frasa "tidak ada kelas" merupakan bahasa percakapan dan tidak diterima sebagai frasa yang rasmi dalam bahasa Melayu. Ayat tersebut boleh diubah kepada "Baju ini tidak berkualiti." | Tatabahasa | 13.08.2012 |
Tuan DBP, mengapakah wujudnya frasa-frasa "hadirin sekalian"? Kata "sekalian" kata bilangan yang terletak di hadapan frasa nama kerana berguna sebagai penerang jumlah frasa nama. Sebagai contoh sekalian murid, sekalian hadirin, sekalian kawan, sekalian pencuri. Mengapakah dalam teks ucapan, tidak diperikan "sekalian hadirin"? Sebagai contoh: Sekalian hadirin, perpaduan amat mustahak untuk menjanakan negara yang maju....... . Natijahnya, soal inti saya: Mengapakah pegarinya bentuk frasa "hadirin sekalian", sedang kata bilangan berada di depan frasa nama? | Frasa "hadirin sekalian" lewah namun banyak digunakan dalam kalangan masyarakat. Bagi menghasilkan ungkapan yang gramatis, ungkapan tersebut boleh ditukar kepada "Hadirin yang dihormati" dan "Murid-murid yang disayangi". | Tatabahasa | 15.08.2015 |