assalamualaikum. pertanyaan tentang penggunaan 'menjolok mata' dan 'mencolok mata'... yang manakah lebih tepat? | Puan Ramlah, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Perkataan menjolok membawa makna menusuk (merodok) sesuatu dgn galah dll supaya gugur, menusuk ke dlm lubang dll: kalau engkau hendak ~ buah rambutan itu carilah galah yg panjang sedikit; 2. memasukkan jari tangan ke dlm lubang hidung (kerongkong dll); 3. memancing-mancing keterangan dll drpd orang, mengajuk atau menduga (hati orang); ~ alang (orang) yg sangat tinggi; ~ anak menggugurkan kandungan; ~ hati mengajuk hati; ~ mata a) sangat jelas kelihatan, sangat nyata; b) memberi malu, menyakitkan hati; ~ sarang tebuan prb melakukan sesuatu yg mendatangkan bahaya; yg dijolok tiada jatuh, penjolok tinggal di atas prb keuntungan yg diharap-harapkan tidak didapat, sedangkan modal atau alat utk mendapatnya hilang juga; Manakala perkataan mencolok membawa makna mencucuk (menusuk); 2. = ~ mata a) mencucuk mata; b) ki tampak jelas, kelihatan jelas benar; c) membangkitkan marah orang yg melihat, menyakitkan hati, memberi malu: apabila berlaku peristiwa-peristiwa yg ~ mata, menyakitkan hati, kita hanya menggeleng-gelengkan kepala sahaja. Oleh itu perkataan mencolok mata adalah lebih tepat daripada menjolok mata. | Makna | 07.03.2009 |
Pak Mat telah ( mengait /menjolok)buah kelapa dengan sebatang galah yang panjang. | Menurut data kami, kedua-dua perkataan tersebut boleh digunakan dalam ayat. Walau bagaimanapun, penggunaan perkataan tersebut bergantung kepada perbuatan seseorang sama ada mengait atau menjolok. Penggunaan perkataan tersebut lebih jelas sekiranya disokong dengan imej. Bagi penggunaan di sekolah, pihak puan perlu mengikut skema yang telah ditetapkan. | Lain-lain | 29.05.2018 |
Apakah jawapan yang sesuai untuk ayat berikut; Hassan menggunakan galah untuk ___ dahan pokok yang sekah itu. A mengait B mencantas Adakah ayat-ayat ini betul 1. Jemputlah duduk dahulu, nanti saya panggil emak di dapur. 2. Baju kurung itu dibuat daripada kain sutera. 3. Adik suka bermain-main di halaman rumah di waktu petang. | Jawapan yang sesuai ialah mencantas. Ayat 1 dan 2 betul. Ayat ke-3, Adik suka bermain-main di halaman rumah pada waktu petang. | Tatabahasa | 12.09.2008 |
Riuh seperti pasar, besar seperti gajah telah digunakan dalam Buku Teks Tahun 2 SJKC. Ingin saya tahu maksud dengan lebih lanjut kegunaannya. Suasana Majlis perkahwinan riuh seperti pasar, udang galah yang dihidangkan itu besar seperti gajah tepat atau tidak kegunaannya. Sekian, terima kasih. | Salam sejahtera, Tuan, Ayat bagi perumpamaan riuh seperti pasar betul penggunaannya di dalam ayat. Tetapi, penggunaan perumpamaan besar seperti gajah kurang sesuai di dalam ayat kerana udang galah tidak akan kelihatan sebesar gajah. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 29.01.2018 |
Kesalahan ayat | Ayat 1, 2 dan 3 adalah gramatis, ayat 4 dibetulkan menjadi Budak-budak itu menjolok buah mangga yang masak dengan galah, dan ayat 5 juga adalah betul. Untuk ayat 6 hingga 150 sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, di bawah tajuk binaan ayat. Lihat juga aspek pembentukan kata bagi emastikan kata terbitan yang digunakan adalah betul. | Tatabahasa | 28.06.2012 |
Salam / Selamat Petang, Saya ingin mengetahui apakah terjemahan perkataan yang paling tepat perkataan Bahasa Inggeris tersebut ke dalam perkataan Bahasa Melayu:- 1) Crustaceans (Haiwan laut berkulit keras seperti ketam, udang galah, dll.) 2) Molluscs (Haiwan yang tidak mempunyai tulang belakang dan berkerang) Terima kasih. | Terjemahan yang tersebut adalah seperti yang berikut: 1. Crustaceans - krustasia. 2. Molluscs - moluska | Penyemakan dan penterjemahan | 26.02.2015 |
Assalamualaikum Tuan, Saya sedang menyiapkan rekabentuk (layout) untuk sebuah buku coffeetable. Saya keliru dalam menyusun sumber 'petikan' mengikut turutan. Sebagai 'petikan perhiasan' saya menggunakan pantun dan juga sajak didalam buku tersebut. Sumber petikan pantun dari buku. Adakah turutannya seperti berikut: (Nama buku, Terbitan. Tahun terbitan, halaman 13). Semua teks menggunakan italik dan dalam kurungan (). Contoh: Buah cempedak diluar pagar, Ambil galah tolong jolokkan; Saya budak baru belajar, Kalau salah tolong tunjukkan. (Kurik Kundi Merah Saga, Dewan Bahasa dan Pustaka. 2005, hlm. 13) 2. Pantun atau sajak gubahan sendiri. Adakah turutannya seperti berikut: (Nama, Tempat. Tarikh dan Tahun). Semua teks menggunakan italik dan dalam kurungan (). Contoh: Buah cempedak diluar pagar, Ambil galah tolong jolokkan; Saya budak baru belajar, Kalau salah tolong tunjukkan. (Abdullah bin Jusuh, Shah Alam. 12 Januari, 2005) 3. Petikan dari lagu. Contoh: Buah cempedak diluar pagar, Ambil galah tolong jolokkan; Saya budak baru belajar, Kalau salah tolong tunjukkan. (Mengapa di rindu, Saloma…..) Sekian Terima Kasih. Harap mendapat pencerahan dari Tuan. Semuga amal jasa baik Tuan/Puan di beri balasan baik Allah Subhanawataala. Insya Allah. Suhaimi Abdul Minal | Dalam menulis petikan, turutannya dalah seperti yang berikut: Nama Buku, tahun Terbitan, Terbitan, Halaman. Petikan boleh dieja dalam bentuk italik atau seperti biasa dan diletak dalam tanda kurung. Walau bagaimanapun tarikh lazimnya tarikh tidak ditulis, kecuali petikan diambil daripada kertas kerja yang dibentangkan dalam sesuatu seminar. Untuk maklumat lanjut, tuan boleh berbincang dengan kami di talian 03-21479109/9112/9400. | Ejaan | 15.05.2015 |
BILAKAH KITA AKAN MENGGUNAKAN PERKATAAN SUKAN, DAN BILAKAH KITA AKAN MENGGUNAKAN PERKATAAN PERMAINAN | Sukan digunakan apabila merujuk kegiatan yang memerlukan ketangkasan atau kemahiran serta tenaga seperti berenang, bola sepak, tenis, lumba lari dan lompat galah. Permainan apabila merujuk: 1. sesuatu yang digunakan untuk bermain; dan 2. perihal bermain seperti bola sepak. Ini bermakna sukan boleh membawa maksud permainan tetapi permainan tidak semestinya bermaksud sukan. | Tatabahasa | 27.09.2011 |
Cantik kembang bunga melati, Tumbuh sebatang di tepi kota, Hilang tumbuh patah berganti, Adat pusaka terpelihara juga. Pergi ke pulau menggali ubi, Singgah ke beting dilayar juga, Sepuluh kali kita berbudi, Kalau miskin terbung jua. Pijak galah sambil berlari, Rupanya hujung sudah patah, Banyakkan usaha pada diri, Masa diri muda dan mentah. Jika masak pisang setandan, Mari disimpan dalam kereta, Jika ada tuah di badan, Kaca kupegang jadi permata. Kajang tuan kajang berlipat, Kajang saya mengkuang layu, Dagang tuan dagang bertempat, Dagang saya sidagang lalu. Anak Cina bertimbang madat, Dari Makasar langsung ke Deli, Hidup di dunia biar beradat, Bahasa tidak dijual beli. apa tajuknya? dan siapa yang tulis? | Jenis puisi yang di atas ialah puisi Melayu Tradisional yang dikenali sebagai PANTUN. Pantun ialah sejenis puisi Melayu lama yang diwarisi oleh orang Melayu daripada nenek moyang mereka sejak zaman-berzaman. Oleh itu, pantun tidak mempunyai pencipta yang khusus, kerana ia bersifat warisan. Secara keseluruhan pula, pantun di atas bertemakan budi dan adat bangsa Melayu. | Lain-lain | 23.06.2008 |
laksana menumbuk beralaskan nyiru ialah peribahasa atau simile? | Secara harfiah, ungkapan di atas lebih mirip dengan simile disebabkan terdapat perbuatan menumbuk dengan beralaskan nyiru. Hal ini sama juga dengan frasa bodoh macam lembu, tinggi macam galah dsb. T.kasih. | Makna | 08.07.2008 |