Salam sejahtera. Adakah kata ganda separa berikut betul? balai-balai = bebalai, benang-benang = bebenang, cair-cair = cecair, guli-guli = geguli, gendang-gendang = gegendang, kunci-kunci = kekunci, kura-kura = kekura, lumba-lumba = lelumba, pejal-pejal = pepejal, patung-patung = pepatung, sumpah-sumpah = sesumpah, tambak-tambak = tetambak, tangga-tangga = tetangga Terima kasih. | Kata ganda dan kata ganda separa yang diberikan mempunyai pelbagai makna yang berbeza. Oleh itu, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) untuk mendapatkan makna bagi setiap perkataan tersebut. Penggandaan separa kata nama ialah penggandaan yang melibatkan sebahagian sahaja kata dasar. Kata dasar boleh terdiri daripada kata nama tunggal atau kata nama berimbuhan, seperti yang berikut: i. Penggandaan separa kata nama tunggal Melibatkan suku kata pertama dalam kata dasar. Bunyi-bunyi vokal dalam suku kata pertama perkataan yang digandakan itu mengalami perubahan menjadi vokal tengah, iaitu e pepet. Contohnya, kura (kekura). ii. Penggandaan separa kata nama berimbuhan Melibatkan pengulangan kata dasar tanpa imbuhannya. Terdapat hanya perkataan yang menerima akhiran –an yang mengalami penggandaan jenis ini. Contohnya, sayuran (sayur-sayuran). Pembentukan kata ganda/kata ganda separa tidak boleh dilakukan pada semua perkataan. Tuan boleh merujuk senarai kata ganda/kata ganda separa sedia ada dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) atau pangkalan data prpm.dbp.gov.my (melalui pautan istilah bahasa Melayu/istilah MABBIM). Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan kata ganda dan kata ganda separa, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 135 – 138. | Tatabahasa | 08.07.2025 |
Apa beza hati dan jantung | Hati dan jantung kedua-duanya merupakan organ dalam tubuh yang menjalankan fungsi yang tertentu. Berdasarkan analisis data korpus, didapati hati juga merujuk kepada jantung, misalnya dalam ayat 'Hatinya berdebar-debar.' Kata hati dan jantung terdapat dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) dan olahannya adalah seperti yang berikut, iaitu: hati n 1 organ yg terletak di bahagian perut dlm badan manusia atau binatang vertebrata yg berfungsi utk merembeskan hempedu ke dlm saluran makanan, mengawal kandungan gula dlm darah, menawarkan kesan keracunan nitrogen, menghasilkan urea dan menyimpan glikogen; 2 tempat menyimpan perasaan, keinginan, anggapan dsb dlm diri sso; kalbu: Hatinya bersih drp segala bentuk dendam dan iri hati. 3 jantung: Tidak ada yg menarik perhatiannya selain berita yg mendebarkan hatinya. 4 bahagian tengah yg agak keras pd buah-buahan, pokok dll: Hati nanas diparut dan dibubuhi gula secukupnya sebelum diminum. Hati kayu gaharu dr India dianggap paling mahal dan mempunyai mutu yg paling baik. jantung n 1 organ berotot yg terletak di dlm rongga dada, yg mengepam darah ke seluruh badan: Otot jantung terpaksa bekerja keras utk memastikan darah beroksigen dapat disalurkan ke seluruh tubuh. 2 benda yg berbentuk spt jantung, berbunyi spt bunyi jantung, atau bergerak spt gerakan jantung: Hanya detak jantung jam di dinding dan putaran bilah-bilah kipas di siling mencipta gelombang yg menyentuh gegendang telinga. 3 sst yg perlu bagi membolehkan industri, politik dsb terus bergerak atau hidup: Queensland, negeri kedua terbesar di Australia ialah jantung industri pelancongan negara itu. | Makna | 24.08.2023 |