Boleh atau tidak kata nama am untuk binatang digandakan. Contohnya burung menjadi burung-burung, gajah menjadi gajah-gajah,monyet menjadi monyet-monyet. Yang manakah ayat-ayat berikut betul? 1.Banyak monyet-monyet bergayutan pada dahan pohon kayu ara itu. 2. Banyak monyet bergayutan pada dahan pohon kayu ara itu. 3. Monyet bergayutan pada dahan pohon kayu ara itu. 4. Monyet-monyet bergayutan pada dahan kayu ara itu. | Kalau banyak, boleh digandakan. Ayat 1-salah. Ayat 2,3 dan 4 betul. | Tatabahasa | 19.08.2009 |
"Ia" tidak boleh digunakan untuk merujuk binatang. Dengan itu, bagaimanakah kita merujuk binatang dengan kata ganti nama diri ketiga? 2. Adakah "mereka" hanya untuk manusia. Jika saya ingin kata: Gajah-gajah di sini bersaiz besar. Mereka haiwan peliharaan Pak Abu. Adakah ayat sedemikian salah? Bagaimanakah saya menyampaikan maksud yang sama tanpa menggunkan "mereka"? | "Ia" dan "mereka" ialah kata ganti nama diri ketiga dan ia boleh juga merujuk benda yang dibicarakan tetapi tidak mereka. Dalam penulisan makalah, nama binatang hendaklah diulang pada setiap ayat yang menceritakan tentang binatang tersebut, seperti Gajah-gajah ini bersaiz besar. Gajah tersebut ialah haiwan peliharaan Pak Abu. | Tatabahasa | 23.04.2012 |
1. bijak mengurus masa atau bijak menguruskan masa? 2. (a) ... gajah, burung, dan lain-lain lagi. (b) ... gajah, burung dan lain-lain lagi. (c) ... gajah, burung, dan sebagainya. (d) ... gajah, burung dan sebagainya. Manakah penggunaan tanda koma yang betul? 3. dalam pengiraan perkataan untuk UPSR Kertas 2 Bahagian C, PMR Kertas 2 Ringkasan, berapakah perkataan untuk "ibu bapa", "alam sekitar"? | 1. Frasa yang tepat ialah bijak menguruskan masa. 2. Penggunaan tanda koma yang betul ialah (b) ... gajah, burung dan lain-lain lagi. (d) ... gajah, burung dan sebagainya. 3. Perkataan "ibu bapa"dan "alam sekitar" mempunyai dua patah perkataan. | Tatabahasa | 19.05.2013 |
ASSALAMUALAIKUM.SAYA INGIN BERTANYA TENTANG NOVEL ANTARA DENDAM DENGAN PERJUANGAN KARYA ALI JUSOH,2007.MEMANG BENAR CERITA TERSEBUT BENAR TETAPI ADAKAH ADIK MAT ,IAITU MAT KILAU ADIK KEPADA ADIK YAK,IAITU TOK GAJAH?BUKANKAH MAT KILAU ANAK TOK GAJAH ,DAN TOK GAJAH BERSAMA DATO BAHAMAN SERTA MAT KILAU TELAH BERJUANG UNTUK PAHANG.BENARKAH WATAK ZAKI HAMIDON,MARIA,ABON,SERI BANUM,PRABASNA,ABANG MUSA,DERAMAN,TAMBI SAN,AH WEE,AMAT DAN LAIN-LAIN.DAN BAGAIMANA SAYA BOLEH MENULIS BUKU ATAU SYARAT -SYARATNYA.SAYA HARAP PIHAK ANDA DAPAT MEMBALAS PERTANYAAN SAYA INI.TERIMA KASIH. | Waalaikumusalam wbk. Bagi menjawab soalan sdr tentang watak-watak dan perwatakan dalam novel Dendam dan Perjuangan karya Ali Jusoh, sdr bolehlah menghubungi penulisnya sendiri di talian 09-6663312 (rumah) atau 019-9490727 (t/bimbit). Alamat rumah beliau ialah No. 4, Taman Teratai, To Jembal, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman. Mudah-mudahan beliau dapat menjelaskan sendiri tentang segala kemusykilan sdr. Berhubung dengan minat dan syarat-syarat menulis buku, sdr. boleh mendapatkan atau membeli buku-buku yang dijual di pasaran yang diterbitkan oleh pelbagai penerbit. Antara buku terbitan DBP ialah Panduan Menulis Puisi karya Rahman Shaari, Panduan Menulis Cerpen karya Othman Puteh dan Panduan Menulis Novel karya Shahnon Ahmad. Sekian, selamat berjaya dan wassalam. | Lain-lain | 02.12.2009 |
tolong cari maksud gajah menyusu | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, gajah menyusu bermaksud (binaan) atap atau sengkuap yang bersambung dengan rumah. | Makna | 24.07.2008 |
Apakah terjemahan terbaik untuk walkway canopy atau covered walkway dalam bahasa Melayu? Saya lihat ramai gunakan susur gajah, namun tiada dalam database PRPM. Mohon pencerahan. | Untuk makluman, tidak terdapat istilah susur gajah dalam pangkalan data kami. Oleh itu, istilah bahasa Melayu yang dicadangkan untuk "walkway canopy" ialah kanopi laluan pejalan kaki. Istilah untuk "covered walkway" pula ialah laluan pejalan kaki berbumbung atau laluan pejalan kaki berkanopi. | Istilah | 13.03.2013 |
Salam sejahtera, Saya tahu maksud walkway adalah laluan pejalan kaki. Apakah boleh kita gantikan maksudnya kepada susur gajah seperti yang digunakan oleh ramai orang sekarang? | Istilah laluan pejalan kaki masih digunakan. Tidak ada maklumat tentang susur gajah dalam pangkalan data kami. | Istilah | 25.01.2013 |
"Inspektor Gajah terkejut dengan/akan apa yang didengarinya." Yang manakah kata sendi yang betul untuk ayat di atas? Selain itu, adakah "apa" boleh digunakan dalam konteks ayat di atas? Bagaimana pula dengan "siapa" dalam ayat berikut: "Saya tidak tahu siapa mencuri dompet saya." Terima kasih. | Ayat yang betul "Inspektor Gajah terkejut dengan berita yang didengarinya." - apa adalah untuk ayat tanya "Saya tidak tahu siapakah yang mencuri dompet saya." | Tatabahasa | 16.06.2011 |
Salam sejahtera! Manakah jawapan yang paling tepat bagi soalan di bawah? ___________ gajah liar telah memusnahkan kebun tebu di kampung. A) segerombolan B) sekawan merujuk kepada JU BM, jawapannya segerombolan. sekian, terima kasih. | Jawapan yang betul ialah sekawan. (Sekawan gajah liar telah memusnahkan kebun tebu di kampung.) | Tatabahasa | 14.08.2012 |
Jika "ia" tidak boleh digunakan untuk merujuk binatang, maka apakah kata ganti sesuai untuk binatang? Contohnya, jika terdapat ayat bahasa Inggeris, "The elephant lives in the jungle. It has long trunk." Adakah "it" perlu diterjemah sebagai "gajah" sekali lagi jika "ia" tidak boleh digunakan untuknya? | Seelok-eloknya nama binatang itu diulang pada setiap ayat yang merujuk binatang tersebut, seperti dalam contoh yang diberikan: Gajah tinggal di dalam hutan. Gajah mempunyai belalai yang panjang. | Tatabahasa | 30.03.2011 |