Salam sejahtera, Saya ingin meminta bantuan bagi ayat berikut: Hablur garam akan terbentuk daripada larutan tepu lampau apabila dituangkan ke/kepada/pada tempat penukleusan. Antara ke, kepada, dan pada, mana satukah penggunaan yang tepat? Terima kasih. | Salam sejahtera Hablur garam akan terbentuk daripada larutan tepu lampau apabila dituangkan ke tempat penukleusan. | Tatabahasa | 23.06.2016 |
Apakah kelas kata bagi xenomorf? | (xénomorf) (Geo) (bkn batu igneus) tidak mempunyai ciri bentuk hablur disebabkan tekanan drpd mineral yg berdekatan: bentuk ~. Maknanya, perkataan tersebut kata nama. | Lain-lain | 15.03.2015 |
apakah yang dimaksudkan dengan ISOMOFI ? | Perkataan isomofi tidak ada dalam pangkalan data kami, yang ada ialah perkataan isomorfik, iaitu keadaan yang mempunyai bentuk hablur yang sama. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=isomorfik. | Makna | 18.12.2013 |
Apakah perbezaan antara 'kekisi dan tetupai? Tolong berikan contoh ayat. | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, "kekisi" bermaksud 1. jeruji, terli, kisi-kisi 2. (kim) susunan atom, ion atau molekul dalam tiga dimensi yang tetap, seperti yang terdapat dalam hablur. Sementara "tetupai" pula bermaksud "tupai-tupai" iaitu kepingan kayu, logam dan lain-lain untuk menyokong, menyambung atau mengukuhkan sambungan, biasanya digunakan dalam pembinaan rumah dll. | Makna | 05.08.2014 |
Salam 55 Tahun Kemerdekaan Malaysia, 1. Terjemahan LCD dalam bahasa Melayu, apa? 2. Adakah pihak DBP ada menerbitkan buku tentang Kesantunan Bahasa? 3. Ada Munsyi Dewan yang mengatakan bahawa perkataan MAHU dan HENDAK sama sahaja. Pandangan tuan? 4. Mengapakah frasa 'Kita semua' ... dikatakan lewah? Contohnya: BAHASA KEBANGSAAN, BAHASA KITA SEMUA! 5. Tema GUNAKANLAH BAHASA KEBANGSAAN, BAHASA NADI JATI DIRI BANGSA dikatakan tidak gramatis. Pandangan tuan? 6. Ungkapan JENDELA BAHASA gramatis atau tidak sekiranya dijadikan judul program bahasa di sekolah? 7. Beza kain rentang, banner, sepanduk dan gegantung? Terima kasih. | 1. Padanan bahasa Melayu untuk "liquid crystal display (LCD)" ialah paparan hablur cecair (LCD) 2. Buku yang diterbitkan oleh DBP ialah Santun Berbahasa oleh Dr. Awang Sariyan dan Kesantunan Bahasa dalam Pengurusan Pentadbiran dan Media oleh Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar. 3. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, "mahu" bermaksud i. suka akan, suka hendak, bersedia akan ii. hendak, akan. "Hendak" pula bermaksud i. berhasrat akan, ingin akan ii. akan, bermaksud akan, mahu iii. untuk. Berdasarkan maksud yang diberikan, terdapat maksud yang sama pada kedua-dua perkataan. 4. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kita bermaksud kata ganti diri orang yang bercakap serta sekalian yang hadir (mendengarnya), saya dan kamu semua. Oleh itu, perkataan 'semua' dalam 'kita semua' tidak perlu digunakan kerana perkataan kita telah merangkumi maksud semua. 5. Pada pandangan kami, tema yang lebih baik ialah GUNAKANLAH BAHASA KEBANGSAAN, BAHASA JATI DIRI BANGSA 6. Pada pandangan kami, penggunaan JENDELA BAHASA tidak jelas maksudnya. Kami tidak dapat memahami apakah yang ingin diketengahkan dengan ungkapan tersebut? Walau bagaimanapun, pihak puan boleh menggunakan ungkapan tersebut sekiranya pihak puan telah mempunyai konsep yang khusus mengenainya. 7. Sepanduk dan kain rentang ialah padanan bahasa Melayu untuk banner. Gegantung ialah padanan bahasa Melayu untuk bunting. | Istilah | 31.08.2012 |